Nafi Jadi Penyondol, Han So Hee Akhirnya Mengaku Bercinta Dengan Ryu Jun Yeol - “Dia Putus Dengan Hyeri Awal 2023”
Pelakon terkenal Korea, Han So Hee akhirnya membuat pengakuan bahawa dirinya kini bercinta dengan aktor, Ryu Jun Yeol.
So Hee memaklumkan perkara itu menerusi satu kenyataan panjang di blog miliknya selepas berita mengenai hubungan mereka menjadi bualan hangat netizen.
Menerusi hantaran berkenaan, So Hee turut menjelaskan dia bukanlah orang ketiga seperti didakwa netizen sebaliknya hubungan mereka bermula selepas lelaki itu putus cinta dengan bekas kekasihnya iaitu penyanyi dan pelakon, Hyeri.
“Pertama sekali, ya benar kami berdua sedang bercinta dan mempunyai perasaan antara satu sama lain.
“Bagaimanapun saya harap orang ramai berhenti menggunakan istilah ‘hwanseung’ (slang Korea yang membawa maksud menipu atau bertukar).
“Memang benar kami berkenalan melalui pameran foto tetapi tujuan utama saya mengunjungi pameran tersebut adalah untuk melihat pameran bersama rakan jurugambar.
“Saya mendengar berita bahawa kami mungkin bekerjasama dalam projek akan datang, jadi saya pergi untuk menyapanya di sana.
“Kedua, kami mula mempunyai perasaan antara satu sama lain pada tahun 2024. Daripada apa yang saya dengar, dia sudah memutuskan hubungannya dengan (Hyeri) awal 2023.
“Namun berita tentang perpisahan mereka keluar pada bulan November. Berdasarkan fakta ini, saya memutuskan untuk mengikuti perasaan saya dan meneruskan hubungan.
Dalam pada itu, So Hee juga memohon maaf kepada Hyeri mengenai hantaran di Instagramnya yang agak kasar sebelum ini.
“Ketiga, berkenaan hantaran Instagram saya, anda semua benar, ia agak menyedihkan. Saya sepatutnya diam dan tidak melakukan apa-apa.
“Tetapi rasanya saya hilang pertimbangan seketika dan menyiarkan sesuatu yang agak kasar selepas mendengar khabar angin mengatakan hubungan kami bermula ketika mereka masih bersama.
“Saya ingin memohon maaf kepada Hyeri atas perkara ini dan saya juga dengan seikhlas hati memohon maaf kepada semua kerana tidak mengendalikan situasi dengan lebih baik.
“Walau apapun alasannya, saya akui ini adalah salah saya kerana saya bertindak secara tidak rasional dan terlalu mengikut emosi,” jelasnya.
Terdahulu, khabar angin mengatakan Soo Hee dan Jun Yeol menghabiskan masa bersama-sama di Hawai.
Bagaimanapun kedua-dua agensi pelakon berkenaan menafikan perkara itu dan mengatakan mereka berdua berada di Hawai atas sebab peribadi.
Hyeri kemudiaannya membuat satu posting bernada sinis mengenai perkara itu dan So Hee juga turut melakukan benda yang sama.
Untuk info, Hyeri dan Jun Yeol sebelum ini mengesahkan hubungan mereka telah berakhir pada 13 November 2023.