Highlights
5 Tips Didik Anak Cara ‘Malas’ – Eh, Malas Macam Mana Tu? Ibu Bapa Boleh Praktikkan Kaedah Ini.
Huda Hussain
31/10/2020
|
13:10 MYT
Pada peringkat permulaan tidak dinafikan hampir semua ibu bapa melakukan semuanya dari A hingga Z. Maklum sajalah, anak masih kecil dan belum sampai peringkat usianya untuk mengurus diri, memahami dan melakukan semua perkara sendiri. Tetapi sejajar dengan perkembangan usia dan minda anak-anak, akan tiba masanya kita perlu mengajar mereka melakukan perkara dan rutin sebegini sendirian. Bimbang kita perlu lakukan kerja yang sama dua kali? Tak mengapa, beri mereka masa untuk menyesuaikan diri dan belajar untuk tidak mengulanginya lagi. Berikut dikongsikan panduan didikan cara ‘malas’ yang boleh diadaptasi kepada anak-anak.
- Sebelum Tidur
Lazimnya kerja-kerja menguruskan anak dikendalikan oleh ibu atau isteri. Mungkin ada juga yang dilakukan oleh ayah. Jika ya, tahniah kepada kaum bapa kerana turut sama membantu isteri anda. Selalunya, ibu yang ‘malas’ takkan sediakan barang keperluan sekolah anaknya. Sebaliknya, dia akan menggalakkan anak-anak yang mengemas dan susun atur sendiri. Daripada beg sekolah hinggalah pakaian biasakan anak-anak mencari sendiri baju, seluar dan seluar kecil serta menyusun buku mengikut jadual. Bagi memastikan tiada yang tercicir, ibu hanya perlu semak atau jika mahu lebih tegas, biarkan semua dilakukan anak. Kalau ada yang tertinggal, biarlah anak belajar agar tidak cuai dan leka untuk melengkapkan segalanya.
Kredit Foto: Google
- Ketika Makan
Ibu yang ‘malas’ takkan mengemas meja selepas makan. Sebaliknya akan berkata dan memberi arahan seperti ini, “Lepas makan, kemas meja. Ambil kain dan lap. Pinggan basuh sendiri. Itu tanggungjawab”. Mungkin kedengarannya tegas tetapi beri arahan supaya anak-anak jelas selain memberi penerangan mengapa mereka perlu berbuat demikian. Contoh mudah, apabila anak berusia tiga tahun dan berupaya memahami arahan, biarkan mereka lakukan sendiri rutin ketika makan. Ibu hanya perlu ‘touch up’ untuk sempurnakan perihal ini.
Kredit Foto: Google
- Semasa Bermain
Cara ‘malas’ yang dilakukan ibu seterusnya adalah tidak perlu penat mengemaskan semua alat permainan anak-anak. Sebaliknya hanya memanggil anak-anak (tapi tak perlulah menjerit pula ya) untuk mengemas. Sebagai galakkan, ibu boleh memuji anak-anak yang membantu mengemas. Misalnya, “Barulah handsome, kacak dan bergaya anak mama ni dah kemas mainan” biar kembang berbunga hati si anak dengan pujian itu. Supaya mereka tahu dan biasakan diri apabila sudah disepahkan alat permainan, masing-masing perlu bertanggungjawab mengemasnya semula.
Kredit Foto: Google
- Waktu Mandi
Mungkin situasi atau pemandangan ini lazim berlaku. Tetapi jangan sesekali biasakannya apabila anak sudah boleh memahami arahan. Pakaian yang ditanggalkan di hadapan bilik mandi atau di dalam bilik mandi, ibu ‘malas’ takkan kutip. Sebaliknya ibu akan menyuruh anak-anak memasukkan sendiri ke dalam bakul baju kotor atau terus ke dalam mesin basuh. Jadikan ia sebagai kebiasaan walaupun mungkin ibu mempunyai pembantu rumah. Anak-anak tanpa mengira lelaki atau perempuan tidak boleh terlalu dimanjakan hinggakan perkara kecil seperti ini pun tak mampu mereka lakukan.
Kredit Foto: Google
- Sesi Mengemas Rumah
Ibu ‘malas’ takkan melakukan seorang diri. Sebaliknya libatkan anak-anak dalam pembahagian kerja mengemas rumah. Misalnya kakak akan vakum dan mengemop lantai, abang dan adik cuci bilik air dan tandas, ayah cuci kipas dan buang sampah, ibu cuci tingkap. Kerja rumah yang dilakukan secara bersama akan mengeratkan hubungan selain memudahkan kerja dan menjimatkan masa serta tenaga. Tidaklah ibu mengeluh semua kerja dia yang terpaksa selesaikan. Beri upah sebagai habuan kepada anak-anak yang membantu. Barulah mereka bertambah semangat buat kerja. Tidaklah mulut tu asyik merungut dan mengeluh saja.
Hakikatnya, ibu ‘malas’ bukanlah malas dalam erti kata sebenar. Sebaliknya mahu mengajar dan mendidik anak-anak mengenai erti tanggungjawab. Anak-anak harus difahamkan dengan konsep, ibu bukan kuli atau orang gaji. Bukan apa, ini keluarga kita dan menjadi tanggungjawab kita untuk mencorakkannya. Apabila anak-anak sudah terbiasa dengan cara didikan ini, hingga kahwin juga mereka akan lakukan perkara yang sama. Lebih baik si ibu berleter atau ‘memetir’ sekarang daripada anak-anak menyusahkan isteri atau suami di masa hadapan.