Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Highlights

9 Kerenah Orang Kita Dalam WhatsApp Group Kerja, Keluarga, Kawan Sekolah dan Lain-lain – Kalian Dalam Kategori Yang Mana?

Huda Hussain 26/12/2019 | 15:58 MYT
Sejak mula diperkenalkan pada 3 Mei 2009, hingga kini Whats App; laman bual sosial popular yang sebati dalam kalangan masyarakat kita semakin banyak mengalami revolusi. Masakan tidak, bukan sahaja boleh berinteraksi menerusi kiriman teks secara peribadi, bahkan boleh ber ‘chit-chat’ secara berkumpulan. Dengan adanya perincian audio seperti voice note dan video call ia banyak memberi manfaat dan menjadi pemudah cara bagi semua.
Bukan sahaja dalam soal kerja, perniagaan online malah menjadi kelaziman kini bagi pelajar dan ibu bapa dapat berhubung dengan guru menerusi WhatsApp group. Tetapi, yang tak ‘best’nya apabila ada saja WhatsApp group dicipta, bermacam jenis ragam manusia dapat kita lihat. Dan InTrend kongsikan antara kerenah pengguna WhatsApp group yang mungkin secara tidak sedar, kitapun melakukannya.
Kredit Foto: Google
  1. Ahli Yang Krik…Krik
Dalam mana-mana WhatsApp group, mesti akan ada seorang dua yang selesa mahu baca mesej tanpa membalas apa-apa. Ala-ala silent reader, itulah dia. Apabila disemak, sudah blue tick semuanya tetapi sampai ke sudah si polan tidak membalas. Tak pastilah pula kan sama ada dia benar-benar sibuk sampai terlupa atau apa kan? Tapi kadang-kadang tu naik geram juga kita kan? Siapa pernah terkena macam ni?
  1. Si Penyampai Mesej
Menjadi kebiasaan dalam WhatsApp group akan ada ahli yang gemar forward mesej tanpa usul periksa. Sedangkan berita atau sesuatu isu itu telah lama berlaku. Ataupun suka kongsi berita yang tidak sahih, berunsur kontroversi dan sebagainya. Jika ia sekadar peringatan untuk manfaat bersama, kira okeylah kan? Tapi apa-apapun, kalau tak pasti tak perlulah panjang-panjangkan mesej ya. Takut nanti termalu sendiri pula.
Kredit Foto: Google
  1. Suka Send Voice Note
Sejenis punya habit yang malas nak menaip dan suka hantar voice note. Kalau satu dua mesej kira okeylah lagi. Tapi kalau dah setiap kali dihantarnya voice note, pening kepala juga dibuatnya. Agak-agaklah kan kalau nak send voice note tu. Paling ‘tragis’ kalau tertekan dan suara si penghantar dapat didengari semua, malunya!
Kredit Foto: Google
  1. Left Group
Antara objektif utama kita mengadakan WhatsApp group adalah mengeratkan silaturahim terutamanya bagi keluarga besar yang ahlinya terdiri daripada anak-anak, menantu dan cucu. Tapi yang tak syoknya kalau ada yang cepat sentap lantas terus memlilih untuk left group. Dah sepasal pula bergosip sesama ahli. Tak cukup dengan itu, ada yang bertindak menghantar mesej terus kepada si polan dan bertanya mengapa tinggalkan begitu saja. Maka berpanjanganlah segala kontroversi. Dan apabila sudah masuk semula, pasti tersipu-sipu malu bagaikan kerang busuk. Ada kan orang begini dalam WhatsApp group kamu?
  1. Keyboard Warrior
Wah, kalau dalam WhatsApp group bukan main lagi dia karang ayat bombastic, kalah cikgu Bahasa Melayu. Bila beri pandangan, macam dia seorang saja yang berpengalaman dan pandai cakap. Tapi apabila berjumpa empat mata, alahai… Kalau boleh macam nak menyorok pun ada. Haaa… Siapa pernah jumpa ahli macam ini?
  1. Kaunter Pertanyaan
Ada juga dalam kalangan ahli WhatsApp group hanya muncul untuk bertanya soalan saja. Lepas dah dapat jawapan, sampai ke sudah senyap tak timbul-timbul. Yang kita ni berialah melayan itu ini, alih-alih ditinggalkan sepi begitu sahaja. Tipah tertipu mak!
Kredit Foto: Google
  1. Pegawai Promosi dan Pengiklanan
Dalam pada masa kita sedang asyik melayan sesuatu atau mengupas topik dengan mendalam, tak semena-mena ada hamba Allah dalam group yang akan beri iklan. Tumpang lalu, saja nak tolong iklankan blab la bla… Memang jawabnya kena ‘aim’ dengan ahli lain. Agak-agaklah kalau nak iklan atau promosi apa sekalipun. Bukan tak boleh tapi biarlah kena pada masanya. Okey?
Kredit Foto: Google
  1. Pelawak
Haa… Beruntunglah kalau ada ahli yang memang kaki melawak. Bagaikan kemunculannya dinanti setiap ahli kerana ada saja bahan yang jadi sumber untuk diketawakan. Pendek kata si polan ini bisa menceriakan hari kamu yang suram. Setuju?
  1. Admin Suka Jemput Ahli
Mentang-mentanglah dia admin, sesuka hati aje jemput orang lain masuk dalam group. Bayangkan kalau sebelum itu sakan membawang tentang si polan, alih-alih dah masuk dalam group. Mesti macam “Err…hurmm..” tak tahu nak beri reaksi bagaimana kan?
Adab Bergaul Dalam WhatsApp Group
  1. Tanya atau mohon izin terlebih dahulu jika berhasrat mahu 'invite' seseorang ke dalam group
  2. Hormati privasi sesama ahli.
  3. Group whatsapp bukan tempat untuk sampaikan mesej berantai yang tak penting.
  4. Cubalah jangan keluar-masuk group.
  5. Peka dengan perbualan semasa dalam group.
  6. Bataskan waktu agar tidak berlarutan hingga mengabaikan tanggungjawab lain.
  7. Inikan WhatsApp group, maka berbuallah dengan semua orang bukan dengan individu tertentu sahaja.
  8. Jika ini adalah WhatsApp group bisnes bolehlah iklankan atau promosikan jualan anda. Jika tidak, berpada-padalah ya.
  9. Elakkan membahaskan sesuatu yang boleh membangkitkan bibit-bibit perpecahan, sensitif atau menimbulkan kecemburuan.
#WhatsApp Group
;