gaya hidup
21 Jam Perjalanan Penuh Liku, Rezeki Allah Buat Ustaz Ebit Lew Dan Rombongan Akhirnya Jejakkan Kaki Di Gaza.
Sehangat kontroversi antara Ustaz Ebit Lew dan Caprice, begitu juga yang dirasai delegasi Misi Kemanusiaan Gaza. Bukan calang-calang ujian yang terpaksa ditempuh. Namun berkat doa dan keizinan Allah yang merencana semua. Termakbul jua hajat untuk menyantuni dan salurkan bantuan kepada sebilangan rakyat Gaza. Pastinya perjalanan penuh epik ini menjadi detik bersejarah buat Ustaz Ebit dan semua.
Giza, Kaherah
Sementara menunggu kelulusan jika ada rezeki untuk masuk ke Gaza bagi menyempurnakan Misi Kemanusiaan Gaza ini, masa yang ada tidak disia-siakan begitu sahaja. Maklum sajalah, bukan senang dan mudah mendapat peluang keemasan seperti ini. Lantaran itu, waktu yang terluang dimanfaatkan rombongan delegasi untuk menziarahi tempat-tempat bersejarah di bumi para anbia ini. Melawat piramid yang disenaraikan antara tujuh keajaiban dunia cukup memberi makna kepada semua. Piramid, antara lambang kemegahan dan kekuatan kerajaan Mesir dulu kala. Tatkala menaiki unta dan menunggang kuda berlatarbelakangkan bangunan epik ini secara tidak langsung memberi pengalaman untuk merasai bagaimana suasana Mesir kuno ribuan tahun dahulu.
Kredit Foto: Astro Prima
Penantian Mendebarkan
Niat Ustaz Ebit Lew dan team bersama Wisma Putra, kerajaan Malaysia adalah untuk salurkan bantuan kepada penduduk Gaza. Pertama melalui kerjasama Egypt Red Crescent. Ubat-ubatan dibeli lalu diserahkan kepada mereka untuk diuruskan. Maklum mengenai proses yang lama, team Pertubuhan Kasih Umat Malaysia terdahulu berbincang dengan pihak kedutaan Malaysia, Wisma Putra juga NGO lain kerana bukan mudah untuk memasuki Gaza.
Misi yang pada awalnya tertangguh dari lima hari ke tujuh hari bahkan hingga 15 hari dan sampaikan 25 hari mereka ternanti-nanti apakah ada rezeki untuk jejakkan kaki di bumi Palestin ini. “Takdir Allah, tak berapa lama selepas hampir 25 hari, kedutaan Malaysia di Egypt memanggil kami ke pejabat kedutaan untuk berbincang. Saya pun memang tak mengharap apa-apa lagi. Kita cuma nak harap nak balik dan reda dengan ketentuan Allah. Alhamdulillah akhirnya kita dapat bantuan dengan ejen perisikan tentera Mesir untuk bawa kita masuk.
Kredit Foto: Astro Prima
Tiba-tiba sampai di sana, Duta Besar Malaysia di Mesir; En Shahbudin tunjukkan pada kita yang hanya tinggal beberapa urusan dan jika saya setuju dah boleh masuk. Saya macam terkejut, maksudnya apa? Kemudian diberi jadual kami akan masuk ke Gaza Sabtu malam jam 2 pagi. Balik dari jumpa dengan kedutaan kami semua menangis. Terkejut dan rasa macam tak percaya, macam mimpi. Sebab ya, hari-hari kami berharap jalan itu ada. Tapi jalan itu hilang. Tapi ini memang jalan itu dah terbentang dihadapan kami,” terang Ustaz Ebit Lew terperinci mengimbas semula momen bersejarah itu.
26 Jun 2021, 11 malam Kaherah, Mesir
Maka bermulalah Misi Kemanusiaan Gaza yang diuar-uarkan selama ini. Hajat dan rampaian doa yang diutus buat Maha Esa termakbul sudah. Barisan sukarelawan pada awalnya mula mengemas pakaian dan kelengkapan perlu sebelum bertolak masuk ke Gaza. Dalam sela-sela masa yang ada, di kalangan mereka mengambil kesempatan membuat panggilan video kepada ahli keluarga masing-masing. Keluarga, anak isteri yang ditinggalkan menitip doa mohon agar segala urusan dipermudahkan. Memohon doa kepadaNya agar melindungi semuanya.
Kredit Foto: Astro Prima
Sayu terasa apabila ada diantara mereka yang terpaksa meninggalkan isteri yang ketika itu hanya menanti detik melahirkan zuriat. Bagi sukarelawan Muhammad Ashraf Shamsul Azlan, “Bila dapat tahu dari group, persiapan untuk nergerak ke Gaza’ saya beritahu isteri. Dengan keadaan sedang tunggu hari untuk bersalin, mujur semuanya dipermudahkan,” ujarnya penuh syukur. Selain ada yang meluahkan rasa rindu selepas hampir dua bulan tidak berjumpa demi menyempurnakan misi ini. Asbab pengorbanan dan perjuangan demi membantu rakyat Gaza, didahului menjadi agenda utama.
