Personaliti
Antara Lelaki Romantik Selalu Bagi Bunga Atau Yang Rajin Bantu di Rumah, Yang Mana Nak Dijadikan SUAMI?
Jodoh pertemuan di tangan Tuhan. Ada kala jodoh itu kita tak terfikir pun tapi akhirnya dialah suami kita. Kalau diikutkan list lelaki impian pastilah banyak yang ingin kita mahukan daripada seorang bakal suami, namun hakikatnya tak semua yang kita impikan mampu dimiliki.
Berikut 10 kriteria bakal suami yang selalu dicanangkan wanita:
- Beriman
- Berkerjaya
- Penyayang
- Romantik
- Bertanggungjawab
- Jujur
- Setia
- Penyabar
- Matang
Namun, setelah berumahtangga, berapakah antara 10 kriteria itu benar-benar ada dalam diri suamimu kini? Ada yang mungkin satu pun tiada dalam senarai di atas. Pasti menyedihkan. Inilah hakikat hidup berumahtangga, manis yang diharapkan, ada masam juga di tengah jalan.
Kredit foto: Google
Carilah Suami Yang Membahagiakan
Baagimana untuk memiliki suami membahagiakan? Sebenarnya, apa jua karekter dan sikap suami itu bergantung juga kepada bagaimana isteri menerimanya? Ada isteri suka memiliki suami yang romantik, yang selalu membuat kejutan hadiah dan sebagainya. Bagaimanapun, ada juga isteri yang tidak suka bersuamikan lelaki begitu.
Kata mereka, rimas dan lemas. Ada isteri yang lebih mementingkan suami yang mampu membantunya di rumah. Bersikap ringan tulang dan tidak kisah untuk menolong isteri memasak, mencuci atau menjaga anak. Kata teman, “Buat apa dapat bunga kalau badan penat selalu.”
“Kalau suami tak bagi bunga atau hadiah pun tak apa. Janji, dia suka membantu buat kerja-kerja di rumah. Walaupun tak romantik tapi balik rumah tengok suami dah siap kemas rumah, tolong cuci sinki, hati tetap berbunga-bunga,” Ujar seorang kakitangan kerajaan.
Kredit foto: Google
Terima Diri Suami Seadanya
Hakikatnya, tiada siapa pun sempurna di dunia ini, apatah lagi diri seorang lelaki bernama suami. Kalau dia seorang yang romantik, mungkin pula dia sejenis yang pemalas. Kalau dia rajin membantu di rumah, mungkin kuat membebel. Ada pula yang duitnya banyak tapi tak setia pula.
Begitulah ujian kepada seorang isteri apabila dihadirkan dengan seorang suami yang ada compang-campingnya. Apa yang pernah kita impikan ketika zaman anak dara dulu palsu belaka. Tiada lelaki yang mampu menjadi sesempurna Rasulullah sebagai seorang suami.
Apa pun, ini pilihan kita sendiri memilih dia sebagai Imam hidup. Maka, janganlah disalahkan takdir atau sesiapa juga. Apabila Tuhan takdirkan dia jodoh kita, pasti ada hikmah di sebaliknya.
Mungkin Tuhan mahu kita menjadi isteri yang lebih baik kerana kita belajar banyak keburukan suami untuk membaiki diri sendiri. Atau mungkin juga Tuhan mahu kita menjadi isteri yang lebih bersyukur apabila diberikan suami yang baik dan penyayang.
Walau apa pun yang ditakdirkan dalam hidup kita sebagai isteri, terimalah baik buruk suami itu sebagai pelengkap diri kita sendiri yang tidak sempurna. Paling penting, jangan lihat kebaikan suami orang lain kemudian dibandingkan dengan suami sendiri.
Kita sendiri tidak tahu keburukan suami orang itu yang mungkin tersembunyi. Yang kita nampak hanya yang indah-indah semata. Justeru, usah toleh ke belakang. Teruskan apa yang sudah tersedia untuk kamu dan perbaiki kelemahan suami perlahan-lahan. Jangan berhentu berdoa untuk perubahan yang kita mahukan.
Dan, kita juga sebagai isteri, muhasabah juga diri sendiri. Kita juga pasti ada kelemahan yang buruk di mata suami. Maka, sama-sama ambil inisiatif untuk saling lengkap melengkapi dan menganyam bahagia bersama.