Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
gaya hidup

Beli Barang Terpakai, Buat Apa Nak Malu? Lagipun Boleh Sumbangkan Untuk Ekonomi Juga. INI Buktinya.

Huda Hussain 14/12/2021 | 08:34 MYT
Dek kerana situasi pandemik ramai dalam kalangan kita yang mengambil langkah berjaga-jaga dalam setiap aspek kehidupan. Selain membiasakan diri dengan norma baharu, apa jua bentuk penyesuaian diri harus diadaptasi. Dan perihal yang sama dalam konteks membeli-belah secara dalam talian.
Carousell Group, kumpulan jual beli dalam talian terkemuka di Asia Tenggara dan Taiwan, menangani isu penggunaan berlebihan dalam Laporan Indeks Perdagangan Semula (Recommerce) Carousell 2021, iaitu sebahagian daripada inisiatif Carousell Green untuk menekankan kepentingan kelestarian dan perdagangan semula di rantau Asia Tenggara dan Taiwan. Laporan ini merangkumi penemuan daripada empat jenama Carousell Group iaitu Carousell, Chợ Tốt, Mudah.my dan OneKyat, yang merentasi lapan pasaran – Hong Kong, Indonesia, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Taiwan dan Vietnam kjlserta melibatkan lebih 3,000 pembeli dan penjual.
Di Malaysia, hampir lapan daripada 10 orang pernah membeli barangan terpakai sebelum ini, dengan kecenderungan yang tinggi untuk membeli alatan fotografi dan elektronik seperti komputer, telefon bimbit dan tablet (46%). Sementara itu, kategori dengan jualan terbanyak adalah peralatan isi rumah dan perabot (Home, Furniture and Appliances, 48%), dengan beribu-ribu barangan untuk keperluan rumah baharu yang bukannya dibuang ke tapak pembuangan sampah. Sekali gus membolehkan penjual menjana pendapatan dan memberi nilai kewangan kepada pembeli.
“Di Carousell, kami sentiasa mensasarkan untuk memberikan nafas baharu kepada barangan yang jarang digunakan, sebagai satu cara mengurangkan pembaziran dan membantu orang mendapatkan lebih nilai kewangan. Dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini, pandemik ini telah mengubah tingkah laku biasa pengguna; oleh itu, Laporan Indeks Perdagangan Semula Carousell adalah ‘kad laporan’ yang tepat pada masanya untuk menjelaskan kedudukan kita sekarang dan bagaimana kita boleh menjadikan barangan terpakai sebagai pilihan pertama dalam usaha untuk mengamalkan gaya hidup yang lebih lestari dan menyokong ekonomi pekeliling,” jelas Tang Siew Wai, Pengurus Negara (Malaysia), Carousell.
Dari segi motivasi untuk membeli barangan terpakai, 78% responden Malaysia yang pernah membeli barangan terpakai sebelum ini menyatakan ‘nilai kewangan’ sebagai sebab utama, mendahului purata serantau (68%).
Secara keseluruhannya di rantau ini, Fesyen kekal sebagai kategori teratas dalam penyenaraian barangan terpakai (29%), dengan Fesyen Wanita (Women’s Fashion) mendominasi tempat pertama di seluruh rantau ini, makanala Fesyen Lelaki (Men’s Fashion) pula kian popular. Keadaan ini juga tercermin di Malaysia di mana Fesyen Lelaki meningkat sebanyak 76% dalam penyenaraian yang dilihat (listing views) dan 74% dalam penyenaraian yang dihasilkan (listings created) di Carousell Malaysia, dengan pembelian barangan yang paling popular ialah baju lelaki, diikuti oleh kasut sneakers. Fesyen Lelaki juga mendapat tumpuan minat ramai di Mudah.my; mendahului dalam kategori induknya Barangan Rumah dan Peribadi (Home and Personal Items) yang mencapai tangga kedua pada tahun 2020.
Bagaimanapun, di Mudah.my, kategori Kenderaan (Auto) mengungguli tempat teratas bagi tahun 2018 - 2020 dari segi jumlah penyenaraian dan permintaan barangan terpakai yang paling banyak. Dengan pelancaran Carousell Auto Group pada awal tahun ini, kategori ini dijangka akan menjadi ruang pertumbuhan utama kerana semakin ramai orang mencari kenderaan yang selamat dan boleh dipercayai demi keselamatan dan sebab-sebab yang lain, tanpa menanggung beban kewangan membeli kenderaan baharu.
Turun naik dalam pembelian dan penjualan tidak menghalang Carousell Group untuk terus mendahului usaha memupuk semangat kemasyarakatan di samping menggalakkan penggunaan barangan terpakai. Ini termasuklah kempen Betul-betul Free di Malaysia, yang diinspirasikan oleh pengguna dermawan yang memberikan barangan mereka secara percuma dengan menggunakan hashtag ‘#blessings’ dalam tajuk penyenaraian mereka. Sambutan hangat kempen inilah yang membawa kepada wujudnya kategori khas Barangan Percuma (Free Items) yang kini turut didapati di Carousell Singapura, Hong Kong, Taiwan, Malaysia dan Filipina termasuklah di Chợ Tốt di Vietnam dan OneKyat di Myanmar.
Kredit Foto: Google
Lucas Ngoo, Pengasas Bersama, Carousell Group berkata, “Sebagai pelopor jual beli mudah alih di rantau ini, Carousell Group sentiasa berusaha untuk mengurangkan halangan dan membolehkan proses jual beli berjalan dengan selamat dan lancar. Penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan ciri data membolehkan kami memberi tumpuan untuk merancakkan lagi kepimpinan kami dalam perdagangan semula di rantau ini bagi menjadikan pembelian barangan terpakai boleh dipercayai dan mudah. Perdagangan semula akan membantu menyelesaikan masalah penggunaan berlebihan dan seterusnya menjadikan barangan terpakai sebagai pilihan pertama pengguna.” jelasnya lanjut
#Barang Terpakai #Carousell #Jana Ekonomi
;