Education | Pendidikan
#GempakSpot: “Bersama Kita Nikmati Detik-Detik Magik Dunia Pembacaan” - Apshy Vimal
Saya Apshy Vimal, dan saya merupakan Duta Belia Muda dan Peneraju Projek di Friends to Mankind (Persatuan Sahabat Insan). Saya dibesarkan di Malaysia dan sepanjang hidup saya, sifat-sifat prihatin dipupuk dari kecil lagi. Apatah lagi ayah saya, Dhyan Vimal, menghabiskan sepanjang hidupnya dengan kerja-kerja amalnya.
Ketika berumur 15 tahun, saya dan adik saya Aishy Vimal mahu melakukan sesuatu yang selari dengan sikap prihatin yang dipupuk di dalam hidup kami. Ketika itulah kali pertamanya kami menganjurkan tiga flashmob untuk tujuan meningkatkan kesedaran terhadap perkahwinan kanak-kanak di kalangan gadis-gadis remaja yang hidup dalam serba kekurangan dan kemiskinan.
Walaupun matlamat utama Flashmob tersebut untuk meningkatkan kesedaran, pada masa yang sama kami berjaya mengutip sumbangan sebanyak RM10,000 untuk disalurkan kepada golongan berkenaan. Dua tahun kemudian, kami memutuskan untuk mengutip dana kewangan dengan mengadakan pertunjukan konsert tarian amal iaitu Dance Effect Concert 2013.
Dengan kerjasama dari pelbagai sekolah tarian, badan-badan korporat dan media, kami berjaya menganjurkan konsert tarian amal tersebut dan mengutip dana sebanyak RM100,000 untuk projek Girl Effect dan organisasi tempatan yang lain.
Saya kemudiannya menyambung pendidikan dalam bidang Hal-ehwal Kemanusiaan Antarabangsa dan Sosiologi di Universiti Fordham, New York City. Ketika di universiti, saya memegang jawatan Presiden Perikatan Feminist dan juga pernah bertugas di Yayasan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations) di New York City.
Walaupun saya menetap di New York selama tiga tahun namun saya memilih untuk kembali ke Malaysia untuk meneruskan kerjaya saya dalam tanggungjawab sosial. Saya sentiasa ingin melibatkan diri dalam kerja-kerja amal dan memutuskan ianya lebih bermakna jika saya mulakan dan tumpukan perhatian di tanahair sendiri.
Di Malaysia saya bekerja sepenuh masa di Friends to Mankind sebagai Peneraju Projek dengan mengetuai projek ‘The Book Effect’ di samping memegang jawatan selama lapan tahun sebagai Duta Belia di pertubuhan ini. Saya juga telah membuka bakeri sendiri iaitu Cake & Bake.
Projek ‘The Book Effect’ merupakan sesuatu yang sangat dekat di hati kerana sebahagian besar zaman kanak-kanak saya adalah melalui aktiviti- aktiviti membaca. Saya percaya bahawa membaca bukanlah menggambarkan kemewahan, sebaliknya ianya merupakan satu keperluan.
Masih ingat lagi ketika saya berusia 10 tahun setelah kami berpindah ke Kanada. Dalam beberapa bulan pertama, teman-teman saya hanyalah kedua ibu bapa, adik dan juga Harry Potter! Seingat saya waktu itu saya membaca setiap hari.
Saya tenggelam dalam dunia cerita yang saya baca, seakan berada dalam dunia magik sehinggakan lupa di mana saya berada, lupa akan dunia realiti ini. Seronoknya!
Semakin umur meningkat, semakin banyak perkara lain yang perlu dilakukan seperti mahu bersama rakan-rakan, kursus universiti, dan pelbagai perkara lain. Namun dalam kesibukan itu, saya masih mempunyai detik-detik bermakna apabila berpeluang untuk membaca cerita atau buku yang serta-merta membawa kepada suasana yang amat berbeza, alam magik itu semula.
Buku-buku dan cerita-cerita sentiasa memberi pandangan tersendiri terhadap dunia dan masyarakat. Begitu banyak diri saya yang dibentuk oleh cerita-cerita yang telah saya baca selama ini dan saya sangat inginkan lebih ramai berkongsi pengalaman yang sama.
