Read

“Anda Takkan Bergerak Seiring Arus Fesyen Jika Tiada Ilmu” — Ini Pesan Penasihat Fesyen GenF, ZAIHANI MOHD ZAIN, Cuba Baca

Public Anonymous User
26/04/2018
06:24 MYT
Sponsor Banner
“Anda Takkan Bergerak Seiring Arus Fesyen Jika Tiada Ilmu” — Ini Pesan Penasihat Fesyen GenF, ZAIHANI MOHD ZAIN, Cuba Baca
Oleh: Huda Hussain

“Anda tidak akan dapat bergerak seiring dengan perkembangan fesyen jika tiada ilmu.” – Itu yang seringkali ditekankan Zaihani Mohd Zain, salah seorang penasihat kepada peserta rancangan realiti fesyen GenF yang kini bersiaran di saluran Astro Ria dan Ria HD.
Namanya bukan asing dalam kalangan industri fesyen sementelah sudah bergelumang dalam bidang ini hampir 30 tahun lamanya. Daripada pereka hingga penata gaya; Zaihani masih percaya dan berpegang kepada asas penguasaan ilmu menjadi teraju penting untuk berjaya dalam industri fesyen.
Baginya, fesyen itu sendiri sangat pantas berkembang. Dan melihat daripada perspektif pereka yang punya enam koleksi untuk diperagakan dalam tempoh setahun misalnya, Zaihani berkongsi pengalamannya dalam menggerakkan dan menyemarakkan industri fesyen tempatan.
“Anda perlu tahu membaca fesyen itu sendiri. Jika tidak seiring dengan perkembangan fesyen, anda perlu melangkah lima langkah ke hadapan. Dan sebagai pereka, untuk anda menceduk inspirasi mahupun ilham; anda perlu terbuka dan peka dengan apa yang berlaku di sekeliling anda hari ini,” ujarnya.
Bagi Zaihani, masih banyak perlu dilakukan oleh gagasan pereka fesyen generasi kini untuk terus mengembangkan industri fesyen. Berpendapat Minggu Fesyen Kuala Lumpur harus dijadikan wadah untuk meluaskan potensi dan pasaran fesyen tempatan, ikuti perkongsian Zaihani dalam edisi ini.

Kongsikan latar belakang dan bagaimana detik mula dalam industri ini?
Saya mula menceburi bidang fesyen sebagai pereka selama 14 tahun. Sekitar 1993, seorang rakan dari TV3 mengundang saya untuk mengetuai bahagian wadrobe. Itulah detik mula saya beralih dari bidang rekaan kepada penataan gaya.
Ketika itu saya tidak tahu-menahu tentang apa itu styling sementelahan bidang penataan gaya masih terlalu baru. Sedangkan di Barat ia sudah lama tercetus.
Rentetan itu bermulalah karier saya dalam bidang penataan gaya sejak 1993 hingga saya bersara daripada melakukannya pada 2012.Hanya selepas itu saya melakukannya secara bebas.
Mengapa fesyen yang menjadi pilihan?
Sejak kecil lagi saya sudah jatuh cinta kepada bidang ini. Saya lahir daripada keluarga yang miskin. Memandangkan jarak umur kakak jauh, maka saya pinta ibu olah semula, tambah itu dan ini pada helaian baju kakak saya untuk dipakai.
Dan selepas habis SPM, ibu bertanya bidang apa yang mahu saya pelajari ke peringkat seterusnya. Saya menjawab mahu cuba bidang fesyen. Dia mulanya tidak yakin malah menyarankan saya menduduki tingkatan enam. Dan tamat STPM saya teruskan niat untuk menceburi fesyen hingga sekarang.

