Kesihatan | Health
#GempakSpot: "Aku Punya Impian, Dan Ini Adalah Impian Seorang Pejuang Depresi"
Kisah ini dihantar oleh Tisya Hisham untuk peraduan GempakSpot X Althea. Lima artikel terpilih akan disiarkan setiap hari mulai Isnin hingga Jumaat. Atikel yang mendapat paling banyak 'Likes' dan 'Shares' di Facebook Astro Gempak akan memenangi produk Althea bernilai RM185 dan pemenang akan diumumkan di Instagram dan Facebook Astro Gempak.
Ya. Itu yang aku dapat. Gila dan sakit mental. Menyusahkan dan mengganggu. Tak bertanggungjawab dan tak sedar diri. Hahahaha kesian diri sendiri. Masa
tu, aku tolak semua hukum dan aku ambil keputusan untuk tamatkan semua ni. Toreh tangan dan kelar sedikit dibahagian urat leher.
“Sudah-sudahlah buat perangai”
“Sebab kau tak solat!”
“Benda macam ni, lebih pada mengada ngada je”
“Hantar jelah pergi hospital sakit mental. Menyusahkan”
“Tak kisah la kau sakit apa pun tapi tak payah la tunggang terbalikkan hidup orang lain!”
“Sudah!” Jerit aku. Aku Tisya. Dan aku terjaga lagi. Walaupun baru kejap mata ni terpejam. Semua
orang ada cerita. Dan ini, cerita aku.
‘AKU PEJUANG DEPRESI’
“Assalamualaikum diari TH. Hari ni dah masuk dua minggu lebih aku tak dapat tidur. Hmm aku penat. Aku nak rehat.
Tapi aku tak mampu nak tidur. Kata orang, mimpi itu lebih indah dari kehidupan sebenar. Sebaliknya untuk insan macam aku ni. Realiti aku, tak indah. Mimpi pulak, lagi teruk.
Setiap kali mata terpejam, tak seperti setengah orang, bermimpi berkahwin dengan crush. Aku punya mimpi Kahwin dengan masa silam.
Bukanlah semua masa silam aku teruk tapi yang selalu diulang tayang, mimpi sama je. Mungkin betul. Hidup aku ni, menyusahkan orang je. Sebab tu, aku asyik dapat mimpi yang menyusahkan aku.
Kalau lah setiap apa yang aku tulis tu ada unsur magis macam movie fantasy, aku nak tulis untuk sentiasa lndungi aku dan family dari segala penyakit dan bahaya. Dan sentiasa dilimpahkan rezeki halal. Tu pun dah cukup.
Kesian kau diari. Hari-hari dengar aku bebel panjang-panjang. Sorry tau, aku takde kawan yang nak mendengar. Sebab yang mendengar pun tak faham. Jadi menulis jela yang aku mampu. Aku stop menulis dulu ya. Bye!”
Yang masih berjuang tanpa senjata,
Tisya.
Aku memang suka menulis. Dari kecil sampailah aku besar panjang. Aku hargai setiap apa yang namanya tulisan. Bila dah makin besar, aku suka puisi. Dan aku selalu berdoa untuk jadi penulis puisi yang berjaya dan kaya raya. Dengan rezeki tu, boleh lah aku berjihad dekat jalan Allah.
Tapi, percaturan Allah lagi baik. Aku dah tak minat dengan apa yang aku sayang. Aku dah lost interest dengan penulisan dan puisi. Sejak penyakit ‘halimunan’ ni muncul.
Kenapa aku cakap halimunan? Sebab penyakit ni, orang sekeliling susah nak detect. Tau-tau, pejuang dah suicide. Then, family akan malu dengan masyarakat. Netizen akan mengecam macam mereka tau semua benda.
Semua benda tu akan terjadi tanpa mereka sikit pun peduli dengan perjalanan hidup seorang pejuang depresi.
Apapun, aku masih bersyukur dekat Allah swt sebab anugerahkan aku dengan sifat suka membaca dan ambil tahu. Since aku dah perasan ada something wrong dekat diri ni. Aku cakap dekat mak aku dan mak aku bawak pergi klinik.
Bila aku cerita, doktor terus dapat detect sakit aku. Tambah pulak, dengan kesan-kesan toreh and cakar dekat setiap anggota badan. Aku pun tak sedar bila aku buat benda tu. Straight away, doktor refer aku ke hospital.
Sejak hari tu, aku kena makan banyak ubat. Aku ada sesi kaunseling. And aku terpaksa stop awal pengajian aku dekat IPT. Walaupun masa tu dah hujung semester. Alhamdulillah, pensyarah aku semua faham dengan keadaan aku. Diorang bagi aku perlepasan. Which is aku still boleh grad.
Waktu tu, aku dapat rasa kasih sayang daripada orang sekeliling. Diorang make sure aku makan, makan ubat, mandi, bersihkan setiap luka yang ada pada aku termasuk luka dekat hati.
Tapi, benda tu sekejap je, penyakit ni membunuh aku dari dalam. Ubat ibarat tak memberi kesan apa-apa pada tubuh badan dan sel aku. Akhirnya, aku tumpas.
Lagi beberapa hari sebelum hari kelahiran, aku dimasukkan ke dalam wad psikiatri. Masih jelas hingga saat ini, lorong dan ruangan gelap yang aku lalu dan masuk. Jauh dari pintu utama hospital.
