Read
Bersahur di Dunia, Berbuka di Syurga — Indahnya Perjalanan Arwah
Oleh: Afiza Kamarulzaman
Kredit foto: IG faziani_rohban
BUKANKAH sudah dikhabarkan bahawa ajal maut itu janji yang pasti. Ia rahsia Allah yang tiada siapa mampu merungkainya. Jika sampai masanya daun yang tertulis nama kita itu gugur, tidak sesaat pun ia mampu dipinda.
Tanpa apa-apa sakit mahupun petanda, Hajah Faziani Robhan dijemput Illahi setelah mengalami kemalangan jalan raya bersama suaminya yang dilaporkan cedera. Arwah dikatakan dalam perjalanan mahu membayar zakat di salah sebuah pondok tahfiz di Pattani, Thailand.
Pada usia 39 tahun, di bulan Ramadan yang mulia ini arwah dijemput pulang. Ramai kalangan suadara-mara, sahabat-handai, kenalan jauh dan dekat, pengikut setia arwah yang berkongsi kesedihan dan kata-kata indah buat menemani perjalanan arwah menemui penciptaNya.
Rata-rata berkongsi perkara yang sama; arwah seorang yang sangat baik, tinggi budi-pekertinya, berakhlak mulia dan tiada satu pun yang buruk dikenangi. Benarlah kata orang, jika baik budi yang kita tinggalkan di dunia ini, sampai ke mati orang akan mengingati kebaikan itu.
Tidak kira sama ada yang kenal rapat atau sekadar menyapa di alam maya.
Baru Tiga Hari Pulang Dari Mekah
Arwah sempat mengerjakan umrah bersama keluarganya di awal Ramadan tempoh hari. Di akaun Instagram miliknya, arwah berkongsi kegembiraannya berpuasa di Tanah Suci itu. Menurut arwah, sekali dapat merasa berpuasa di Madinah dan Mekah, pasti ingin kembali menikmatinya setiap kali Ramadan.
Menurut perkongsian sahabatnya, Dato Vida, arwah kerap dijemput menjadi tetamu Allah. Beliau sangat mencemburui arwah yang ‘tamak pahala’.
Satu amalan yang diikutinya, setiap kali menunaikan umrah, arwah akan pulun melakukan umrah sebanyak yang boleh dalam satu hari.
Dato Vida yakin, banyak bekalan yang mengiringi arwah pulang ke ‘sana’. Dato Vida juga memberitahu, beliau dapat merasakan kelainan pada wajah arwah selepas pulang dari menunaikan umrah. Kelainan yang tidak dapat dirungkainya.
Hanya arwah dan PenciptaNya yang tahu apa agaknya doa terakhir arwah di depan kaabah tempoh hari? Allahu...
Selepas pulang ke tanah air, arwah dikhabarkan sempat meluangkan masa berbuka puasa bersama anak-anak yatim di Jakarta pula. Arwah tidak berhenti melakukan segala amalan baik malah dilihat lebih agresif sebaik pulang dari Mekah.
Kredit foto: IG faziani_rohban
Rupanya Majlis Tahlil Untuk Diri Sendiri
Satu lagi perkara menarik yang dikhabarkan tentang arwah sebelum perjalanan akhirnya itu, arwah sempat mengatur majlis bacaan Quran di rumahnya selama 40 hari bermula malam semalam (13 Ramadan).
Arwah sudah pun menjemput anak-anak dari Madrasah Ahbabulmustafa Al Islamiah, Kampung Menjual, Tumpat untuk mengimarahkan bulan yang mulia ini berserta menganjurkan majlis tahlil buat arwah bapanya yang juga meninggal di bulan Ramadan, 15 tahun lalu.
Kredit foto: IG faziani_rohban
Menurut orang kuat dari madrasah tersebut, sudah empat tahun arwah menjadi penaja kepada anak-anak tahfiz di situ.
Mereka sendiri tidak menyangka, majlis yang bermula malam ini adalah majlis untuk dirinya sendiri, seperti arwah sudah tahu aturan ini dan mahu iringan terakhirnya dilakukan dengan sempurna. Subhanallah...
Tergesa-gesa Mahu Selesaikan Infak, Sedekah, Zakat
Seperti yang selalu diceritakan kebanyakan orang yang berdepan dengan sikap seseorang yang mahu pergi, ada kalanya lain dari kebiasaan, ini diakui oleh pembantu peribadi arwah juga.
Menurut pembantu arwah, arwah Faziani dilihat begitu tergesa-gesa mahu menyelesaikan segala urusan penting beliau terutamanya yang melibatkan pemberian zakat, infak dan sedekah.
Semuanya mahu disalurkan secepatnya kepada pertubuhan kebajikan, pondok-pondok pengajian juga individu yang memerlukan secara peribadi.
Arwah seperti sudah dapat merasakan masanya sudah semakin hampir. Arwah tidak punya banyak masa untuk berlengah.
Segala-gala kewajiban harus diselesaikan. Arwah mahu pergi dengan tenang dan dalam keadaan yang benar-benar bersedia.
Arwah Seorang yang Pemurah, Suka Menjamu, Berkongsi Ilmu...
Arwah dikatakan sangat pemurah dan dermawan. Banyak pondok-pondok tahfiz, rumah-rumah kebajikan yang mendapat bantuan arwah, walau tidak banyak liputan yang diberi kerana sifat arwah yang ‘humble’.
Arwah juga dikatakan suka menjamu sahabat-handai makan dan melayan para tetamu dengan baik kala bertandang ke rumahnya.
Seperti perkongsian salah seorang sahabatnya, Shahida Dherbs, arwah yang dipanggil Kak Yanie itu sangat luhur budi pekertinya.
Setiap kali ke Kelantan, arwah akan membekalkan pelbagai jenis makanan kepada beliau sehingga beliau pernah bergurau kepada arwah, rasa seperti arwah ini seorang mak yang bekalkan anak makanan nak balik asrama.
Begitulah beratnya arwah kepada sahabat-handai yang disayanginya.
Aliff Syukri juga berkongsi; Sepatutnya arwah bertemu beliau malam ini, namun tidak kesampaian. Beliau juga menyifatkan arwah seorang yang terlalu baik hatinya, tidak pernah memburukkan orang walaupun dirinya diburukkan.
Fasha Sandha yang juga antara sahabat baiknya, menganggap arwah seperti kakaknya sendiri.
Kali terakhir berjumpa ketika majlis berinainya tempoh hari. Fasha juga memberitahu bahawa begitu ramai orang yang menyenangi dan menyayangi arwah.
Selamat Jalan...
Walaupun tidak mengenali rapat dengan arwah, namun dari segala perkongsi teman-temannya, dapat dibayangkan keperibadian arwah yang sangat baik.
Bahagian dan rezeki arwah. Diberi limpahan kekayaan di dunia dan keindahan perjalanan ke negeri abadi. Insya-Allah.
Dengan segala amalannya memanfaatkan kelebihan yang diberi di dunia ini dengan menjadi ‘jambatan’ membantu yang memerlukan, maka berbahagialah arwah di sana nanti. Salam takziah daripada warga InTrend Malaysia buat keluarga arwah yang ditinggalkan (sementara).
Kredit foto: IG faziani_rohban