27 Jun 2021, 6 Pagi Kaherah, Mesir
Awalnya mereka dijadualkan bertolak dari Mesir jam 2 pagi. Tetapi terpaksa ditangguhkan ke jam 3 pagi dan akhirnya jam 6 pagi barulah dibenarkan untuk bertolak. Wakil kedutaan Malaysia di Mesir, Shahabudeen Adam Shah ketika berkumpul bersama-sama team Pertubuhan Kasih Umat Malaysia di pejabat kedutaan turut mendoakan agar kesemuanya berada dalam keadaan selamat dan dipermudahkan jalan untuk ke Gaza. Selain berterima kasih dan memberikan sepatah dua kata penghargaan kepada pihak keduataan, Ustaz Ebit Lew terus memimpin bacaan doa memohon ke hadrat Ilahi moga usaha dan niat untuk membantu dalam misi ini dipermudahkanNya.
Kredit Foto: Astro Prima
Kongsi Ustaz Hj Zulhazwan Ismail, salah seorang sukarelawan pula, “Untuk kita pergi ke Rafah, kita akan melalui Sinai Utara. Kita ada laluan lama, tapi rezeki kita walaupun terpaksa patah balik lebih kurang 50km. Berkat doa semua, rupanya Allah nak beri hadiah kepada team Ustaz Ebit, kami dapat lalu di jalan yang dibawa oleh tentera Mesir,” ujarnya.
Apabila tiba di satu checkpoint, mereka bergerak ke balai iring. Walaupun terpaksa berhenti seketika dek kerana ada beberapa isu berlaku syukur tidak lama kemudian ia diselesaikan. Bagi Ahmad Afzal Ahmad Bhari pula, “Siapa sangka di tengah-tengah padang pasir ada pula kedai runcit untuk kami semua berhenti sekejap. Memang satu pengalaman yang takkan saya lupakan. Kami dilarang bergambar di sana atas faktor keselamatan. Apatah lagi diiring tentera Mesir, maka kami perlu akur,” luahnya lagi.
Lima jam tersangkut di sekatan jalanraya, perjalanan kemudiannya diteruskan. “Di pertengahan jalan itu, kami ditahan sekali lagi dan diminta untuk berhenti di tepi jalan. Kami tunggu saja dalam van dan kemudian belum sempat solat zohor. Tak sempat jamak lagi zohor dan asar. Jadi di kem askar kami minta izin dengan pihak tentera Mesir untuk tunaikan solat jam 4 petang. Kebetulan dalam tandas pun tiada air. Alhamdulillah, askar-askar Mesir ni muka nampak garang tapi bila kita minta tolong, mereka angkat air untuk kami gunakan ambil wudhu,” kongsi sukarelawan Kamariduan Mohd Nor.
Kredit Foto: Astro Prima
Mengimbas perjalanan bersejarah itu, bagi Ustaz Hj Zulhazwan Ismail, “Untuk sampai ke sempadan Rafah, kita akan bertemu dengan sebuah bandar bernama Arish yang bermaksud pondok pelepah. Bandar ini adalah bandar terbesar di daerah Sinai Utara dan ia juga adalah yang paling dekat dengan sempadan pintu Rafah. Perjalanan dari situ tiada rumah, tiada kampung. Cuma ada tanah berdebu sahaja. Dan sekiranya sesiapa yang nak masuk ke sempadan Rafah, jika sampai lewat dari jam 6 petang, kena patah balik sejauh 50km untuk bermalam di bandar Arish dan perlu tunggu keesokan hari untuk pergi semula ke sempadan Rafah.
Lebih eksklusif, Penerbit Jejak Ebit Lew; Salina Sukaimi berkongsi paparan footage perjalanan malam team ini melepasi bandar Arish menuju ke Rafah jam 8 malam. Perjalanan menaiki dua van dengan diiringi tentera Mesir. Team Jejak Ebit Lew tiba di pintu sempadan Rafah jam 11.30 malam. Dan kalau diikutkan pintu sempadan telah ditutup jam 6 petang tetapi takdir Allah rezeki mereka akhirnya berjaya juga masuk Gaza walaupun sudah melepasi waktu yang ditetapkan.
Perjalanan yang cukup panjang selama 21 jam melalui 21 checkpoint, diiring dengan 12 kereta kebal tentera Mesir laluan terpaksa bertukar. Daripada jalan yang dilalui orang ramai, atas faktor keselamatan ia terpaksa ditukar. Mereka melalui jalan padang pasir dan apabila tiba di sempadan Palestin, ia bagaikan satu momen yang cukup epik buat semua. Menaiki bas, mereka bersorak syukur tanda kegembiraan akhirnya dapat masuk ke negara bergolak ini bagi menyempurnakan misi.
3 Pagi Palestine Red Crescent Society (PRCS)
Syukur, akhirnya mereka tiba di pejabat Palestine Red Crescent Society (PRCS). Wakil Kementerian Dalam Negeri dan Palestine Red Crescent Society menyambut ketibaan delegasi. Bagi wakil PRCS, Sobhi Shakalaih mereka gembira menyambut kedatangan Ustaz Ebit Lew dan team yang pertama kali tiba di Gaza sambil berharap Ustaz Ebit dapat menikmati perjalanan ini selain mengikuti agenda yang telah disusun atur. “Kami berbesar hati dengan kehadiran Ustaz kerana menyokong rakyat Gaza.
