All Stars Gegar Vaganza: “Ada Momen Saya Merasakan Sudah Tiba Masa Berhenti Menyanyi…”- Liza Hanim
Bintang All Stars Gegar Vaganza, Liza Hanim pernah terdetik untuk berhenti menjadi penyanyi disebabkan ada segelintir pihak yang tidak mempercayai bakatnya.
Bagaimanapun kata Liza, dia memadamkan hasrat tersebut disebabkan masih ada peminat yang sentiasa tidak putus asa memberikan sokongan kepada dirinya.
"Ada momen dalam kerjaya seni saya, merasakan seperti sudah tiba masanya untuk berhenti menjadi penyanyi.
“Tapi ada segelintir kumpulan yang masih percaya dengan bakat seni saya dan mahukan untuk saya terus menyanyi.
"Pasukan saya termasuk media yang masih percaya dengan saya itu yang membuatkan saya teruskan kerjaya penyanyi ini," katanya
Liza berkata demikian ketika ditemui pada sidang media konsert akhir All Stars Gegar Vaganza (ASGV) , yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, pada Ahad.
Namun kata Liza, perasaan sama hadir kembali ketika dia mengalami waktu yang agar sukar dalam program All Stars Gegar Vaganza.
"Sepanjang saya berada dalam ASGV, saya sedar kalau mereka minat artis kesayangan mereka, akan sokong bermatian-matian dan kalau tidak suka mereka akan cakap mereka tak suka.
"Meskipun begitu, saya terima dengan hati terbuka dan menganggap komen kurang senang itu tanda mereka sayang pada saya.
"Beberapa minggu lalu ketika saya mengalami waktu yang agak mencabar dalam program ini, perasaan itu (berhenti menyanyi) datang semula, tetapi saya lawan perasaan itu dan buat yang terbaik di final ASGV," jelasnya.
BERITA TRENDING: All Stars Gegar Vaganza: Jaclyn Victor Mohon Peminat Bertenang - “Bukan Saya Yang Beri Markah, Anggap Ini Rezeki,”
Disebabkan itu, Liza berkata dia ingin berkongsi rasa susah senang dirinya sebagai seorang penyanyi dalam konsert sulung berjudul Liza Hanim 27 Years Journey In Concert yang bakal berlangsung pada tahun hadapan.
"Sebab itu juga, saya ingin sangat kongsi jatuh bangun saya dalam konsert sulung saya pada tahun hadapan.
“Itu lah kemuncaknya yang mungkin penyanyi lain 10 tahun sudah buat konsert, sedangkan saya tiada peluang itu.
"Kadang-kadang yang buatkan peluang ada atau tak disebabkan saya terfikir adakah aku layak untuk buat konsert? Sokongan bercampur baur, ada yang sokong ada yang tidak.
"Tapi seperti yang saya katakan, disebakan ada sekumpulan penyokong, penggemar yang sentiasa memberikan sokongan dan semangat luar biasa membuatkan saya teruskan juga," ujarnya.
BERITA TRENDING: All Stars Gegar Vaganza: The Best Of The Best! Juara Milik Jaclyn Victor, Bawa Pulang RM200,000
Terdahulu, Jaclyn Victor dinobatkan sebagai juara ASGV sekali gus membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai berjumlah RM200,000 beserta trofi kemenangan.
Jaclyn berjaya menewaskan tujuh finalis lain iaitu Hardy Mirza, Nikki Palikat, Liza Hanim, Naqiu, Azharina, Tomok dan Siti Nordiana.