Gegar Vaganza 6

Air Mata Mazleela Tumpah Di Sidang Media GV6, Ramai Terkedu! "Kalaulah Dia Masih Ada ..."

Amri Hassan
26/09/2019
06:00 MYT
Sponsor Banner
Air Mata Mazleela Tumpah Di Sidang Media GV6, Ramai Terkedu! "Kalaulah Dia Masih Ada ..."
Penyanyi yang pernah popular dengan lagu Tabah, Mazleela akhirnya menitiskan air mata buat pertama kali ketika sesi temu bual di sidang media pengumuman peserta Gegar Vaganza musim keenam (GV6) baru-baru ini.
Terkejut disenaraikan sebagai bintang yang bakal bertanding dalam rancangan hiburan popular itu, kata Mazleela itu juga antara hasrat yang pernah dipendam oleh bekas pengurusnya, Allahyarham Bahanordin Deraman suatu masa dahulu.
"Dia panggil saya Leela... Dia pernah kata pada saya, 'kalau kau lepas GV abang akan datang sokong GV setiap minggu'. Dia terlalu teruja dan gembira sebab dia tahu susah senang saya daripada tahun 1995.
"Kami seperti adik-beradik. Saya masuk SRC sebelum Siti, jadi dia tahu saya macam mana.
"Saya yakin kalau dia masih ada sekarang, dialah orang yang akan paling sibuk ke sana sini," katanya kepada Gempak.
Mazleela turut meluahkan rasa terkilan kerana tidak berkesempatan menziarahi Allahyarham ketika sedang sakit disebabkan tempat tinggalnya yang jauh.
Allahyarham yang lebih mesra disapa Abang Bard meninggal dunia pada 17 Jun 2019 ketika berusia 53 tahun akibat komplikasi kencing manis.
Abang Bard pernah berkhidmat sebagai pegawai perhubungan awam syarikat rakaman tempatan SRC dan membantu menguruskan kerjaya artis terkenal lain seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Liza Hanim, Tomok dan kumpulan 2 By 2.
Selain Mazleela, GV6 turut disertai Wann, Feeza, Nurfatima dan Noorshila Amin.
GV6 akan bersiaran selama lapan minggu bermula 13 Oktober secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
Ia akan disiarkan secara langsung di saluran Astro Ria (104), Ria HB(123) dan Astro GO setiap Ahad pukul 9 malam.
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar