Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Personaliti

ANGAU Bercinta Jangan Sampai Lupa Semuanya – Selagi Belum Diikat Akad, Dia Tak Penting Dalam Hidup Awak

Penulis Jemputan 15/02/2021 | 01:27 MYT
Teks: Nor Hatina Shuib
Teringat satu adegan dalam filem Melayu lama lakonan Allahyarham, P. Ramlee berjudul Nujum Pak Belalang yang mengutarakan berkenaan penyakit dinamakan angau secara humor. Apabila seseorang itu terkena serangan penyakit angau, mereka jadi tidak tentu arah, lupa diri dan ada sehingga tidak lalu makan.
Bak kata pepatah, mandi tak basah dan tidur pun tak lena memikirkan si jantung hati. Sehingga dalam pinggan pun masih terbayang wajah pencinta hati, begitulah dashyatnya penyakit angau cinta ini.
Awas, situasi ini benar-benar parah bagi mereka yang berhadapan percintaan yang tidak dapat dikawal kerana nafsu apabila emosi lebih diutamakan.
Lantas, berlakulah perkara yang mengundang pelbagai isu termasuk sanggup meninggalkan isteri bagi mereka yang sudah berumah tangga manakala bagi yang bujang ada yang sampai ke tahap sanggup membelakangkan keluarga atau melarikan diri daripada berhadapan dengan realiti.
Sesungguhnya cinta tanpa restu keluarga atau reda seseorang yang pernah rapat dengan kita dikhuatiri bahagianya tidak kemana-mana.
Usahlah membuat pilihan terburu-buru dengan membuang mereka yang sedia ada dengan kita demi bahagia sendiri.
Kredit foto: Google
Bagi yang sedang bercinta tetapi pasangan tidak disukai ibu bapa, yakinlah bahawa restu ibu bapa adalah perkara yang perlu diberi perhatian dan diutamakan dalam membina hubungan kerana tentunya kita tidak mahu ia hanya separuh jalan.
Ini kerana ada yang sanggup melupakan kasih sayang dan pengorbanan keluarga setelah mendapat kasih sayang baharu. Nasihat apa saja pada masa ini tidak berkesan dan sia-sia saja.
Tidak ada salahnya bercinta tetapi adalah lebih baik jika ia disusuli dengan redha dan penerimaan insan tersayang seperti ibu, bapa dan keluarga.
Ramai yang lupa diri dan ada yang ke tahap lupa kebaikan keluarga apabila cinta muncul dalam hidup mereka. Bagi yang memiliki cinta luhur, tidak mengapalah tetapi bagaimana pula bagi mereka yang melupakan keluarga tetapi pilihannya salah. Amatlah tidak berbaloi.
Walaupun diakui, apabila seseorang jatuh cinta, mereka tidak boleh berfikir secara rasional kerana emosi melebihi segala-galanya, sekurang-kurangnya peganglah pada prinsip mendengar nasihat insan yang sentiasa dan pernah ada bersama kita saat susah dan senang.
Sememangnya agak sukar menarik keluar seseorang yang sakan bercinta dan paling malang mereka sanggup melupakan insan yang pernah hadir dalam hidup mereka selama ini.
Mereka yang pernah berkongsi susah dan senang, menerima keadaan kita seadanya, luhur mencintai dan tak pernah lokek untuk mengorbankan apa saja demi orang tersayang.
Dalam keadaan angau disebabkan rasa cinta menebal pada insan lain yang baru muncul dalam hidup seseorang, biasanya setiap pandangan, nasihat dan rayuan akan menjadi perkara sia-sia.
Ini kerana mereka yang taasub bercinta dan menemui cinta baharu ini mindanya terkongkong pada cinta baharu dan fokusnya hanya satu, terus dengan misi hidup bersama orang baharu.
Ini sebabnya sukar untuk merebut kembali insan yang kita sayang apabila hatinya diberi sepenuh kepada insan baharu.
Kredit foto: Google
Dalam kes seperti ini, biasanya berlaku kepada suami atau isteri yang menemui cinta baharu mahupun mereka yang masih belum berkahwin tetapi cintanya tidak direstui keluarga atas beberapa alasan.
Namun, yakinlah bahawa cinta yang dicuri tanpa izin pemiliknya mahupun cinta yang membutakan mata sehingga ada yang sanggup bertindak membuang keluarga, satu hari nanti pasti akan timbul sesalan atas tindakan mereka.
Tetaplah berdoa supaya hati yang keras dan tersalah arah itu kembali semula kepada pemilik jiwa.
Jika ia tidak terlalu menyakitkan, berilah kemaafan kerana mereka yang terkena penyakit angau ini biasanya mereka melakukan sesuatu tindakan itu tanpa pemikiran yang rasional kerana hati sudah dikunci dan minda sudah ditaburi kasih sayang lain.
