GV10 : “Tak Malu Pun, Syukur Ada Peluang Timba Ilmu lagi” - Azharina
Bintang All Stars Gegar Vaganza, Azharina bersyukur kerana diberikan tawaran sekali lagi untuk menyertai program popular berkenaan.
Menurut Azharina, dia tidak malu untuk kembali bertanding dan menganggap perkara itu sebagai platform terbaik buat dirinya untuk kembali menimba ilmu.
“Saya sendiri secara personal menerima tawaran untuk kembali di All Stars Gegar Vaganza yang pertamanya adalah untuk mendapatkan pengalaman.
“Menjadi penghibur dan juga penyanyi yang sebenar, anda perlu mempunyai pengetahuan dan juga platform untuk menunjukkan bakat anda.
“Tidak malu untuk selalu melakukan latihan dan GV telah memberikan saya platform itu. Alhamdulillah saya diberi peluang untuk mengambil ilmu dan belajar lagi di GV tahun ini,” katanya kepada Gempak.
Dalam pada itu ketika diminta mengulas mengenai sembilan bintang lain yang menyertai GV10, Azharina berkata kesemua mereka mempunyai kekuatan tersendiri.
“Mereka semua hebat, saya tak boleh nak pilih siapa pesaing yang paling sengit. Masing-masing mempunyai kekuatan tersendiri.
“Kalau tanya saya, semua itu sengit, kalau tak mereka tak akan jadi juara. Sangat berbakat dan disiplin mereka memang nombor satu,” ujarnya.
Azharina yang merupakan juara GV3 bersama sembilan juara lain akan berentap kembali di pentas GV pada 24 September ini.
Selain Azharina, All Stars Gegar Vaganza menampilkan Ayai Ilusi (GV1), Siti Nordiana (GV2), Noryn Aziz (GV5), Naqiu serta Hady Mirza (GV6), Cliff Umar (GV7), Aliff Aziz (GV8) dan Jaclyn Victor (GV9).
BACA: Juara Vs Juara! Senarai Penuh 10 Bintang All Stars Gegar Vaganza
All Stars Gegar Vaganza akan bersiaran secara langsung dari Auditorium MBSA, Shah Alam, setiap Ahad, jam 9.00 malam secara eksklusif di Astro Ria (Saluran 104).
Untuk pilihan lebih fleksibel, ia boleh distrim melalui platform On Demand menerusi Astro Box dan aplikasi Astro GO.