Sebak bercampur syukur, Ustaz Ebit mengalirkan air mata kesyukuran kerana ketibaannya disambut dengan tangan terbuka. Niat untuk membantu dan semangat bagi berjihad di jalan Allah dengan cara tersendiri pastinya menjadi momen berharga dan pengalaman yang tiada tolok tandingnya.
Perjalanan dari situ mengambil masa selama 45 minit untuk tiba di bandar Gaza. Dan setibanya di Gaza jam 4 pagi, Al Quds Hospital menjadi lokasi pertama yang dikunjungi. Kemudian barulah delegasi ke tempat penginapan. Bayangkan sahaja, kepenatan perjalanan jauh dan rehat yang tidak mencukupi sama sekali tidak menghalang mereka untuk terus bekerja dan bergerak. Walaupun penat, semua itu ditolak tepi demi membantu menyalurkan bantuan kepada sebilangan rakyat Gaza. “Selepas Subuh kita rehat sekejap dan kemudian kita teruskan meeting dengan pihak PRCS, “ujar Ustaz Ebit Lew dengan nada suara kepenatan tetapi tetap bersemangat untuk menyempurnakan misi.
8 Pagi, PRCS Guest House HQ, Gaza
Perjumpaan untuk kemaskini agenda dimulakan oleh pihak PRCS yang diwakili Sobhi Shakalaih bersama rakat sejawat dengan team Pertubuhan Kasih Umat Malaysia diwakili Kamariduan Mohd Nor, Ustaz Ebit Lew bersama Salina Sukaimi dari Astro, team Jejak Ebit Lew. Memandangkan mereka hanya punya masa dua hari di Gaza, maka jadual yang ada disusun padat dengan agenda. Semuanya perlu dikenal pasti agar apa yang dirancang dapat dilaksanakan sebaik mungkin. Segala perancangan dilakukan dengan teliti mengikut kesesuaian dan kehendak pihak PRCS.
Dalam perjalanan menuju ke kedai alat permainan untuk diberi kepada anak kecil di sebuah kawasan di Gaza, Project’s Unit Assistant PRCS; Majd Batrawi berkongsi mengenai pengalamannya melihat dan merasai sendiri apabila wilayah ini dibedil dengan ledakan bom. “Kadang kala mereka beri amaran supaya keluar dari kawasan hanya dalam lingkungan lima ke 10 minit untuk keluar dari mana jua anda berada. Segera keluar dari kawasan anda secepat mungkin. Dan kalau lambat, mereka akan letupkan rumah. Kadangkala mereka juga meletupkan rumah itu tanpa amaran dan tempoh pengasingan. Dan ia sangat mengerikan,” luahnya kepada Penerbit Jejak Ebit Lew.
Sepanjang perjalanan ini, segala pancaindera menjadi saksi kepada kehancuran dan kekejaman tentera zionis yagn meruntuhkan bangunan dan kawasan perumahan. Sana sini bagaikan padang jarak padang terkukur. Hancur dan musbah akibat dibedil dengan bom.
Kredit Foto: Astro Prima
10 pagi, King Toys, Gaza
Disini delegasi mempuruntukkan masa membeli alat permainan untuk diberikan kepada kanak-kanak. “Saja beli mainan untuk kanak-kanak bagi mereka happy” tutur Ustaz Ebit singkat tatkal amula memasuki kedai. Ia dibeli untuk diberikan kepada anak-anak kecil di Al Quds Hospital dan As Syifa Hospital.
Selesai disitu, Ustaz Ebit dan team mengadakan perjumpaan dengan kepimpinan tertinggi PRCS dan wakil Kementerian Kesihatan Palestin untuk berbincang. “Alhamdulillah mereka sangat membantu kita. Kita beli barang-barang perubatan dan apa yang mereka perlukan bagi kegunaan setiap hospital. Kita siapkan bajet. Satu lori untuk Hospital As Syifa dan satu lori lagi untuk Hospital Al Quds dan Hospital A’mal.
Turut berkesempatan meninjau dan melawat hospital, menurut Ustaz Ebit dia dimaklumkan pihak hospital mereka terpaksa menunggu dua tahun untuk membina semula lif selain melengkapkan peralatan untuk kegunaan pembedahan. Semua itu adalah kesan daripada hospital itu yang pernah dibom tidak berapa lama dahulu. Melihat sendiri kekurangan fasiliti yang ada dihospital ini. Ustaz Ebit mengucapkan syukur apabila diberi kesempatan menyatuni para doktor dan petugas hospital.
Realitinya bukan dua tahun mereka berjuang menyelamatkan nyawa. Tetapi puluhan tahun sebelum ini lagi mereka bergelut dengan krisis peperangan yang bagaikan tiada henti. Namun itu semua tetap memberi semangat dan kekuatan bagi mereka disini untuk terus berjuang meneruskan hidup.