Jururawat yang ada, hulurkan baju hijau. Dan barang-barang peribadi aku diserahkan pada keluarga. Aku memandang malaikat tanpa sayap dengan pandangan sayu. Mama memberi senyuman kekuatan waktu itu.
Dan pintu wad terus ditutup. Subuh, nurse datang kejut. Baru lah aku betul-betul sedar aku kat mana. Seminggu aku dekat situ, hari-hari parents aku melawat.
Pertama kali dalam sejarah, waktu umur aku cecah 20 tahun, aku sambut hari kelahiran dalam wad psikiatri. Sepanjang ada kat situ jugak lah, aku dapat tengok manusia lain yang ada penyakit ‘halimunan’ ni.
Dari lelaki ke perempuan. Dari seorang anak kepada seorang ibu. Dari yang bergaji kecil ke setinggi gaji. Dari seorang pelajar ke seorang pendidik. Sehingga dari hamba biasa ke hamba alim. Pelbagai manusia, pelbagai ragam.
Kata doktor, penyakit ni akan kekal. Cumanya akan berkurangan jika dirawat. Kata doktor juga, tindakan aku bijak dan pantas sebab terus dapatkan bantuan dan ingin dirawat. Doktor sahkan aku menghidap depression and anxiety.
Penyakit ni ada banyak category tapi tak perlu aku sebut apa nama penuh ia. Lepas seminggu, doktor izinkan aku balik tapi setiap 2 minggu aku kena ‘date’ dengan psychiatrist and kaunselor.
Makin hari, aku makin okay sebab persekitaran aku positif. So aku sangat gembira dan aku dah mula aktif balik dekat socmed. Selepas berapa lama, environment aku makin K.O. dan kesihatan aku makin teruk.
Aku teringat ayat doktor yang rawat aku sebelum ni, “Tindakan kamu betul sebab kamu beritahu, cerita dan itu sangat memudahkan untuk orang membantu kamu.
Sebab bila kamu diam susah untuk orang tau keadaan kamu. Penyakit ni, orang takkan nampak dari luar sebab dia membunuh dari dalam. So aku tak nak mati sia-sia, jadi aku cerita dekat a few people yang aku percaya
supaya diorang faham and dapat tolong aku.
Sebab bila aku kena attack, aku tak sedar apa aku buat. Dan aku kesiankan orang sekeliling kalau diorang terkena tempias dalam keadaan diorang tak tau dan tak faham.
Tapi sayang, kali ni aku salah percaturan. Yang aku percaya, anggap aku menyusahkan. Sampai sekarang aku tak pernah lupa ayat yang one of them cakap. Yang aku ni, tunggang terbalikkan hidup orang.
Diri aku makin hari makin teruk. Aku sendiri tak kenal siapa aku. Allah turunkan lagi ujian dengan orang yang ambil kesempatan atas penyakit aku. Difitnah. Sakit bila ingat balik. Bukan aku tak pertahankan diri dan maruah tapi siapa yang percaya setiap tutur kata manusia gila?
Ya. Itu yang aku dapat. Gila dan sakit mental. Menyusahkan dan mengganggu. Tak bertanggungjawab dan tak sedar diri. Hahahaha kesian diri sendiri. Masa tu, aku tolak semua hukum dan aku ambik keputusan untuk tamatkan semua ni.
Toreh tangan dan kelar sedikit dibahagian urat leher. Allah tak izinkan aku pergi dengan keadaan macam tu. Aku masih hidup. Tapi, aku masih mencuba untuk tamatkan nyawa yang dah tak berguna ni.
Perlahan aku menghampiri tengah jalan raya untuk dilanggar kereta. Allah masih sayang. Dihadirkan manusia yang masih memerlukan aku diatas muka bumi. Sehingga hari ini, aku masih hidup. Bersujud aku pada Dia kerana masih mencintai aku.
Namun sejak itu, aku berubah. Tidak lagi aku bercerita apa masalahku. Tidak juga aku mempercayai manusia yang ada dan muncul dalam perjalanan hidupku. Walau kesan toreh dan kelar hanya meninggalkan parut tetapi penyakit halimunan itu masih menjadi sebahagian dari diri seorang aku.
Dan kini, aku hanya membiarkan ia hidup walaupun ia sedang membunuh. Tetapi, aku menyayangi setiap nyawa. Dan jika memeluk ajnabi itu tidak salah, sudah
aku peluk setiap pejuang, bersenjata atau tanpa senjata.
Supaya aku boleh memberi bukti bahawa masih ada manusia yang boleh kau percaya untuk bercerita. Dan aku masih tetap berjuang walaupun sudah tidak ada yang peduli. Aku punya impian. Dan ini adalah impian seorang pejuang depresi.
Kredit Gambar: Jefferson Palomique
Nota: Gambar utama adalah sekadar gambar hiasan semata-mata
Kisah ini dikongsi oleh Tisya Hisham untuk peraduan GempakSpot X Althea. Beberapa ejaan, perkataan dan ayat mungkin diubah suai untuk memudahkan pembaca.
Pandangan dan pendapat penulis adalah hasil karya asli penulis dan tidak mewakili serta tidak mencerminkan pandangan dan pendapat dari Gempak. Gempak tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan atau kesalahan kandungan artikel ini.
Kepada anda yang berminat untuk menyertai peraduan GempakSpot X Althea, hantarkan karya anda sekarang sebelum tarikh tutup peraduan pada 25 Oktober 2020 ke GempakSpot