Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Highlights

Antara Medan dan Kuala Lumpur, Cinta Mereka Bersatu – Pasangan Ini Kekal Bahagia Dengan Restu Keluarga Keduanya.

Afiza Kamarulzaman 24/02/2020 | 09:10 MYT
“Kesepakatan dan komunikasi itu tunjang utama dalam melayari bahtera rumah tangga,” begitu yang dikongsikan Anisa saat ditanya bagaimana mengekalkan keharmonian rumah tangga walau mereka berbeza latar belakang keluarga dan asal. Walaupun pada awal usia perkahwinan, tidak dinafikan memang mereka ada berdepan sedikit kesulitan, namun dengan cinta yang benar dan ikhlas, semua itu pasti dapat diatasi dengan baik. Tahun ini mereka bakal meraikan detik perkahwinan ke 13 tahun.
Jarang dilanda kontroversi nakal mahupun apa-apa skandal, Mazin dan Anisa memilih untuk hidup dalam kesederhanaan. Berkat kemuafakatan itu, mereka kini terus selesa hidup bersama di Kuala Lumpur dengan dikurniakan seorang putera, Asyraaf Siraj, 11 tahun. Kata Anisa, sesuatu yang dia suka tentang Mazin ialah sikap penyayang dan manjanya. Saat ditanya Mazin pula, apa istimewanya Anisa di matanya? Ujar Mazin, kekuatan yang ada dalam diri Anisa. “Jika dibiarkan, dia boleh melakukkan apa saja. Dia sangat berdikari dan kuat!”
Mazin mempunyai darah campuran Arab dan Portugis. Manakala, Anisa berketurunan Batak dari Sumatra Utara.
Bagaimana awal perkenalan kalian dan seterusnya ketika alam percintaan?
Sebenarnya, momen perkenalan kami agak lucu dan berlaku secara tidak sengaja, ia berlaku begitu pantas. Seingat saya, waktu itu Mazin menghadiri satu event di Jakarta dan kebetulan saya pun berada di situ. Kami sempat berbual-bual sekejap dan dia beritahu yang dia mahu ke Singapura esoknya. Maka, sangka saya mungkin dia orang Singapura. Dalam perkenalan singkat itu, kami sempat bertukar-tukar nombor telefon. Selepas dua hari, saya cuba-cuba menghubungi nombor yang diberi itu. Ternyata gagal! Geram juga. Dalam hati saya membentak menuduh yang orang luar semuanya sama, tidak boleh dipercayai. Walaupun dalam hati masih berharap dia akan menghubungi saya semula. Hahaha... Dan, pada hari ke tiga, jeng jeng jeng... dia menghubungi saya! Menurutnya, telefonnya menghadapi masalah sebelum itu. Selepas itu, kami langsung berbicara dan berhubungan menerusi yahoo massanger dalam masa sebula begitu. Tidak lama selepas itu, Mazin meminta saya datang ke Kuala Lumpu. Kalau tak silap, saya datang pada bulan Ogos. Rupanya dia mahu berpacaran. Rasminya, kami menjadi kekasih waktu itu. Dari situ bermulalah bibit-bibit cinta kami secara serius.
Bila memutuskan untuk mengikat tali pernikahan?
Kami putuskan selepas kami bertunang pada tarikh hari jadi saya iaitu 02.05.2007. Dan, ternyata Mazin tidak main-main. Dia membawa rombongan meminang ke Medan seperti yang kami rancangkan. Apabila kedua-dua keluarga berbincang, semuanya setuju untuk melangsungkan akad nikah dan majlis persandingan pada 01.09.2007.
Bagaimana penerimaan kedua-dua pihak keluarga?
Alhamdulillah, walaupun kami berbeza budaya dan negara, ternyata kedua-dua pihak keluarga menerima kami seadanya. Tiada istilah orang luar antara kami sekeluarga. Masing-masing cuba memahami cara hidup keduanya.
Adakah apa-apa ujian yang menganggu kalian sebelum itu?
