Gegar Vaganza 6
"Pandai-Pandailah Kisar Pakai Mulut" - Pesan Epal Tak Nak Air, Ini Yang Sabhi Saddi Dapat!
Anggota kumpulan One Nation Emcees, Sabhi Saddi berkongsi momen lucunya ketika membuat pesanan minuman di sebuah restoran makanan 24 jam kelmarin.
Mahukan epal yang tidak dicampurkan dengan air, penyanyi lagu Nadiku itu diberikan segelas buah epal hijau yang telah dipotong bersama secawan ais ketul.
Perkongsian lucu itu dimuatkan dalam akaun Instagram Sabhi sendiri semalam.
"Cerita kelakar hari ini, inilah kalau pesan dengan pekerja Bangladesh.
"Minta jus epal tak nak campur air, sekali datang macam ini.
"Anda rasa saya nak buat macam mana ni? Nak marah terus tak jadi sebab kelakar," tulis Sabhi yang ketika itu sedang menjamu selera bersama ahli kumpulannya lain.
Kisah lucu itu menarik perhatian peminatnya yang meninggalkan komen agar penyanyi itu memproses sendiri jus epal itu.
"Mungkin pekerja itu tahu abang ini masuk Masterchef. Itu yang dia bagi 'raw'. Pandai-pandailah olah sendiri," tulis @elsafiyhasbi.
"Kisar pakai mulut. Dia suruh bersenam pipi," tambah @arindahomey.
"Sebenarnya kalau pesan nak epal tak nak air dapat macam mana?" sahut @nabilayadi.
"Maaafkan dia sebab orang asing tak berapa faham bahasa kita. Jangan pula orang kita tak faham-faham bila cakap jangan campur air," tulis pengguna lain pula.
Sabhi kini sedang sibuk berlatih sempena konsert pengenalan Gegar Vaganza 6 (GV6) yang akan berlangsung pada 13 Oktober ini.
Selain Sabhi yang menganggotai One Nation Emcees, GV6 membariskan 12 peserta lain antaranya Wann, Nurfatima, Mazleela, Noorshila Amin, Feeza, Sham Visa, Roy, Jatt, Ameer Sofazr, Naqiu Boboy dan Hady Mirza.
Malah, GV6 turut disertai kumpulan duo Kool.