Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Artis Korea

Selepas 10 Tahun, Akhirnya CNBLUE Kembali Ke Malaysia!

Mya Amri 25/02/2024 | 11:55 MYT
Penantian peminat selama 10 tahun akhirnya menjadi kenyataan selepas kumpulan pop rock popular Korea Selatan CNBLUE bakal kembali ke Malaysia April depan.
Kehadiran CNBLUE bagi menjayakan konsert 2024 CNBLUE Live “CNBLUENTITY” in Kuala Lumpur ini adalah atas usaha Hit Maker Entertainment dan Lo-Fi Entertainment selaku penganjur bersama.
Gabungan nama band dengan perkataan "identity", CNBLUENTITY adalah untuk menggambarkan identiti trio tersebut.
CNBLUE yang dianggotai oleh Yonghwa sebagai vokalis utama dan gitar, pemain dram Minhyuk serta Jungshin sebagai pemain bass memulakan kerjaya seni mereka pada 2010 di bawah pengurusan FNC Entertainment.
Antara lagu-lagu popular yang dinyanyikan mereka adalah I'm a Loner, I'm Sorry, Love and Can't Stop dan banyak lagi.
Konsert 2024 CNBLUE Live “CNBLUENTITY” in Kuala Lumpur akan berlangsung pada Sabtu, 20 April bertempat di Mega Star Arena, KL, jam 8 malam.
Tiket juga sudah mula dijual dan boleh dibeli melalui www.ticketingtix.com.
Tiket-tiket boleh didapati dengan harga RM798 (zon BOICE), RM698 (zon THEN), RM598 (zon NOW), RM398 (zon FOREVER).
Terdahulu, sepanjang kerjaya mereka, CNBLUE telah merakamkan lagu dalam bahasa Korea, Jepun, Inggeris dan bahasa lain dengan diskografi yang merangkumi 11 album studio, 14 album mini (EP), 33 single dan tiga album kompilasi.
Band ini telah menerima pelbagai anugerah seperti Golden Disc Awards, Mnet Asian Music Awards (MAMA) dan Melon Music Awards.
Selain muzik, ketiga-tiga ahli itu juga berbakat dalam bidang lakonan dan sering muncul dalam K-drama.
Yonghwa melakonkan watak utama dalam drama komedi Brain Works pada tahun 2023, Minhyuk membintangi drama popular Celebrity tahun lepas, manakala Jungshin pula memainkan peranan utama dalam komedi percintaan Sh**ting Stars pada tahun 2022.
#Konsert #CNBLUE
;