gaya hidup

Beri Peluang Kepada OKU Tanpa Diskriminasi. Mereka Juga Berhak Merasai Apa Yang Kita Nikmati.

Huda Hussain
16/07/2021
03:04 MYT
Sponsor Banner
Beri Peluang Kepada OKU Tanpa Diskriminasi. Mereka Juga Berhak Merasai Apa Yang Kita Nikmati.
Memasuki episod ketujuh malam ini, Luar Biasa terus berkongsi kisah-kisah pekerja ditimpa musibah dan sejauh mana produk juga perkhidmatan yang ditawarkan Perkeso mampu melindungi mereka. Pelbagai kisah inspirasi dipaparkan untuk tontonan penonton sekali gus mendedahkan kepada masyarakat agar lebih cakna mengenai pelbagai program sedia ada dibawah Perkeso.
Menerusi paparan episod kali ini yang mengupas topik Integrasi Teknologi dan Penggajian Pekerjaan untuk Orang Kurang Upaya (OKU), Senator Datuk Ras Adiba Radzi merangkap Presiden OKU Sentral serta mewakili komuniti OKU khususnya diundang ke set Luar Biasa.
Kredit Foto: Astro Prima
Berkongsi kisah beliau sebagai permulaan, Datuk Ras Adiba berkata, “Saya jadi OKU selepas beberapa peristiwa. Pada 1995 saya balik dari melakukan liputan bola sepak di Stadium Shah Alam. Kereta yang saya pandu dilanggar dari belakang dan saya terpelanting ke cermin hadapan kereta. Mereka terpaksa meletakkan titanium di bahagian leher saya. Kemudian saya boleh berjalan selepas makan ubat tahan sakit dan menjalani rawatan lain. Tahun 2001 pula, saya balik ke rumah emak di Taman Melawati dan ada orang nak curi kereta. Perompak itu ambil helmet dan ketuk berkali-kali kepala saya. Titanium yang ada sebelum ini dah begerak dan terpaksa lakukan pembedahan lagi. Masukkan titanium dari leher ke dada. Kemudian 2002, waktu saya nak ambil barang dalam almari, saya tergelincir. Saya terjatuh kemudian dengar bunyi ‘crack’. Ingatkan terseliuh tapi rupanya lebih teruk daripada itu,” kongsinya kepada Norman Hakim dan Shiha Zikir.
Selepas diberitahu doktor tidak boleh berjalan, Datuk Ras Adiba juga seperti orang lain yang sukar menerima hakikat ini. Enam tahun bergelar OKU, beliau hilang pekerjaan dan sahabat. Sungguhpun begitu masih tetap bersyukur walau ditimpa ujian hebat sebegini.
Kredit Foto: Astro Prima
Berkongsi daripada sudut pelaksanaan pemberian pekerjaan kepada OKU, walaupun masih rendah tetapi bagi Datuk Ras Adiba beberapa kementerian telah mula mengambil golongan OKU untuk bekerja. Memerlukan sokongan, insentif faktor persekitaran baginya amat penting untuk membantu OKU supaya dapat bekerja. Ujarnya, “Kekurangan kita adalah kelebihan kita. Bukannya kami yang kurang, tetapi orang di luar sana yang mengurangkan kami. Kami okey saja. Kami boleh adjust, cuba usaha dan perbaiki. Tetapi kami tak boleh hidup seperti masyarakat lain sekiranya fasiliti dan infrastruktur tidak mesra komuniti OKU,” hurainya lanjut.
Melanjutkan bicara mengenai topik ini, bagi Datuk Ras Adiba; “Kalau kita mengambil OKU bekerja dengan kita, rezeki yang kita akan dapat tu berkatnya melimpah ruah. Ini yang Perkeso cuba bantu. Mereka beri peluang kepada OKU kembali bekerja semula menerusi program Return to Work (RTW). Mereka beri penyesuaian kerja dan sokongan kepada pekerja OKU,” jelasnya terperinci.
Kredit Foto: Astro Prima
Kisah Luar Biasa Collins Jaim Berasal dari Sabah, Collins Jaim bertugas sebagai juruteknik di UMW Aerospace. Menceritakan tragedi hitam yang takkan luput daripada ingatannya, ia berlaku sejak Disember 2017. “Saya sakit pada sebelah kaki hingga menyebabkan kaki terpaksa dipotong. Mulanya saya tak tahu program ini. Tapi selepas berjumpa dengan jemaah doktor, mereka sarankan supaya saya berurusan dengan Perkeso untuk dapatkan bantuan kes saya ini.
Bagi Collins, rawatan dan proses rehabilitasi di Perkeso amat membantunya untuk pulih. Bukan sekadar alatan yang diberi sebagai sistem sokongan tetapi bantuan dan pemulihan dari aspek emosi dan skil tertentu sangat membantunya dapat bangkit daripada penyakit ini.
Kredit Foto: Astro Prima
Bertanggungjawab mengendalikan kes Collins, bagi Pengurus Kes Pejabat Perkeso Sabah; Rosnaneh Mahatin dia mulanya berjumpa dengan Collins pada Ogos 2018. Kes yang dirujuk daripada jemaah doktor Perkeso mendapati bahawas Collins mengalami keilatan bagi kes bilateral amputations. “ terangnya secara terperinci. Dibekalkan beberapa peralatan dibawah Perkeso secara percuma seperti elbow crutches, kerusi roda dan kaki palsu. Memandangkan dia perlu memandu kereta untuk ulang alik dari rumah ke tempat kerja, maka kekangan terpaksa dilalui. Modifikasi dilakukan bagi memudahkannya memandu. Misalnya fungsi minyak dan brake hanya melalui tekanan di bahagian stereng. Berbekalkan kemahiran dan lesen memandu yang ada, dengan pengesahan daripada pihak rehabilitasi bahawa modifikasi ini sesuai, ia sekali gus memudahkan Collins memandu kereta seperti sebelumnya.
Di pihak majikan pula, bagi Ketua Jabatan Kualiti UMW Aerospace; Mastura Othman berterima kasih dengan Perkeso kerana menyediakan pelbagai bantuan dan perkhidmatan bagi membolehkan pencarumnya kembali bekerja. “Perkeso banyak membantu bagaimana dia boleh kembalikan keyakinan, emosi dan pergaulan dengan rakan sekerja menjadi lebih baik,” kongsinya.
Kredit Foto: Astro Prima
Bersyukur kerana pihak majikan dan Perkeso banyak membantu, bagi Collins peluang ini disifatkannya sebagai peluang kedua yang cukup berharga apabila dapat kembali bekerja. Walaupun kini bergelar OKU yang membuatkannya hilang satu keupayaan, bagi Collins masih banyak lagi keupayaan lain yang boleh diterokai.
Mengakhiri sesi perkongsian yang cukup memberi inspirasi ini, Datuk Ras Adiba menyeru kepada pihak majikan agar memberi peluang kepada golongan OKU untuk terus bekerja seperti orang normal yang lain. Betapa golongan ini masih berharap agar diterima dan turut sama berada dalam masyarakat. Kebersamaan itu perlu ada walaupun mungkin kekurangan fizikal yang membezakan kita dengan mereka. Semangat mereka kuat, hati mereka jauh lebih cekal daripada kita. Lantaran itu, usahlah meminggirkan mereka, kerana golongan OKU juga sebahagian daripada kita.
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar