Artis Korea
Terpikat Sebab Stoking, Rain Mengaku Cinta Ditolak Isteri Lima Kali Sebelum Kahwin
Penyanyi dan pelakon terkenal Korea, Rain mendedahkan cintanya pernah ditolak sebanyak lima kali oleh isterinya, Kim Tae Hee.
Pendedahan itu dikongsi Rain menerusi siri terbaharu Netflix Original berjudul The Hungry and The Hairy baru-baru ini.
Mungkin ramai yang tidak tahu sebenarnya rasa cintanya terhadap Tae Hee bermula kerana sepasang stoking.
Mengimbas kembali momen tersebut, Rain memaklumkan kejadian itu berlaku pada sekitar 10 tahun lalu.
“Saya bertemu dia buat pertama kali adalah semasa menjalani penggambaran iklan 10 tahun lalu.
“Kebiasaannya penata gaya yang akan memakaikan stoking kepada anda apabila diminta untuk menukar gaya baju.
“Namun dia memakai stoking itu sendiri sambil melutut di atas lantai tanpa menyusahkan orang lain. Pada ketika itulah hati saya terdetik, dia lah orangnya.
Bagaimanapun kata Rain, agak sukar untuk memenangi hati isterinya sebelum mereka mengambil keputusan untuk bercinta dan berkahwin.
“Sebenarnya cinta saya juga pernah ditolak sebanyak lima kali oleh isteri. Saya rasa kemungkinan dia melihat imej saya pda ketika itu tidak bersesuaian.
“Jadi dia banyak bercerita tentang perkara-perkara yang dia dengar mengenai saya. Jadi saya beritahu secara jujur pada dia apa yang betul dan apa yang tidak.
“Rasanya selepas menjelaskan perkara itu Tae Hee, mungkin memberikan kesan mendalam kepadanya,” jelasnya.
Rain dan Tae Hee telah melangsungkan perkahwinan mereka pada 19 Januari 2017.
Hasil perkahwinan itu pasangan ini dikurniakan dua orang cahaya mata.