Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Personaliti

“Akulah Mama, Akulah Papa” – Lelaki Ini Setia Jaga Tiga Anak Perempuan Selepas Isteri Pergi Akibat Kanser.

Penulis Jemputan 20/01/2021 | 02:30 MYT
Teks: Nor Hatina Shuib
Mohd Idzha Abd Aziz, 37 lelaki tabah! Beliau kini bergelar bapa tunggal selepas pemergian arwah isteri, Allahyarhamah Siti Norhaslinda Ibrahim pada tanggal 31 Julai 2018 lalu disebabkan penyakit barah otak jenis glioblastoma.
Tinggallah Mohd Idzha dan anak anak dalam kerinduan yang tiada penawarnya seumur hidup mereka.
Malah, kerani sumber manusia di sebuah industri swasta ini, perlu memikul tanggungjawab besar menjaga tiga anak perempuan yang masih kecil yang masih tidak puas dibelai mahupun dimanja seorang wanita bernama ibu.
Setiap hari, menjadi satu rutin bagi Mohd Idzha memastikan keperluan tiga anaknya Siti Nur Shuhada, Nur Medinna Qazrina dan Husna Nur Nabilah sentiasa terjaga dan pada masa sama , beliau perlu keluar mencari rezeki untuk kelangsungan hidup.
Kredit foto: Mohd Idzha Abd Aziz
Walaupun air mata sudah kering menangisi dugaan ditempuhi isteri sehingga kepada pemergian isteri tercinta, kini beliau perlu kuat bagi memastikan anak-anak menjadi insan sempurna dan dapat menjejak ke menara gading sama seperti arwah ibu mereka yang juga seorang graduan universiti.
Walaupun kerinduan pada Allahyarhamah sukar diubati, beliau perlu bangkit menceriakan kehidupan anak yang masih kecil dan perlu dicorakkan hidup mereka.
Biasalah bagi anak sekecil mereka, adakalanya rindu tak terkata, adakalanya mereka alpa seketika ibu sudah tiada meninggalkan mereka selama-lamanya.
Oleh itu, bagi mengembalikan kegembiraan dan menyembuh luka di hati tiga permata hati tercinta, beliau sering melakukan aktviti bermanfaat dengan anak-anak seolah-olah tiada apa yang terkurang.
Antaranya, mengadun kek bersama, mencipta resepi baharu, keluar berjalan-jalan apabila setiap hujung minggu, membeli-belah dan mendidik anak berkenaan ilmu kewanitaan.
Bagi beliau senyuman tiga anak adalah penawar duka walaupun hanya Maha Esa tahu apa sebenarnya berada dalam hati sanubarinya.
Kredit foto: Mohd Idzha Abd Aziz
“ Antara aktviti yang kerap kami lakukan bersama adalah beriadah ke taman kerana lokasi ini anak paling gemar. Jika ada rezeki lebih, kami berempat akan melancong ke dalam negeri.
Biar pun bukan tempat mahal, hotel bajet pun sudah cukup buat kami gembira kerana rasa sentiasa ada antara satu sama lain.,” katanya.
Ditanya adakah sudah ada gadis yang merawat hati, beliau berkata, setakat ini beliau masih belum ada calon mahupun terfikir untuk kearah itu. Selorohnya, beliau sendiri sudah terlupa bagaimana cara mengorat wanita.
Namun jauh di sudut hati, penulis pasti sifat dan kebaikan arwah isteri beliau sukar ditandingi membuatkan beliau tidak terfikir mahu mencari pengganti.
Katanya, biarlah masa merawat luka di hati dan fokus utama beliau adalah memastikan tiga anak dapat diberi pendidikan agama, moral dan sahsiah yang baik, sama seperti sifat dimiliki arwah isteri tercinta.
Sesungguhnya, bukan sesuatu yang mudah untuk membesarkan anak tanpa isteri disisi. Mujurlah beliau dikurnikan ibu dan ibu mentua yang baik dan sentiasa memberi bimbingan dan sokongan saat beliau memerlukan.
Kredit foto: Mohd Idzha Abd Aziz
Rakan-rakan juga memberi sokongan dalam apa jua perkara. Kongsi, beliau pernah sekali beliau terpaksa mengetuk pintu rumah rakan baiknya dan pada masa sama meminta jasa baik isteri rakannya menata rias wajah anak sulunh yang memasuki satu acara persembahan di sekolah.
“Setakat ini, bab solekan memang saya gagal tapi untuk mendandan rambut anak, alhamdulillah saya sudah boleh lakukan sendiri untuk tiga anak.