Tidak hairanlah, ada yang sanggup membuang ibu sendiri, ayah dan keluarga mahupun isteri dan anak sendiri demi destinasi cinta mereka.
Sebaiknya Mohon Restu Ibu Bapa, Hormati Hak Mereka
Bagi mereka yang melalui keasyikan cinta dan alpa seketika dengan dunia sekeliling, perlu kembali ke pangkal jalan.
Bertenang dan selesaikan punca permasalahan jika pasangan kita tidak diterima ibu-bapa. Fikir dan selidik betul-betul kenapa pilihan kita tidak menepati selera mereka.
Jangan terus melarikan diri dan membawa hati serta tegar meninggalkan mereka yang sebelum ini sentiasa ada untuk kita.
Ingatlah, ibu-bapa menjaga kita berpuluh tahun dan jangan biarkan mereka yang baru kita kenali memisahkan kasih sayang antara seorang anak dan ibu bapa.
Jika sekalipun pasangan yang kita cintai tidak ada salah dan kurangnya tetapi ibu-bapa masih menolak, gunakan pendekatan berhemah dan jangan cuba lari daripada masalah. Berhadapan dengan realiti kerana sekeras-keras hati seorang ibu dan bapa, demi kebahagiaan anak, ramai yang sanggup menelan pahit untuk kebahagiaan anak.
Elakkan tindakan melarikan diri, bertegang leher menegakkan pendirian dan pilihan anda adalah tindakan kurang bijak dan pada masa sama menyakitkan hati insan yang membesarkan anda.
Tangani cinta buta anda dengan menonjolkan sifat anda dan pasangan yang penuh keikhlasan. Jika hari ini, ibu-bapa tidak melihat kebaikan pasangan pilihan anda, satu hari nanti doakan mereka terbuka menerima pilihan anda.
Hakikatnya, ibu bapa tidak pernah menghalang atau menidakkan hak anda sebagai seorang anak untuk memilih pasangan dan kebahagian sendiri. Seorang ibu bapa hanya mahu memberikan yang terbaik untuk anak yang mereka kasihi.
Buktikan anda memilih cinta yang tepat dan apabila anda mampu membuktikan anda tak tersalah pilih, ibu bapa secara rela hati lebih menghormati pilihan anda.
Cuma fahami perasaan seorang ibu dan ayah yang lebih mengenali anda daripada segala sudut, secara tiba-tiba anda menemui cinta hati lantas bertindak meminggirkan mereka dan enggan menerima pandangan mereka, apakah perasaan mereka?
Sesiapapun akan beremosi dan terasa hati jika mereka yang lebih rapat dengan kita memilih dan’ memenangkan ‘ orang asing daripada ibu-bapa sendiri.
Kredit foto: Google
Angau Sehingga Buang Keluarga Adalah Tindakan Tidak Rasional
Manakala, bagi mereka yang sedang angau dengan cinta lain terutama bagi yang sudah berkahwin pula kesannya begitu besar dalam sesuatu perhubungan.
Mereka akan menjadi lelaki yang tidak bertanggungjawab, mementingkan diri sendiri sehingga ke tahap lupa jalan pulang ke rumah.
Bagi yang cintanya dihalang mereka sanggup mengambil risiko berkahwin di negara luar asalkan nafsu dan cinta berahi mereka dipenuhi.
Tidak hairanlah daripada seorang ayah penyayang dan suami prihatin, sikapnya boleh berubah sekelip mata.
Panduan Ini Mungkin Dapat Mencernakan Pemikiran Mereka Yang Sedang Asyik Berjuang Demi Cinta dan Pada Masa Sama, Cinta Tak Direstui.
  1. Elakkan menolak keengganan ibu bapa merestui hubungan cinta anda dengan melarikan diri. Ia hanya menampakkan kelemahan anda membuktikan pilihan anda tidak salah dan protes yang lebih mengeruhkan keadaan
  1. Bersedialah berbincang hubungan cinta anda secara berdiplomasi dan bawalah pasangan anda berbicara bersama. Luahkan apa yang terbuku dan perbaiki apa yang kurang.
  1. Dapatkan bantuan daripada mereka yang arif dan menjadi kepercayaan ibu bapa anda seperti datuk dan nenek, bapa dan ibu saudara atau rakan baik mereka untuk menjernihkan keadaan dan mencari jalan kedamaian.
  1. Jangan sesekali mengeluarkan kata-kata menyakitkan hati mereka umpama anda tidak kisah langsung membuang mereka demi cinta hati. Ia begitu menusuk jiwa dan menambahkan barah kekecewaan di hati.
  1. Doa adalah senjata. Tadah tangan dan mintala pada yang Esa supaya hati yang keras dapat dilembutkan dan pada masa sama diberi jalan ketenangan dan pilihan keputusan yang tepat tanpa rasa ragu.
#Bercinta #Gaya Hidup #Angau
;