Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Personal Opinion | Pendapat Peribadi

#GempakSpot: Bantu Ayah, Jual Sesuatu Yang Unik Demi Kelangsungan Hidup

Gempak Spot 20/03/2019 | 02:49 MYT
Sewaktu singgah di Stesen Petronas berdekatan Taman Sri Semantan, Temerloh, baru-baru ini, saya ternampak seorang adik ini yang menjual penyapu yang unik.
Isteri saya mendekati dan bertanya beberapa soalan sebelum membeli sebatang. Adik ini membantu ayahnya. Menjual penyapu buatan ayah katanya. Malu-malu tapi hatinya mulia.
Penyapu ini batangnya dari buluh dan hujungnya bahagian menyapu dari pohon Enau. Ingat tak peribahasa 'Bagai Enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing'?
Walaupun ia digunakan untuk suatu peribahasa yang kurang elok maksudnya, ada bahagian pokok Enau ini yang berguna dan boleh mendatangkan faedah. Anda tahu tak maksud peribahasa tu?
Kemas buatannya. Tengok ikatan-ikatan, cara sulam dan simpulannya. Serbuk dan habuk pada rerambut bahagian untuk menyapu itu memang sudah ada di situ, tanda ianya dibuat dengan penuh ikhlas dan masih menggunakan cara tradisional.
Saya tak pasti kalau dia sentiasa di situ. Tetapi ada teman-teman yang berkongsi cerita membeli penyapu yang sama. Cuma adik ini berada di tempat-tempat yang berlainan. Ada yang membeli di Sepang dan ada yang pernah jumpa di sebuah stesen minyak Seremban.
Ada juga teman yang memberitahu tidak dapat jumpa adik ini pada hari biasa. Mungkin dia bersekolah. Selalunya dia ada untuk menjual penyapu Enau buatan ayahnya itu pada hari minggu, iaitu Sabtu dan Ahad. Walau di mana pun adik ini berada, saya doakan semoga rezekinya dibuka luas oleh Allah SWT kerana membantu keluarga demi kelangsungan hidup.
Ramai yang puji dengan ketahanan penyapu Enau ini. Bukan sahaja kemas, tapi praktikal untuk digunakan. Saya masih belum gunapun lagi penyapu ini. Silap-silap takkan guna, dan buat perhiasan. Ada ketika yang tradisional itu lebih baik daripada yang moden. Orang kata, ada 'personal touch'.
Kredit Gambar: Nizam Samad
Nizam Samad adalah penulis bebas untuk artikel di atas. Pandangan dan pendapat penulis adalah hasil karya asli penulis dan tidak mewakili serta tidak mencerminkan pandangan dan pendapat dari Gempak. Gempak tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan atau kesalahan kandungan artikel ini.
Kepada anda yang berminat untuk menyumbang, hantarkan karya anda ke hello@gempak.com
#GSpot #Penyapu Enau
;