“ Saya amat bertuah mempunyai sistem sokongan yang baik iaitu keluarga, keluarga mentua dan rakan- rakan yang sentiasa memberi sokongan dari segi moral dan ilmu,” katanya.
Lelaki yang penuh gelak tawa dan bersifat humor ini, sebenarnya menyimpan seribu satu perasaan yang hanya beliau saja tahu.
“ Saya sebenarnya sudah pun memikul tanggungjawab ini selepas enam bulan arwah didiagnos kanser otak. Ini kerana arwah ada mengalami gejala seperti percakapan tidak lancar dan hilang kekuatan sebelah kanan badan.
Jadi, saya mahu arwah fokus kepada kesihatannya dan biar saya galas tanggungjawab untuk menjaga anak kami. Sejak itu jugalah, saya menjadi mama dan papa kepada mereka sehingga saat arwah menghembuskan nafas dan di kala ini,” katanya.
Kredit foto: Mohd Idzha Abd Aziz
Kongsi beliau, tidak pernah saat ijab kabul termetrai antara dia dan arwah, beliau memikirkan ini adalah pengakhiran kepada kisah cinta mereka.
“ Tak pernah terfikir langsung boleh mendapat dugaan seperti ini. Pada awal arwah sakit, kami cuma harap ia adalah ketumbuhan biasa.
Saat itu, kami google apa saja pasal ketumbuhan otak. Malah, dari rawatan perubatan moden sehingga tradisional,semua kami usaha untuk pergi.
“ Harapan saya amat tinggi untuk melihat isteri kembali sembuh, tapi Allah lebih sayangkan dirinya,” katanya.
Berbalik kepada perjuangan membesarkan tiga anak dara, ‘fighther’ muda ini berkata, ia sangat mencabar kerana beliau seorang lelaki dan adik beradiknya juga kesemuanya lelaki.
“ Kita golongan lelaki ini kurang tahu banyak pasal perempuan. Kini, banyak ilmu kewanitaan saya perlu ambil tahu demi anak-anak.
Kadang kala sampai saya fikir jauh ke hadapan walaupun usia anak masih kecil. Bagaimana mereka lalui fasa dewasa apabila nanti antara yang mendebarkan saya dan kuatkah saya.
“ Antara aspek yang paling saya takut nak menghadapi adalah apabila anak –anak sudah sampai waktu menstrual mereka.
“ Macam anak sulung, dia sudah nampak perubahan dari segi fizikal. Jadi, saya perlu ambil tahu perkembangan ini.
Segan juga nak tanya pasal baju dalam anak yang mana sesuai kepada kawan-kawan perempuan tetapi saya tebalkan muka.
Kredit foto: Mohd Idzha Abd Aziz
“Period’ pun saya dah pesan kepada anak sulung, kalau ada darah keluar atau apa –apa bagi tahu papa segera. Saya nak bersedia awal berkenaan perkara ini sebab langsung tiada pengalaman,” katanya.
Kata beliau, kadangkala kekuatan yang cuba dibina roboh seketika saat si anak terutama yang paling bongsu, sering bertanya kemana mama mereka pergi. Soalan-soalan itu menjeruk rasa terutama saat persekolahan bermula.
“Anak selalu tanya mama pergi mana? Kalau penggal sekolah bermula, mereka ada juga cakap ‘ kalau la mama ada…” katanya
Harapan beliau, saat tiga penawar hatinya itu menginjak dewasa nanti, mereka menjadi insan berguna dan mengenang jasa beliau sendirian membesarkan mereka tanpa perhatian, sokongan dan kasih sayang insan bernama ibu…
“ Sesekali terfikir juga, kuat ke aku nak hadapi semua dugaan ini dan besarkan anak-anak kami tanpa arwah.
“ Tetapi, dengan kuasa Allah, semua berjalan lancar. Saya tidak pernah rasa terbeban tetapi ia lebih kepada memikul tanggungjawab dan amanah. Semua rezeki yang saya ada adalah rezeki anak- anak.
Kredit foto: Mohd Idzha Abd Aziz
“Anak-anak pula seolah-olah memahami mama mereka sudah tiada. Semua perangai senang dikawal dan mendengar kata,” katanya.
Pesan ‘hero’ kepada tiga anak ini, apabila diuji perkara seperti ini, hadapi dengan tenang, redha dan melangkah ke hadapan.
Allah uji kita tetapi Allah lorongkan jalan yang landai untuk teruskan mencorak kehidupan.
Kredit foto: Mohd Idzha Abd Aziz
#Gaya Hidup #Kasih Sayang #Ibubapa #Lelaki
;