Read
Balik Raya — Tidur Berjemaah atau Check-in Hotel?
Oleh: Afiza Kamarulzaman
HANYA tinggal beberapa hari sahaja untuk kita menyambut Aidilfitri. Hari kemenangan dan berbahagia untuk umat Islam semuanya. Raya mana tahun ini? Bagi yang mengamalkan sistem giliran, jangan skip okey!
Mesti ada adil untuk kedua-dua belah pihak agar tiada sengketa menjelang Syawal. Kesian, anak-anak nanti kalau Mak dan Ayah bergaduh hanya sebab tak balik Raya.
Raya dulu dan sekarang banyak bezanya walaupun mungkin kuih raya atau hidangan pagi raya masih sama. Kalau dulu, hari raya adalah hari untuk semua anak-anak balik ke ‘sarang’. Barulah meriah rumah mak ayah yang selama ini sunyi-sepi dek anak-anak semua bergelar perantau.
Masa ini jugalah bertemu sanak-saudara. Mak ayah mula keluarkan tilam, toto dan bantal-bantal untuk anak, cucu dan menantu tidur di depan ruang tamu dan beranda rumah nanti.
Namun, hari ini, walaupun masih ada yang mengamalkan tidur berjemaah di rumah mak ayah, ada trend baru anak menantu sekarang yang memilih untuk tinggal di hotel atau homestay sahaja, dengan alasan tidak mahu menyusahkan mak ayah dan menjaga ‘aurat’ dan batas antara ipar-duai.
Masalahnya, kalua mak dan ayah jenis yang berfikiran terbuka tidak mengapa, ada segelintir mereka yang sensitif yang mungkin menganggap anak menantu ‘tidak sudi’ menumpang rumah mereka lagi.
Apa pun alasannya, antara tidur berjemaah di kampung atau check-in, kedua-duanya ada kebaikan dan keburukannya, berikut InTrend turunkan beberapa tips kalau mahu tidur menumpang rumah mak ayah atau sebaliknya.
Kalau Tidur Rumah Mak
- Jangan jadi diva. Amalkan sikap ringan tulang untuk membantu. Buang jauh-jauh mentaliti kalau balik kampung mahu berehat. Nak berehat, sila pergi time holiday atau honeymoon nanti. Rajin-rajinlah membantu mengemas kembali tempat tidur. Nasihatkan isteri/suami dan anak-anak untuk jadi ‘socialite’ bukan kera sumbang.
- Jangan jadikan alasan nak rasa air tangan mak sebagai penyebab orang tua itu 24 jam duduknya di dapur. Sesekali, jadilah pembantu chef walaupun kamu memang failed bab memasak.
- Jangan jadikan mak ayah tempat letak anak dengan alasan mahu beraya ke rumah kawan-kawan atau membeli barang. Sekejap-sejekap, okey. Jangan melarat sampai orang tua itu tidak dapat ke masjid atau terganggu tidur malamnya. Lagi satu pesanan buat yang ada anak kecil, lampin anak jangan dibiar bertenggek di bilik air sehingga mak ayah yang kena kutip.
- Jaga aurat ketika adanya saudara-mara yang bukan mahram. Terutamanya ketika tidur beramai-ramai di ruang lapang. Pakailah sesempurnanya.
- Bertolak-ansur apabila ramai adik-beradik pulang serentak. Jangan jadi perbalahan bab berebut bilik tidur berhawa dingin, siapa mandi dulu, siapa nak ‘cop’ kerusi meja makan dan sebagainya. Beralah bukan bererti kalah.
- Bawalah peralatan ekstra kalau bimbang berebut nanti seperti toto, selimut atau seterika. Jadilah ‘anak’ yang bijak! Jangan semua nak ditaja. Sebelum balik, hulurlah sedikit wang tambahan untuk mereka bayar bil elektrik atau air dan lain-lain yang mungkin terpakai lebih bulan itu.
Kalau check-in hotel
- Beritahu awal-awal kepada mak ayah bahawa kamu akan tidur di hotel atas sebab-sebab tertentu. Perjelaskan sebaik mungkin. Minta maaf terlebih dulu. Pasti lembut hati mereka.
- Jika sudah duduk di hotel, janganlah ingat kamu akan terperap sahaja di situ. Pesankan kepada diri bahawa hotel itu sekadar tempat untuk kamu tidur dan menyiapkan diri, selebihnya luangkan masa di rumah mak ayah. Bangun pagi terus bergerak ke rumah mak ayah, dan malam barulah kembali.
- Pilih hotel paling berdekatan dengan rumah mak ayah supaya kamu tidak habiskan masa hanya untuk berulang-alik. Jika ada apa-apa hal, mudah untuk urusan ke sana sini.
- Jangan sesekali tinggalkan anak atau isteri di hotel tatkala kamu mengunjungi rumah mak. Nanti, kecil hati mereka. Pastikan semua ahli keluarga ada apabila tiba di pintu rumah mereka.
- Bawa bersama beg kecil berisi pakaian dan perkakas diri apabila menjengah rumah mak ayah. Ini salah satu taktik untuk mengalih pandangan kasar mereka bahawa kamu mahu duduk di hotel 24 jam. Sekurang-kurangnya, kamu lakukanlah aktiviti mandi, menyalin pakaian atau solat di rumah mereka. Nampaklah sedikit yang kamu masih ada hati terhadap rumah mereka itu.
- Jangan ceritakan kehebatan hotel yang kamu duduk itu kepada mereka. Jangan sesekali dipuji biliknya besarlah, katinya empuklah. Lebih elok kamu kata sahaja, “bolehlah untuk tidur, seronok lagi rumah Mak.” Pasti berbunga hatinya.
Must-Watch Video