gaya hidup
Apa Nak Jadi KEHIDUPAN Sekarang? Ekonomi Susut, Kesihatan Tercorot, Politik Kemelut, Silaturahim Dijerut.
Setiap kita yang masih hidup pada zaman ini pasti berasa ‘jelaknya’ melalui hari-hari pada waktu ini. Saban masa kita dihambat dengan berita-berita yang buat kita kurang selesa dan ada yang sehingga boleh menganggu kesihatan mental menyebabkan tekanan dan depresi.
Ia bukan lagi tentang ketahanan atau ketabahan tetapi ia tentang cabaran yang maha hebat yang pastinya berbeza untuk diterima oleh setiap orang. Peperangan, wabak penyakit, keruntuhan ekonomi, kerenggangan hubungan sosial, kemunduran pendidikan dan keretakan ekonomi.
Kita pasti rindukan kehidupan zaman dulu yang lebih bebas dan selamat. Kita rindu untuk bekerja seperti biasa. Menghantar anak-anak ke sekolah. Menjalin hubungan sesama manusia dengan erat, bersua muka, bertepuk tampar. Boleh ke masjid atau pulang ke kampung halaman tak kira masa.
Kita juga rindu untuk melancong menikmat keindahan ciptaan Tuhan tanpa perlu takutkan apa-apa penyakit atau denda. Kita mahu bebas di negara kita sendiri, menghirup udara kurniaan Allah tanpa perlu tapisan mask. Tidak perlu risau untuk sentiasa cuci tangan. Tapi semua itu sudah jauh kita tinggalkan.
Kehidupan hari ini tidak lagi sama. Kita ‘dijajah’ dengan wabak bernama Covid-19 ini yang tidak menampakkan mahu berundur pergi. Sampai bila? Tiada siapa mampu memberi jawapan. Semakin hari semakin menakutkan!
Kredit Foto: Google
Jaga Kesihatan, Jaga Diri, Kawal Emosi
Tiada siapa mampu membantu kita melainkan diri kita sendiri. Apatah lagi jika kita seorang suami atau isteri atau pekerja atau siapa pun kita, kita pasti mempunyai tanggungjawab dan amanah untuk dikendalikan. Maka, diri kita sendiri perlu kuat mendepani semua ujian ini. suka atau tidak, kita tiada pilihan.
Inilah ‘survivor’ kita sebagai manusia untuk melalui hari-hari di dunia ini sebelum kembali kepada sang pencipta. Jadi, apa yang perlu kita buat?
Yang paling penting tentulah menjaga amalan dan ibadat kita kepada Allah. Jangan tinggalkan hak Allah jika mahu hak kita juga dipelihara. Utamakan yang ini, pasti yang lain nanti teratur hendaknya.
Dan, dalam keadaan virus menjalar hebat, jagalah kesihatan lebih berganda daripada kebiasaannya. Jangan kata tawakal semata tanpa mengambil langkah usaha untuk mencegah sebarang penyakit. Usaha itu perlu disusuli dengan tawakal dan doa kepada Tuhan yang berkuasa.
Dalam keadaan sekarang juga dilaporkan begitu banyak kes kesihatan mental dilaporkan. Ini membuktikan, kesukaran hidup hari ini memberi impak besar pada mental dan emosi orang. Kita tidak tahu tahap kemampuan seseorang itu untuk menstabilkan mental dan emosi mereka.
Maka, janganlah diabaikan elemen ini. Sihat fizikal saja tidak mencukupi jika hati sentiasa dilanda gundah dan mental diasak tekanan berpanjangan. Ambil berat kepada orang di sekeliling kita seperti jiran, kawan-kawan, keluarga jika terdapat sebarang perubahan terhadap diri mereka.
Paling penting ubah cara berfikir kita untuk jadi lebih positif. Hanya akal kita mampu mengawal seluruh gaya hidup kita. Sentiasa bersangka baik dengan ujian yang diturunkan, percayalah ada hikmah untuk semua yang Allah izinkan berlaku.
Sama-samalah kita doakan dunia menjadi lebih indah selepas ini. Akan adanya cahaya lebih cemerlang di depan sana. Insya Allah yakin sepenuh hati dengan kuasa Allah. Jangan putus asa dengan kehidupan sendiri.
Kredit Foto: Google