Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
gaya hidup

10 Adab Yang Ramai Orang Ambil Mudah. Nampak Kecil Tapi Besar Impaknya. Tak Rugi Kalau Amalkannya.

Huda Hussain 31/12/2020 | 14:45 MYT
Adab, sesuatu yang menjadi pegangan dan prinsip penting dalam diri seseorang. Ke mana jua pergi, inilah yang akan diperhati orang sekeliling. Ia juga menjadi cerminan yang mampu menterjemahkan sifat dan keperibadian seseorang. Biar tiada rupa tetapi kaya adab sopannya. Jom semak 10 adab yang ramai dalam kalangan kita ambil mudah mengenainya.
1. Jangan telefon seseorang berturut-turut. Kalau panggilan tidak berjawab, maknanya mereka sedang buat sesuatu yang penting. Kirimkan mesej selepas itu dan tanya bila masa sesuai untuk telefon semula.
2. Jangan sesekali pesan menu yang mahal bila ada orang mahu belanja anda. Lebih molek dan baik, pintalah orang yang belanja pilihkan menu. Anda perlu lebih sensitif terhadap orang yang sudi belanja.
Kredit Foto: Google
3. Elakkan bertanya soalan janggal seperti, "Oh, belum kahwin ya? Umur sudah berapa ni?", atau "Belum ada anak ya? Kan dah lama kahwin?", "Kenapa belum beli rumah?". Itu antara perihal yang terlalu peribadi untuk disibukkan. Tidak perlu ditanya kerana ia sama sekali bukan hal kita. Ingat ya!
4. Selalu buka dan pegangkan pintu untuk orang dibelakang kita, terutamanya warga tua, ibu hamil atau ibu yang sedang mendukung anak. Tidak rugi sekalipun kalau anda bantu mudahkan urusan orang lain.
5. Berhati-hati dalam bergurau. Tidak semua orang boleh terima cara kita. Lebih-lebih lagi kalau gurauan itu kasar dan agak melampau. Kalau orang tidak suka, hentikan. Jangan diulangi lagi. Peka dengan situasi dan penerimaan orang sekeliling.
Kredit Foto: Google
6. Apabila terima mesej, ambil dan luangkan masa untuk membalas kembali walaupun terlambat atau anda sedang sibuk. Ingat, bukan kita sahaja sibuk. Bila sudah lapang, balas dan mohon maaf atas kelewatan. Itu lebih terhormat.
7. Beri pujian di khalayak, tetapi beri kritikan atau komen secara peribadi dan tersendiri. Biarlah teguran itu hanya anda dan dia sahaja yang tahu. Tiada keperluan untuk menyindir atau muat naik status di media sosial. Niat menegur untuk menambah baik, bukan mengaibkan.
8. Janganlah merancang sesuatu di depan mereka yang tidak terlibat atau tidak dijemput serta. Tak manis dan kekok jika anda berada dalam situasi itu. Dan apabila mereka sudah mendengar, eloklah dijemput untuk turut serta.
Kredit Foto: Google
9. Hormati seseorang pada nilai yang ada dalam dirinya. Bukan kerana pengaruh, ‘kuasa’, jawatan atau posisi. Contoh mudah, seorang tukang cuci layak dilayan sama seperti seorang orang atasan atau CEO. Mereka sama-sama manusia. Layanan kita yang penuh adab adalah cerminan nilai dalam diri kita.
10. Jangan meletakkan sasaran atau jangkaan terlalu tinggi apabila menerima hadiah atau apa jua pemberian daripada sesiapa. Sama ada besar atau kecil harganya, sentiasa sematkan dalam fikiran sekurang-kurangnya si fulan ingat kepada anda. Ikhlaskan hati apabila menerima, bukannya membanding-bandingkan atau memperlekehkan pemberian seseorang.
Kredit Foto: Google
#Adab #Identiti #Keperibadian
;