Gegar Vaganza 9
GV9: Shila Amzah Nervous Bawa Lagu Ramlah Ram; “Untuk Sama Key Asal, Memang Lambat Lagi…”
Bintang Gegar Vaganza 9 (GV9) Shila Amzah akui gementar untuk membawakan lagu Kau Cintaku Di Dalam Hatimu nyanyian asal penyanyi Ramlah Ram pada konsert minggu ketujuh GV9.
Jelas Shila, untuk menyamai key asal lagu tersebut agak mustahil bagi dirinya, sebaliknya dia akan mengekalkan ‘air’ lagu berkenaan.
“Saya pernah sekali sahaja nyanyikan lagu Ramlah Ram iaitu Diam-Diam Jatuh Cinta, selain daripada itu tidak pernah pun nyanyikan lagu dia, jadi minggu depan saya agak nervous juga.
“Macam Tok Ram (Ramli MS) kata ini lagu kayangan, bila lagu kayangan tidak boleh untuk ubah muzik asalnya secara total, jadi saya memang akan kekalkan accent kepada lagu ini.
“Dalam masa yang sama untuk saya menyamai key tinggi asal Ramlah Ram itu memang lambat lagi la ya,” jelasnya.
Shila ditemui pada sesi sidang media yang diadakan usai konsert minggu keenam GV9 yang berlangsung dari Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Ahad lalu.
Dalam pada itu, ditanya adakah dirinya sudah berasa selesa dengan kedudukan yang diperolehi, Shila menjawab tidak sekali berasa puas dengan kedudukan tersebut.
“Ini masih pertandingan untuk semua peserta, apa sahaja boleh berlaku di atas pentas dan saya tidak sekali berasa selesa dengan kedudukan saya.
“Saya yakin bermula minggu kelima lagi semua bintang dah tak simpan kekuatan mereka, masing-masing sudah beri all out.
“GV ini penuh dengan kejutan, siapa yang berjaya buat kelainan dia akan pergi jauh,” tambahnya.
Terdahulu, Shila telah membawakan lagu I Will Show You nyanyian asal penyanyi Korea Selatan, Ailee pada konsert minggu keenam dan berjaya menduduki tangga ketiga dengan markah 76%.