Kredit foto: Instagram @zaihanimzain

Pendapat anda mengenai perkembangan dunia fesyen tempatan hari ini bagaimana?
Saya suka dengan perkembangannya tetapi ada kerisauan kerana ramai yang menceburi bidang ini tanpa ilmu. Apabila anda terjun ke dalam bidang fesyen tanpa ilmu, anda sebenarnya mencemarkan atau menjual nilai-nilai yang salah.
Nilai yang saya maksudkan adalah kualiti pada baju itu, baik daripada segi rekaan, workmanship, perincian dan lain-lain. Kedua, jika anda masuk ke dalam bidang ini tanpa ilmu, jangka hayat anda tidak lama.
Namun dari sisi lain, ramai yang mula menyedari berketrampilan adalah sesuatu yang penting kini dan itu menandakan perkembangan yang baik dalam aliran fesyen.
Kongsikan the do’s and don’ts untuk mereka yang ingin menceburi bidang fesyen?
Don’t! Fesyen itu sendiri sukar dan mencabar. Ia tidak boleh main campak-campak sahaja. Malah era kini ia lebih mencabar kerana persaingannya. Bukan sahaja dalam negara tetapi di luar negara.
Dengan perkembangan era digital ini, semuanya lebih telus dan pantas. Dan untuk melakukan itu semua menuntut usaha, ketekunan, inisiatif dan kreativiti. Jika ia tiada dalam diri anda, lupakan sahaja niat anda kerana era kini ia lebih mencabar.

Pengaruh media sosial dalam mencipta trend dan stail sekarang, komen?
Pada saya ia lebih mempengaruhi cabang styling. Daripada sudut rekaan misalnya, jika sebelum mereka sesuatu anda hanya merujuk majalah, Instagram umpamanya; anda mudah terpengaruh atau terikut dengan sumber tertentu sahaja.
Pada saya jika sekadar untuk melihat tidak mengapa, tetapi untuk hasilkan sesuatu, lihat daripada dalam diri anda. Teroka apa yang ada di sekeliling dan olah mengikut kreativiti anda sendiri.
Pandangan anda mengenai selebriti tempatan yang memperuntukkan wang untuk aspek penataan gaya, solekan dan mengenakan label atau jenama lokal?
Ia sesuatu yang bagus untuk menyokong jenama lokal. Tetapi pada saya, sebagai selebriti, anda seharusnya tahu, peka dan faham apa pakaian yang sesuai untuk disarung, bila, di mana, untuk apa dan sebagainya.
You should have your taste. Ambil masa untuk mengetahui serba sedikit mengenai fesyen. Jika anda bergantung 100 peratus kepada penata gaya, anda akan menjadi hamba penata gaya atau hamba fesyen dan seumpama dengannya.

Kredit foto: Instagram @zaihanimzain

Komen anda mengenai pereka fesyen segera?
Of course it’s a no-no thing. Apa jua yang bersifat segera itulah yang akan cepat luput dan hilang begitu sahaja.
Siapa selebriti atau personaliti yang punya fashion sense dan stail tersendiri daripada kaca mata anda dan mengapa?
Camelia antara yang menyerlah. Selain itu, Scha Alyahya juga antara yang bijak bergaya. Baik di atas pentas, karpet merah mahupun ke majlis perkahwinan; penampilannya cukup menangkap mata. Ethan Chu, Pengarah Kreatif Streethingstudio juga cukup stylish pada pandangan saya.

Gaya peribadi anda bagaimana, kongsikan?
Sukar untuk saya huraikan. Pada saya ia terpulang kepada bagaimana anda melihat saya. Mungkin sedikit minimalistik. Saya masih suka menyarung oversize clothes, gemar menyarung warna putih, hitam dan tidak terlalu floral.
Apa jua yang saya sarung adalah apa yang saya rasa ketika itu. Dan bagaimana ia refleks terhadap pandangan orang pada saya, saya sendiri tidak pasti.
Masa hadapan industri fesyen tempatan dari kaca mata anda?
Nampak cerah dengan adanya penglibatan agensi kerajaan misalnya dengan penganjuran seperti Minggu Fesyen Kuala Lumpur dan pelbagai lagi acara lain. Namun, kita tidak punya ekosistem yang khusus dalam soal mengendalikan helaian-helaian yang diperagakan selepas Minggu Fesyen selesai.
Hampir 70 peratus koleksi daripada pereka tempatan hanya direka untuk diperagakan sahaja. Dan belum sampai ke tahap selepas ia dipertontonkan, ia akan dijual atau boleh didapati di mana-mana butik contohnya.