Ketika kami mengambil keputusan untuk memulakan projek ‘The Book Effect’ ini, kami tidak tahu apa yang bakal terhasil. Kami hanya ada satu idea yang cukup mudah, iaitu mengumpul buku-buku dan membina beberapa buah perpustakaan untuk kanak-kanak dan remaja, terutamanya golongan yang kurang berkeupayaan.
Di samping itu, dalam proses menjayakan projek ini, kami berharap ia dapat menggalakkan dan menerapkan semula tabiat membaca di kalangan masyarakat. Tetapi setelah beberapa perjumpaan, perancangan dan lawatan ke pusat pemulihan dadah, pusat pelarian (refugee centre) dan rumah anak-anak yatim semenjak beberapa bulan yang lalu, kami dapati bahawa ianya jauh lebih bermakna.
Ianya bukan setakat mengumpul buku-buku dan meletakkannya di atas rak. Kami sebenarnya bersedia untuk menyebarkan dan berkongsi kegembiraan dan pengalaman yang dirasai melalui pembacaan!Kami ingin memberi impak kepada kehidupan orang ramai dan seboleh-bolehnya kami mahu mereka melalui bersama detik-detik alam magik dalam dunia pembacaan ini.
Pengalaman lalu dalam membina dua buah perpustakaan amatlah menakjubkan buat kami terutamanya melihat orang ramai secara sukarela datang bersama-sama dalam menderma buku dan perabot, dan juga sukarelawan yang sudi menawarkan pelbagai kemahiran berbeza dan unik.
Kami ada lebih 40 orang sukarelawan yang turut serta dalam projek ini. Di samping itu, terdapat beberapa badan korporat seperti Prince Court, GE, Make It Right, Easyspad, GSC dan Starbucks yang turut bersama dalam menjayakan projek ini. Kami juga ada hampir 30 lokasi pengutipan buku dan Starbucks turut menyokong dengan menyediakan hampir 50 lokasinya sebagai pusat pengutipan buku.
Pada awalnya kami merancang untuk mengumpul 10,000 buah buku, dan setakat ini kami telah berjaya mengumpul hampir separuh sasaran kami dalam jangka waktu yang singkat. Saya dapat bayangkan ianya suatu permulaan yang sungguh indah.
Untuk tahun ini kami akan tumpukan di kawasan Lembah Klang, tetapi melihat kepada perkembangan terkini, kami dapat bayangkan kami mampu mengembangkan sayap ke negeri-negeri lain tahun depan. Namun, apa yang lebih bermakna dan paling menggembirakan adalah apabila melihat kegembiraan pada wajah kanak-kanak ini.
Inilah pendorong utama kami dalam meneruskan usaha ini. Dalam pada itu, kami sedar bahawa perkara-perkara yang nampak biasa seperti inilah yang membawa makna sebenar dalam kehidupan kita dan yang lainnya.
Saya berharap anda sebagai pembaca di luar sana akan terdorong untuk turut melibatkan diri demi manfaat orang ramai. Anda boleh menderma buku atau memulakan projek anda tersendiri di mana kita semua sama-sama memainkan peranan dalam membantu mereka yang memerlukan. Setiap tindakan sangat bermakna dan berharga kepada masyarakat kita terutamanya golongan yang kurang mampu.
Untuk maklumat lanjut tentang projek The Book Effect, sila layari Facebook Friends to Mankind untuk mengetahui aktiviti semasa kami, atau kunjungi laman web Friends to Mankind. Anda juga boleh menghubungi talian 03-6157 7746
Kredit Gambar: Apshy Vimal
Mendapat pendidikan di di Universiti Fordham, New York City, Apshy Vimal bekerja sepenuh masa di Friends to Mankind sebagai Peneraju Projek dan mengetuai projek ‘The Book Effect’. Beliau juga memegang jawatan Duta Belia di pertubuhan tersebut. Apshy juga mempunyai bakeri sendiri iaitu Cake & Bake.
Pandangan dan pendapat penulis adalah hasil karya asli penulis dan tidak mewakili serta tidak mencerminkan pandangan dan pendapat dari Gempak. Gempak tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan atau kesalahan kandungan artikel ini.
Kepada anda yang berminat untuk menyumbang, hantarkan karya anda ke hello@gempak.com