Manusia biasalah. Bukan semua hatinya sama dan suka dengan kebahagian orang. Memang ada seseorang yang pernah cuba menghancurkan hubungan kami. Si polan itu mengirimkan email kepada Mazin denga memburuk-burukkan saya. Syukurlah, cinta dan kepercayaan Mazin kepada saya lebih utuh menyebabkan dia tidak mahu melayan hasutan itu. Oh, seperkara lagi, saya juga diuji dengan kemalangan ketika hampirnya majlis nikah saya dulu.
Kenapa memilih untuk mengikut suami menetap di Malaysia, kenapa tidak memilih Indonesia untuk permulaan hidup kalian?
Sebagai isteri, kita haruslah mengikut ke mana sahaja suami pergi. Kebetulan, tuntutan kerja Mazin memerlukan dia terus berada di Malaysia, jadi saya perlu sentiasa bersamanya. Saya pula tiada apa-apa komitmen di negara saya ketika itu.
Bagaimana menyesuaikan diri dengan kehidupan awal perkahwinan?
Agak rumit juga pada awalnya kerana ternyata kami berkenalan tidaklah lama mana. Ketika alam perkahwinan itulah, baru kami mengenali diri masing-masing dengan lebih mendalam. Biasalah, pada tahun pertama dan kedua perkahwinan itu macam-macam ujian yang datang. Terpulang pada kebijaksanaan kami untuk menghadapinya. Sehingga kini, kami masih dapat mendepani bersama-sama dan penuh kerukunan. Perihal budaya pun tiada masalah kerana bagi saya budaya di Malaysia dan Indonesia tidaklah banyak jurangnya.
Bagaimana mencapai keserasian hidup bersama?
Saya tidak nafikan untuk dua insan berbeza personaliti bersatu dalam sebuah rumah melayari kehidupan bersama tidaklah mudah. Ini kerana kami pun berbeza karekter. Mazin orangnya lembut dan saya pula sejenis yang kasar. Mazin seorang yang penyabar dan banyak beralah dengan saya, sentiasa menurut sahaja kemahuan isterinya. Namun, kelebihan dan kelemahan kami masing-masing cuba lengkapi. Keserasian itu terrcapai hari demi hari. Tidak boleh sebentar sahaja.
Apa istimewanya apabila menikahi lelaki berlainan negara?
Sangat istimewa! Antaranya, boleh kerap pulang ke kampung. Hahaha.. Paling seronok kerana kita belajar banyak perkara baru dari segi adat-resam, pergaulan dan sebagainya. Di sini saya menemui banyak makanan-makanan menarik yang tiada di negara sana. Buat anak saya pula, ia kelebihan buatnya kerana memiliki dua negara yang menjadi tunjang kelahirannya di mana ia boleh membesar dengan kebudayaan dua negara ini. Istimewa, bukan?
Berapa kerap pulang ke kampung halaman di Medan?
Bergantung pada keadaan. Andainya, ada emergency atau sesuatu yang berkehendakkan saya pulang, saya akan pulang. Namun, Lebaran adalah saat yang wajib saya pulang menemui sanak-saudara di sana. Ala, Medan dan Kuala Lumpur tidaklah jauh mana. Beberapa jam saja sudah sampai.
Apakah tips yang ingin Anisa kongsi buat pasangan di luar sana dalam mengekalkan kerukunan rumah tangga?
Kalau kata jangka usia perkahwinan saya ini sudah lama (hampir 13 tahun), masih ramai lagi pasangan di luar sana yang lebih lama melayari bahtera perkawinan mereka. Namun, bolehlah serba sedikit saya kongsikan. Yang namanya perkawinan itu pasti ada pasang surutnya kan? Jadi, jangan takut untuk berkahwin, kalau digoda ujian sedikit sebanyak itu biasa. Apa yang penting, kita tetap menjaga hati pasangan kita. Isteri harus hormati suami, suami harus sayangi isteri. Banyakkan berkomunikasi dengan pasangan kerana dengan perbanyakkan berkomunikasi, Insyallah hubungan kita akan kekal awet dan bahagia. Walaupun saya ini suka membebel, tapi alhamdulillah kami kekal bahagia seadanya. Semoga kami terus hidup bahagia hingga ke akhir nafas kami. Amin...
#Perkahwinan #Cinta Dua Benua #Kebahagian
;