Kredit foto: Instagram @zaihanimzain

Kongsikan penglibatan anda dalam program televisyen GenF?
Saya bertindak sebagai penasihat kepada peserta. Saya dan Faizal Hamid mendampingi peserta selama tiga hari ketika slot bengkel jahitan berlangsung. Peranan saya adalah berkongsi nasihat, apa teknik menjahit yang betul, tekstur, warna dan sebagainya.
Saya tidak mahu pemikiran mereka terlalu stereotaip kerana visi dan pemandangan mereka sewajarnya lebih ke hadapan kerana kita sudah berada pada tahun 2018. Sewajarnya mereka harus lebih kreatif dan inovatif.
Itu yang kami cuba cari dalam kalangan peserta. Bukan syok sendiri, tetapi ada pengisian yang diterapkan dalam rancangan tersebut.
Apakah cabaran yang harus dilalui sebelum anda dikenali seperti hari ini?
Tidak pernah terlintas di fikiran saya mahu berada di mana saya kini. Ia bukanlah satu cabaran tetapi peluang yang tidak terduga. Ia bermula dengan penglibatan saya dalam sebuah rancangan apabila saya memberi komentar terhadap penampilan selebriti di karpet merah dan rentetan itulah saya mula dikenali.
Tetapi saya percaya, jika anda ikhlas dengan diri sendiri, passionate terhadap apa yang dilakukan ia akan membawa anda ke tahap yang lebih tinggi.

Apakah last fashion item yang anda splurge?
Dress rekaan A-Jane (disarung ketika sesi fotografi) saya beli khas ketika menghadiri Anugerah Gala InTrend yang lalu.
“Fashion fades, only style remains the same.” – Coco Chanel
Sejauh mana anda berpegang kepada quotes ini?
Saya setuju sepenuhnya. Contoh terbaik adalah ketika Minggu Fesyen Kuala Lumpur tahun lalu. Berdasarkan pemerhatian saya, kebanyakan gadis hijabi tampil dengan look jaket terlondeh.
Itu bukan styling lagi tetapi hanya mengikut trend. Pada saya style is the extention of your personality. Saya percaya semua orang lahir dengan stail tersendiri.
Cuma bezanya adakah ia boleh diterima masyarakat atau sebaliknya. Apa yang penting adalah anda harus punya eccentricity.

Vintaj atau baharu, mana satu pilihan hati dan mengapa?
Jika anda dalam lingkungan 40-an atau 50-an elakkan memakai vintaj kerana ia hanya akan menampakkan anda lebih tua. Maka sarunglah helaian yang baru. Tetapi jika anda masih muda, just go for vintage anytime! Ia akan memperlihatkan karakter pada penampilan anda.
Kulit atau renda?
Saya tidak suka kedua-duanya kerana pada saya lace terlalu feminin.
Sekuin atau glitter?
Not now. Pada saya no blink is blink. Karakter dan personaliti anda yang seharusnya menyerlah daripada apa yang anda pakai.
High heels or flats, mana lebih seksi?
High heels! Kerana ketinggian tumit akan memperbetulkan postur tubuh anda.
Label mewah atau high street?
Saya memakai kedua-duanya.

Jenama fesyen itu digambarkan sebagai sesuatu yang mahal. Dan jika mahu diganti dengan sesuatu, adakah perlu kita mengikut trend tanpa perlu berbelanja mewah atau bagaimana?
Untuk kelihatan cantik, banyak atau sedikit anda tetap perlu berbelanja. Misalnya anda mengagumi satu rekaan namun tidak mampu memilikinya. Kemudian anda beli kain dan meniru rekaan itu, ia takkan sama malah hilang nilai kecantikan rekaan itu. Walau bagaimanapun, janganlah sampai menjadi hamba fesyen.
Fesyen adalah something yang fun and glamor. Tetapi ada realiti di sebaliknya yang tidak diketahui ramai. Boleh kongsikan?
Ia menarik dan fun tetapi kerja-kerja di sebaliknya tidak glamor. Realitinya sebagai pereka, anda umpama perlu cracked your head untuk mencari idea menghasilkan setiap koleksi yang berbeza.
Untuk memastikan anda kekal relevan dalam industri, apa yang harus dilakukan?
Sentiasa bersikap terbuka dan tidak boleh kekal dalam satu era sahaja. Buka mata dan peka dengan keadaan sekeliling. Lebih-lebih lagi dalam soal styling, perlu bijak mengolah mengikut kreativiti dan ilmu yang ada. Try and adopt apa jua yang berlaku kini.

Related Topics
Must-Watch Video
Unitar