#GempakSpot
#GempakSpot: Saya Percaya Cinta Itu Edan
Dua hari kebelakangan ini saya menonton pengakuan jujur beberapa selebriti Indonesia seperti Dewi Sandra dan Bunga Citra Lestari tentang kehidupan dan cinta mereka.
Saya terpukul dengan banyaknya cerita kehidupan manusia yang masih berpaksikan cinta. Kemasyhuran, kekayaan boleh jatuh jauh kalau mahu dibandingkan dengan cinta yang edan (gila).
Dewi Sandra yang pernah berkahwin dengan penyanyi, Glenn Fredly, lelaki yang teguh dengan kepercayaan sebagai seorang Kristian meninggal dunia tahun lalu.
Namun, sewaktu berkahwin dengan Glenn, Dewi Sandra seorang beragama Islam dan selepas mereka bercerai, penyanyi wanita yang cukup menjaga penampilannya sebagai seorang patuh syariah ini mengaku sempat ingin membunuh diri.
Alasan Dewi Sandra: "Sebab itu adalah perkahwinan kedua dan saya gagal lagi."
Kemudian, kisah cinta Bunga Citra Lestari dan suaminya, Ashraf Sinclair yang meninggal dunia pada 18 Februari 2020 juga menarik perhatian saya.
Dalam pengakuannya, Bunga mengungkapkan lebih rela dicurangi oleh Almarhum Ashraf, ketimbang (daripada) ditinggal mati.
"Saya lebih rela diselingkuhi daripada Ashraf meninggal dunia. Iya, bunyinya gila, sakit itu pasti. Tapi sekurangnya, dia ada di depan mata saya," begitu kata Bunga sekaligus membuat heboh netizen.
Iya, saya percaya cinta itu edan. Dua kisah benar seperti yang saya ambil contoh di atas tadi sudah membuktikan betapa besarnya kuasa cinta yang boleh menggerakkan seseorang melakukan hal hal di luar kewarasan serta pengorbanan.
Sebab itu, di layar lebar atau di layar kaca mahupun jutaan lirik lagu yang telah dihasilkan sejak berabad lamanya, banyak kisah cinta disulam dengan fiksi. Tentulah ada yang ditokok tambah, namun 'bumbunya' masih cinta. Cinta yang edan.
Saya mungkin ketinggalan. Saya baru menonton Flower of Evil, drama Korea Selatan 16 episod yang 'berbumbukan' cinta. Kemudian The Penthouse, yang antaranya menjentik skandal curang; yang nampak absurd tapi terjadi dalam realiti sehari hari. Ini hanya sedikit contoh dari lambakan karya di dunia bertemakan cinta yang berbeza.
Iya, saya masih percaya cinta itu edan bila mana terjadi banyaknya kes sehingga mendorong berlakunya jenayah atau sama sama bersetuju untuk mati sahaja.
Itu, antaranya seperti kisah General Rome, Mark Anthony dengan Ratu Mesir, Cleopatra yang berakhir dramatik apabila kedua duanya membunuh diri setelah tewas dalam peperangan.
Belum lagi kisah kasmarannya Shah Jahan yang begitu menderita setelah kematian isteri tercinta, Mumtaz Mahal sehingga berdirinya Taj Mahal.
Putera Harry dan isterinya, Meghan Markle yang kini menanti kehadiran cahaya mata kedua, bersetuju melepaskan gelaran diraja, sebuah tindakan demi menjalani sebuah kehidupan normal. Juga atas tiket cinta.
Ini semua cerita cinta yang cukup epik dan legenda, tak pernah lagi mati walau peradaban manusia berubah.
Iya, sekali lagi diulangi, saya percaya cinta itu edan. Saya percaya, cinta walaupun gila, cintalah yang mengekalkan kewarasan.
Hidup tanpa cinta, walau cinta buat tanaman, haiwan kesayangan ataupun terhadap makanan sehingga setiap azam mahu diet tidak pernah kesampaian, akan mendorong kita marah marah. Begitu kesimpulan saya. Bagaimana dengan anda?
Pandangan dan pendapat penulis adalah karya asli penulis dan tidak mewakili serta tidak mencerminkan pandangan dan pendapat dari Gempak. Gempak tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan atau kesalahan kandungan artikel ini.
Kepada anda yang berminat untuk menyumbang, hantarkan karya anda ke GempakSpot.
Kredit Foto: Getty Images
Instagram: @bclsinclair