Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Artis Korea

“Part Rap Paling Mencabar Sebab…” - Isaac Voo Muncul Single Bahasa Melayu Pertama

Mya Amri 05/08/2022 | 03:30 MYT

Anggota kumpulan K-Pop IN2IT, Isaac Voo muncul dengan single berbahasa Melayu pertamanya berjudul Time Bomb.

Menurut Isaac, lagu itu benar-benar mencabar kemampuannya namun dalam masa yang sama teruja menantikan reaksi peminat.

“Ini adalah kali pertama saya mengeluarkan lagu Bahasa Melayu penuh. Sebenarnya sebelum ini, saya pernah menyanyikan lagu Bahasa Melayu.

“Pada ketika itu saya muncul bersama IN2IT di Malaysia, tetapi berbeza kali ini kerana ini adalah single solo saya.

“Paling mencabar adalah bahagian rap kerana Bahasa Melayu yang sering saya gunakan adalah dialek Sabah memandangkan saya anak Sabah.

“Jadi, untuk betulkan sebutan dalam Bahasa Melayu standard, saya mendapat bantuan pasukan saya termasuklah penyanyi rap, Asyraf Nasir,” katanya ketika ditemui Gempak.

Isaac ditemui sewaktu pelancaran single, Time Bomb bertempat di V Sing, Puchong pada Khamis.

A post shared by Isaac voo 邬凯名 (@isaacvkm_1212)

Menariknya lagi, dalam video muzik Time Bomb yang akan dilancarkan secara rasmi bermula hari ini, Isaac menyelitkan elemen yang memaparkan identiti Malaysia.

“Saya menyelitkan elemen seperti bendera Malaysia dan wau yang mana, menjadi identiti negara kita.

“Tujuan saya adalah untuk menunjukkan kepada orang luar bahawa kita memiliki budaya serta karya seni yang tidak kurang hebat.

“Sekaligus, saya ingin buktikan bahawa karya-karya seperti lagu Malaysia juga berkualiti, ‘gempak’ dan ‘daebak’!” katanya.

Isaac juga turut mendapat reaksi positif rakan-rakannya dalam kumpulan IN2IT.

“Mereka memberikan reaksi positif dan menurut mereka, lagu ini sesuai dengan saya,” ujarnya.

Selain single solo ini, Isaac juga kini bakal muncul dengan projek baharu bersama IN2IT.

Kredit foto: Instagram @isaacvkm_1212

#Idol #Isaac Voo #Time Bomb
;