gaya hidup
“ALLAH Uji Tanda Allah Sayang. Jangan Sedih, Anak Itu Tunggu di Syurga” – UEL Ziarah Keluarga Syafiq.
Sekeluarga Peluk Islam Jadikan Ustaz Ebit Idola
Ustaz Ebit Lew (UEL) ke Medan Gopeng, Perak menziarahi keluarga mualaf yang sudah memeluk Islam selepas terinspirasi dengan video-video UEL yang selalu dilihat di Facebook. Ling Ka Lian, suami dan Ting Mei Lee, isteri sama-sama rela hati mengucap dua kalimah syahadah dengan dibawa sama keenam-enam anak mereka yang masih kecil.
Mereka mencai rezeki dengan berniaga buah-buahan di sebuah gerai. Kisah mereka dihidu secara tidak sengaja oleh seorang peniaga telur, Adnan Azizi Zainal Abidin yang turut menyedari keluarga itu rupanya saudara Islam menerusi kiriman Whatsapp jemaah masjid. Tanpa berlengah, beliau terus mendekati keluarga itu. Katanya, “Mereka tidak boleh dibiarkan, harus disantuni dan dibantu.”
Mendapat tahu yang mereka ini sangat mengidolakan Ustaz Ebit, Adnan Azizi berharap untuk membawa Ustaz Ebit bertemu mereka sendiri. Siapa sangka, aturan Allah itu sangat cantik dan ketentuannya, Ustaz Ebit akhirnya sampai di depan mata mereka. Isteri, Mei Lee menitiskan air mata saat berbicara tentanng UEL.
Kredit Foto: Astro Prima
Komen UEL, “Tahniah kepada keluarga ini yang diberi hidayah untuk sekeluarga memeluk Islam. Sangat hebat dan bertuahnya mereka.Teruslah tabah menghadapi ujian hidup ini, jangan tinggal solat, belajar perlahan-lahan dan rasalah gembira dengan Islam. Jangan stres. Anak-anak kakak abang pun nampak taat, rajin dan Insya-Allah akan berjaya kelak.”
UEL juga melahirkan rasa gembiranya dapat memberi semangat kepada saudara baru ini. Sesungguhnya, membantu orang ini menyeronokkan. Gembira apabila dapat menggembirakan orang lain. Pada ziarah itu juga, Ustaz Ebit sempat menghulurkan sumbangan dan membelikan basikal untuk anak-anak mereka.
Kredit Foto: Astro Prima
Berumahkan Kereta, Akhirnya Miliki Tempat Tinggal Sempurna
Tular baru-baru ini kisah lima beranak keluarga India yang berumahkan kereta selama hampir lapan bulan selepas rumah mereka hangus terbakar. Sejak April, Ganesh dan isteri serta tiga anak mereka hanya tidur di dalam kereta dan menjadikan tandas awam sebagai tempat untuk mereka membersihkan diri.
Jika lapar, mereka menggunakan dapur kecil untuk memasak mi segera dan kuih berasaskan tepung. Terkesan dengan keadaan daif mereka itu, UEL da team Jejak Ustaz Ebit Lew terus ke Georgetown, Pulau Pinang untuk melihat sendiri keadaan mereka sekeluarga. Ternyata benar seperti apa yang dilaporkan media.
“Kita satu keluarga. Kena saling tolong-menolong. Saya tahu abang (Ganesh) tidak mahu susahkan orang, tak minta orang bantu tetapi bagi saya pula saya diberi kemudahan untuk bantu abang. Saya tak mahu nanti di akhirat Allah tanya saya kenapa saya tidak bantu abang?” Jelas Ustaz Ebit kepada Ganesh akan niatnya untuk membantu.
Kredit Foto: Astro Prima
Pada hari yang sama juga, Ustaz Ebit dan pasukannya terus mencari rumah sementara untuk mereka tinggal. Rumah yang dipilih berdekatan dengan tempat kerja Ganesh. Tidak ketinggalan, rumahnya itu turut dilengkapkan dengan perabot dan peralatan yang diperlukan seperti katil, almari, mesin basuh, dapur dan sebagainya.
“Sebenarnya ujian orang itu adalah ujian kita yang melihat juga,” Tutur Ustaz Ebit membuatkan mereka sekeluarga bertambah sebak.
Apabila ditanya kepada isteri Ganesh, tidak takut ke tinggal dan tidur di dalam kereta terutamanya pada waktu malam? Tidak sakitkah? Jawabnya ringkas, "Tuhan jaga kami." Dan inilah kekuatan mereka sehingga kini. Tambah Ganesh lagi dia bekerja siang dan sentiasa cuba untuk mencukupkan duit untuk mencari rumah sewa tapi belum ada rezeki.
“Saya rasa ini macam mimpi saya dibantu seperti ini. Apa yang boleh saya cakap hanyalah terima kasih banya-banyak...” Ucapnya terharu.
Kredit Foto: Astro Prima
Allah Uji Tanda Allah Sayang, Anak Itu Menanti di Syurga
Siapa boleh melupakan tragedi tragik yang berlaku ke atas keluarga pemain bola sepak pasukan JDT, Muhammad Syafiq Ahmad yang terbabas dalam kemalangan di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) Sungai Bakap. Nahas itu mengorbankan anak kecil mereka yang masih dalam pantang, ibu mertua Syafiq dan pembantu rumah.
Isteri yang masih dalam pantang, Amalina turut dilaporkan cedera dan tidak sedarkan diri waktu itu. Ujian yang sangat berat yang pastinya tidak mampu dihilangkan kesedihan itu dalam masa yang singkat. Jejak Ustaz Ebit Lew meneruskan ziarah mereka ke kediaman keluarga isteri Syafiq di Alor Setar, Kedah.
Walaupun keadaan masih terlihat sisa kesedihan dan kemurungan di wajah seisi keluarga yang ditinggalkan, namun kehadiran UEL dilihat sangat membantu dalam memulihkan semangat mereka yang masih sebak dengan pemergian orang tersayang. Rumah terasa sunyi dan suram. ‘tiang seri’ yakni ibu sudah tiada lagi.
Kredit Foto: Astro Prima
“Saya tahu berat ujian ini. Nampak sangat perit untuk diterima, apa lagi untuk kalian yang lalui. Tapi kena ingat, ujian yang Allah beri kerana Allah sayang kita, tidak ada sebab lain. Memang sifat manusia, kita akan sedih, menangis. Nabi Yaakub sendiri merintih saat kehilangan Nabi Yusuf. Dia mengadu kepada Allah akan kesedihannya.
Anak yang kakak hilang itu, bukan hilang untuk selamanya. Insya-Allah akan jumpa balik nanti di syurga. Dunia ini hanya tempat persinggahan, kehidupan sebenar kita di akhirat. Anak itu sedang menunggu di syurga. Sayangi apa yang kita ada sekarang ini. Apabila sedih, jangan simpan, mengeluh dan luahkanlah kepad Allah. Cara terrbaik meluahkan perasaan adalah dengan solat,” Nasihat UEL kepada keluarga ini.
Syafiq sempat bertanya kepada Ustaz apakah amalan terbaik untuk kita yang masih hidup untuk disedekahkan kepada arwah di sana? Jawab Ustaz, “Nabi sebut kalau kita sayang arwah kita buat baik dengan keluarga yang ditinggalkan, pelihara silaturahim arwah. Emak ini penyatu keluarga, jadi jaga dan hargailah mereka ini untuk Emak. Dan setiap kali berbuat kebaikan, niatkan pahala kebaikan itu untuk si mati. Insya-Allah.”