Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Personal Opinion | Pendapat Peribadi

#GempakSpot: Paris Bukan Lagi Kota Percintaan, Tetapi Penuh Tipu Daya Dan Kekotoran

Gempak Spot 28/02/2019 | 08:49 MYT
Teruja! Itulah satu perkataan yang dapat digambarkan apabila merancang untuk ke kota Paris yang digelar kota percintaan itu. Perasaan tidak sabar dan seronok untuk melihat sendiri Eiffel Tower serta tempat-tempat pelancongan lainnya yang sering dibayangkan cukup indah, membara-bara.
Dua tiga minggu sebelum ke sana, heboh pula dengan cerita rusuhan yang berlaku di seluruh Perancis terutamanya di kota Paris. Bimbang juga tetapi ada beberapa orang kawan yang memberitahu ianya tidaklah seteruk seperti yang dilaporkan.
Oleh kerana sudah lama merancang, perjalanan tetap diteruskan. Apatah lagi keinginan untuk ke sana sentiasa membuak-buak untuk merasai sendiri rasa ‘cinta’ yang selalu dirasai oleh orang-orang yang pernah ke sana.
Kami berlima, saya bersama adik lelaki saya, isteri beliau dan dua anak mereka menaiki kapal terbang ke sana dua hari sebelum sambutan hari Natal.
Bak kata orang, indah khabar dari rupa. Pengalaman yang dilalui sememangnya agak berbeza daripada apa yang dibaca dan didengar daripada teman-teman sebelumnya. Bukannya semua tidak baik, tetapi agak jauh daripada yang disangkakan.
Tiba di apartment yang telah kami tempah sejak awal, kami diberi ‘amaran’ oleh tuan rumah supaya berhati-hati ketika keluar terutamanya jika ingin ke tempat-tempat yang menjadi tumpuan pelancong.
“Jangan bawa terlalu banyak wang, dan jangan letakkan pada satu tempat sahaja,” pesan tuan rumah dalam bahasa Inggeris berbaur Perancis.
“Di kawasan tersebut terlalu ramai ‘pick pocket dan con man,” pesan beliau lagi seolah-olah risau dengan keadaan kami.
Sungguh, kota Paris pada kami terlalu kotor dengan sampah sarap. Mungkin ramai yang sudah bercuti daripada bekerja dan keadaan itu hanyalah sementara. Tetapi rasa terkilan tetap ada kerana ianya tidaklah yang seperti saya gambarkan dalam fikiran saya.
Menaiki bas ‘Hop On Hop Off’ untuk melalui tempat-tempat yang menjadi tumpuan pelancong adalah cara paling mudah, tetapi pada masa yang sama kita dapat melihat hampir keseluruhan kota Paris. Kekotoran di mana-mana.
Kalau nampak sedikit bersih pun hanyalah di kawasan tumpuan pelancong seperti muzium Louvre, Notre-dame, Arc De Triomphe serta Eiffel Tower. Itu pun masih kelihatan kertas-kertas, bekas makanan serta puntung rokok merata-rata. Seolah-olah tidak terjaga.
Ketika berhenti di sebuah lorong untuk membeli souvenir, kami juga dinasihatkan oleh beberapa orang tuan punya kedai supaya berhati-hati dengan orang-orang yang menipu.
Di tengah-tengah lorong yang penuh dengan pelancong mereka membuka meja kecil dan memulakan permainan meneka bola di dalam cawan. Sindiket penipuan ini terdiri daripada beberapa sekumpulan lelaki dan wanita. Seorang memulakan permainan dan beberapa orang lagi pula menyamar sebagai pelancong untuk bermain.
Setiap kali mereka bermain, penyamar ‘pelancong’ pasti akan menang meneka. Tujuannya untuk menarik minat pelancong lain untuk turut serta. Di sini penipuan bermula. Bermula dengan wang yang sedikit, pelancong akan menang. Tetapi bila semakin banyak, mereka mula kalah.
Beberapa penyeluk saku dari sindiket yang sama berkeliaran di belakang pelancong-pelancong yang tidak menyedari kehadiran mereka. Dengan mata saya sendiri, saya melihat sebuah telefon pintar diambil daripada poket seorang pelancong.
Kenapa kita tidak boleh berbuat apa-apa? Kerana mereka turut mempunyai ‘bodyguard’ yang menjaga setiap sudut jika ada kehadiran polis atau berlaku apa-apa yang boleh membuatkan mereka tertangkap. Rasa kasihan pada pelancong tersebut memang ada, tetapi kami hanya mampu melihat.
Apa yang berlaku pada kami ketika di Eiffel Tower adalah pengalaman pahit yang tidak akan kami lupakan. Turun sahaja di hentian Eiffel Tower kami sangat teruja. Mungkin juga kesalahan kami sendiri. Adik ipar saya tertinggal sedikit jauh ke belakang. Tiba-tiba dia dikerumuni oleh anak-anak muda belasan tahun.
Salah seorang daripada mereka sengaja melanggar bahu dan kemudian cuba membantu adik ipar saya. Kemudian rakan-rakan beliau mula datang berkerumun seolah-olah turut cuba membantu. Apabila isteri adik saya menjerit, kami sedar dan terus berkejar ke arah beliau. Anak-anak muda tersebut mula bersurai dan masing-masing berpecah.
Setelah kami amati, tas tangan adik ipar saya sudah ditoreh dan purse beliau juga hilang termasuk dengan beberapa alat solek di dalamnya. Memang geram kerana mereka itu masih dalam belasan tahun tapi sudah menjadi pencuri! Mujur tidak banyak duit di dalam purse tersebut, tetapi sedih apabila tas tangan turut dirosakkan.
Pengalaman tersebut membuatkan kami lebih berhati-hati untuk hari-hari seterusnya. Bunyinya memang kelakar, tetapi kami simpan duit di dalam stokin, di celah sarung tangan dan di mana-mana sahaja yang kami rasa selamat.
Keindahan yang diharapkan di kota Paris yang terkenal itu sememangnya tidak kesampaian dan dikaburi dengan pengalaman pahit yang kami lalui. Apa-apapun, kami bersyukur kerana tidak ada perkara yang lebih teruk berlaku seperti kecederaan dan sebagainya.
Mahu lagi ke kota Paris? Mungkin tidak. Cukuplah dengan gambar-gambar yang ada dan kenangan-kenangan yang tersimpan.
Mohd Khairul Azman adalah penulis bebas untuk artikel di atas. Pandangan dan pendapat penulis adalah hasil karya asli penulis dan tidak mewakili serta tidak mencerminkan pandangan dan pendapat dari Gempak. Gempak tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan atau kesalahan kandungan artikel ini.
Kepada anda yang berminat untuk menyumbang, hantarkan karya anda ke hello@gempak.com
#Paris #GSpot
;