gaya hidup

Besar Pahala Ibu-Ibu Yang Masak, Sediakan Juadah Berbuka Dan Bersahur. Air Tangan Ibu, Memang Tiada Bandingannya.

Huda Hussain
15/04/2021
04:02 MYT
Sponsor Banner
Besar Pahala Ibu-Ibu Yang Masak, Sediakan Juadah Berbuka Dan Bersahur. Air Tangan Ibu, Memang Tiada Bandingannya.
Alhamdulillah, syukur sudah masuk hari ketiga umat Islam menjalani ibadah berpuasa tahun ini. Dan setiap kali Ramadan, pastinya para isteri dan ibu bergelut, sibuk uruskan pelbagai perkara. Maklum sajalah, waktu sepanjang berpuasa ini serasanya singkat dan terhad. Jika bekerja di pejabat, waktu pulang lebih awal daripada kebiasaannya. Begitu juga dengan jadual waktu persekolahan anak-anak. Rata-rata semuanya dibenarkan pulang awal untuk memudahkan dan beri keselesaan untuk berbuka.
Kredit Foto: Google
Salute Semua Ibu Bukan lagi menjadi sesuatu yang asing ataupun diluar kebiasaan apabila para isteri dan ibu perlu sesuaikan diri khususnya sepanjang Ramadan. Tidur agak lewat pada sebelah malamnya dan bangun awal pagi itulah antara rutin kaum Hawa sepanjang bulan ini. Bagi yang berkeluarga besar misalnya, sudah pasti persediaan awal telah dirapikan. Lihat saja di media sosial, ramai yang berkongsi tips selain cara penyediaan juadah sama ada untuk berbuka dan bersahur.
Ada yang memilih untuk memasak hidangan atau menu yang mahu dimakan lebih awal lalu disimpan dalam peti sejuk untuk dibekukan. Bukan sahaja menjimatkan masa, ia memudahkan para ibu menguruskan soal lain pula. Tidak kurang juga ada yang ‘bersilat’ di dapur usai tiba dirumah. Berkelentang-kelentung di dapur dan tepat sebelum berbuka, nah terhidang tiga ke empat jenis lauk untuk dimakan seisi keluarga.
Kredit Foto: Google
Itulah magisnya air tangan isteri. Dalam pada mulutnya menceceh itu dan ini, dileternya anak-anak begitu begini, sempurna juga tugas serta tanggungjawabnya seadanya. Sungguh, besar ganjaran pahala bagi para ibu yang masak, menyediakan juadah berbuka dan bersahur. Sama ada sedap atau tidak, jangan sekali-kali mempertikaikannya. Tak perlu mengeluh, merungut itu dan ini di depan rezeki, tak baik perlakuan itu. Sebaliknya bersyukur dan berterima kasihlah kepada isteri.
Kredit Foto: Google
Tidak kiralah sama ada isteri cuma mampu beli lauk-pauk untuk dimakan bersama. Hakikatnya sebagai suami, tunjukkan penghargaan kepada mereka. Nescaya, jika si ayah tunjukkan contoh teladan yang baik pasti anak-anak turut sama terikut. Tak susah manapun untuk tunjukkan penghargaan kepada isteri. Memadai dengan ucapan ‘Terima kasih ibu masak untuk berbuka hari ni’ percayalah akan hilang segala penat lelah isteri. Bagaikan lenyap entah ke mana letihnya isteri andai mendengar dua perkataan keramat ini. Bahkan secara tidak langsung, si isteri lebih bersemangat untuk bangun keesokan paginya dan mengulangi rutin yang sama. Semoga Allah melimpahkan rahmat dan ganjaran pahala buat semua ibu di luar sana.
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar