Highlights
BABY Semuanya Comel dan Cantik. Yang Buruk Adalah Kita Yang Suka Membandingkan Paras Rupa Ciptaan Tuhan Itu.
Belum apa-apa, kita sudah berbuat dosa kepada si kecil yang tidak berdosa itu. Mengutuk dan memperlekehkan paras rupa si kecil adalah satu perbuatan terkutuk dan sangat buruk akhlaknya. Ia sama seperti kita mempersoalkan ciptaan Tuhan. Siapa kita untuk memburukkan fizikal si kecil yang tidak tahu apa-apa itu?
Ada orang yang mulutnya sangat berbisa, secara lantang memberi komen negatif kepada bayi yang baru dilahirkan. Bukan mahu diraikan anak itu dengan doa yang baik-baik, dihina pula dengan kritikan yang mengguris hati ibu dan ayahnya. Antara kata-kata hina yang selalu kita dengarkan;
“Kenapa kulitnya gelap?”
“Kenapa hidungnya kemek?”
“Kenapa rambutnya nipis?”
“Kenapa langsung tak ada iras ibunya?”
“Kalau ikut Ayahnya, cantik budak ni.”
Aduhai, kenapa begitu sekali lancang mulut kita menyambut kehadiran anak itu di muka bumi ini. Belum sempat, dia menyelesakan dirinya di bumi Tuhan ini, kita sudah menyambutnya dengan persoalan yang merendahkan susuknya. Jika terus diulangi sehingga dia membesar kelak, bagaimana dia mahu hidup dengan yakin dan kuat?
Kredit Foto: Google
Baizura Trauma Mahu Bawa Anak Keluar
Kisah ini diceritakan oleh seorang teman penulis tentang bagaimana pandangan masyarakat terhadap anak kandungnya, Dania. Sejak hari pertama dilahirkan lagi, fizikal Dania sering menjadi persoalan kebanyakan orang. Dania kini berusia dua tahun dan hal yang sama masih berlaku, baik di media sosial sehinggalah ke dunia nyata.
Walaupun Baizura bukanlah artis, namun setiap kali menaikkan gambar anak di Facebook atau Instagram, pasti ada yang bertanya, “Anak awak ke?” atau “Lain ya Dania!” Walaupun pertanyaan itu hanyalah sebuah persoalan dan bukan kutukan, namun hati ibu mana tidak terusik. Ada juga yang DM semata-mata mahu mengesahkan betul ke Dania itu anaknya?
Lama-kelamaan, Baizura sudah tidak aktif lagi bermedia sosial. Malah, tidak lagi mahu berkongsi gambar keluarga. Mujurlah anaknya masih kecil dan belum tahu membaca, jika tidak bagaimanalah perasaan anak itu? Tidak cukup dengan itu, ada juga apabila terjumpa mereka di luar, turut melontarkan soalan yang sama.
Jika pulang ke kampung bertemu mak cik, pak cik, lancar sahaja mulut mereka mengusik, “Awatlah hitam sangat kau ni, nak?” Ada pula yang mengusap-usap pipi dan tangan Dania sambil berkata, “Ni kahwin nanti, kena potong duit hantaran ni.” Aduh, bagai ditembak peluru berdas-das hati Baizura dan suami waktu itu.
“Saya mempunyai kulit yang cerah. Suami pun tidaklah gelap sangat tetapi rezeki kami dikurniakan Dania yang berkulit sangat gelap. Memang nampak sangatlah bezanya apabila saya mendukungnya. Namun, di sebelah suami saya, Datuknya ada berdarah India. Jadi, ia tidak pelik untuk kami menerimanya,” Ujar Baizura.
Apabila ditanya adakah Baizura ada memberi penerangan sebegitu kepada orang yang bertanyakan perihal paras rupa Dania? Jawab Bazura, “Saya tidak perlu untuk menjelaskan apa-apa kepada orang luar. Yang penting kami tahu ini anak kandung, darah daging kami. Penatlah kalau kami perlu jelaskan kepada setiap orang yang busy body tu!”
Kredit Foto: Google
Jaga Hati, Kawal Mulut dan Ingat Tuhan
Hanya itu yang mahu penulis nasihatkan kepada orang-orang di luar sana yang suka membuat teori dan penilaian sendiri bersabitkan paras rupa anak kecil. Tolonglah didik hati dan mulut kita untuk berkata yang baik-baik apabila melihat kekurangan seseorang itu. Kita sendiri tidak sempurna. Kalau Tuhan telanjangkan aib kita, pasti kita sendiri malu untuk keluar berjumpa orang.
Jika tidak mampu menjaga hati dan perasaan orang dengan kata-kata yang baik, cukuplah dengan berdiam diri. Tidak perlu berkata apa-apa. Ingatlah, hati dan perasaan yang terluka itu tidak sama seperti luka di luar untuk disembuhkan. Dan, ingat juga, kecantikan paras rupa itu sangat subjektif. Jika di mata kamu si kecil itu tidak indah, mungkin di mata orang lain, dia sangat sempurna.