“Siap-Siapkan Tisu, Ada Permainan Emosi” - Kembali Bangkit? Datuk Fazley Janjikan Persembahan Terbaik Konsert Ke-2 GV8!
Biarpun dikecam hebat gara-gara persembahan kurang menyengat di konsert Gegar Vaganza lapan (GV8) minggu lalu, Datuk Fazley Yaakob enggan berdiam diri dan nekad untuk kembali bangkit.
Menurut Fazley, untuk minggu ini, dua aspek akan menjadi keutamaanya iaitu persediaan mental dan vokal.“Minggu lepas saya agak gemuruh berhadapan dengan pentas yang begitu besar. Ditambah lagi dengan cabaran menyanyikan lagu sendiri selain teringatkan anak-anak saya yang menonton dari rumah. Emosi saya bercampur baur.
“Oleh itu saya banyakkan jumpa anak-anak supaya mereka tak rindu saya. Selain itu saya juga ada minta nasihat ibu dan isteri tersayang.
“Untuk malam ini, dari segi vokal, saya juga bersedia. Saya telah berjumpa dengan guru seperti Noryn Aziz, Siti Hajar Ismail dan Mark Adam untuk dapatkan pandangan mereka,” katanya.
Ditanya mengenai kejutan untuk persembahan kedua yang menuntutnya membawakan lagu Laguku Untukmu milik asal Hasnol, Fazley berkata banyak permainan emosi akan tercetus.
“Persembahan malam ini akan menyentuh emosi penonton kerana lagu yang bakal dinyanyikan akan dipersembahkan dalam bentuk tribute. Tribute apa? Saksikan.
“Cuma apa yang boleh saya cakap, kepada yang menonton persembahan saya nanti, siap-siapkanlah tisu kerana ada permainan emosi. Bukan hanya saya, tetapi juga untuk penonton juga,” katanya kepada Astro Gempak.
Sekadar info, menerusi konsert pertama GV8 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC)semalam, Fazley berada di kedudukan terakhir dengan markah hanya sekitar 53 peratus.
Penyanyi Singapura Aliff Aziz pula muncul sebagai bintang dengan markah tertinggi iaitu 74.6%
BACA: Tiada Penyingkiran Konsert Pertama GV8! Aliff Aziz Raih Markah Tertinggi Manakala Datuk Fazley….
BACA : 'Masih Aku Terasa', Lagu-Lagu Ini Akan Dinyanyikan Bintang GV8 Untuk Konsert Kedua! Mampu Ker?
Untuk rekod, juara GV8 akan membawa pulang wang tunai bernilai RM100,000 serta trofi manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing membawa pulang RM50,000 dan RM30,000 termasuk trofi.
Untuk pemenang tempat keempat, kelima dan keenam pula masing-masing akan menerima hadiah berupa wang tunai bernilai RM20,000, RM15,000 dan RM10,000 serta trofi.
Penerbitan GV8 turut disokong oleh Farm Fresh yang hadir selaku Penaja Utama dengan kerjasama Digi selaku Telco Rasmi.
Manakala Adabi dan CUCKOO turut menghulurkan sokongan selaku penaja bersama.