Personaliti
Betul Ke Kalau BFF Mengandung, Kawan Baik Pun Boleh TERKENAN? – Kajian Kata Ada Potensi. Huish, Menarik Juga Ni!
Teks: Nor Hatina Shuib
Hamil bersama teman baik sudah tentu satu situasi yang cukup menarik berlaku dalam kehidupan anda dan teman baik. Tetapi sedarikah anda bahawa kajian menunjukkan bahawa aura kehamilan ini boleh ‘berjangkit’?
Mengikut satu kajian dijalankan National Longitudinal Study of Adolescent Health ( ADD) di Amerika Syarikat, menemui bukti kebanyakan responden mereka hamil pada waktu yang sama seperti teman baik mereka.
Manakala satu lagi hasil kajian daripada sebuah jurnal American Sociological Association, mendapati bahawa seorang wanita hamil mempunyai aura kehamilan yang boleh berjangkit kepada teman rapat mereka.
Namun, dalam kajian ini, pengkaji menegaskan bahawa aura kehamilan ini lebih kepada kesan psikologi yang mana berita gembira rakan baik hamil membuatkan kita teruja sama dan pada masa sama meningkatkan keinginan untuk hamil.
Kredit foto: Google
Kehamilan Pengaruh Keinginan Wanita Lain Untuk Turut Sama Memiliki Zuriat
Maksudnya, kehamilan kawan-kawan terdekat akan mempengaruhi keinginan seseorang wanita untuk turut memiliki zuriat sendiri, walaupun sebelum itu mereka mungkin tidak terfikir untuk menimang cahaya mata dalam masa terdekat.
Dalam satu kajian lain, pengkaji mendapati ‘risiko’ seseorang wanita untuk hamil akan meningkat apabila lebih ramai rakan mereka yang mengandung dan melahirkan anak dalam tempoh 3 tahun terkini.
Realitinya, kehamilan adalah fasa yang indah dan dinantikan oleh wanita bagi melengkapkan institusi kekeluargaan. Lantas apabila perjalanan kehamilan itu dikongsi bersama insan tersayang selain suami, pastinya kita melalui proses kehamilan dengan lebih positif.
Wah, rasa teruja pula jika ia benar-benar berlaku dalam kehidupan anda dan sahabat baik. Biasalah, sebagai rakan baik, kita mahu semuanya sama dan biasanya rakan baik ini sukakan benda sama.
Tidak hairanlah yang cukup gembira apabila mengetahui mereka bakal menimang cahaya mata bersama –sama, membesarkan anak bersama dan akhirnya anak yang lahir sama tahun menjadi rakan baik.
Lebih nikmat, apabila berjodoh pula, dapatlah status rakan baik bertukar menjadi besan pula. Saat itu, tentunya perasaan indah dan gembira, hubungan sahabat baik terus berpanjangan.
Biasanya apabila rakan baik hamil bersama-sama, akan keluar ayat seperti ’ Nanti, anak kita sekolah sama-sama ya,’ atau pun jika berlainan jantina, akan pesan siap-siap, ‘cop’ siap-siap anak rakan baik untuk dijadikan menantu.
Seronokkan dapat berkongsi perasaan menjadi ibu, pengalaman dan nasihat sesama rakan baik apabila ditakdirkan mengandung bersama teman baik.
Penulis sendiri melalui pengalaman sama. Empat rakan baik termasuk penulis hamil pada tahun yang sama secara serentak. Cuma beza sebulan dan dua bulan saja tanpa kehamilan itu dirancang. Masing-masing terkejut apabila seorang demi seorang mengaku sedang hamil.
Semangat untuk meneruskan kehamilan lebih tinggi apabila insan terdekat dan rapat dengan kita juga hamil bersama dan membina impian dalam berkeluarga.
Indahnya, dapat melalui fasa alahan, stress dan tekanan sepanjang mengandung sama-sama dan sebarang masalah juga diatasi bersama.
Ketika itu, macam-macam panduan kehamilan dan petua seperti mengurangkan alahan dikongsi bersama. Kini, anak-anak kami membesar bersama dan menjadi rakan baik pula. Sungguh indah peraturan yang disusun Illahi.
Kredit foto: Google
Hamil Itu Rezeki Daripada Allah, Kita Cuma Berdoa dan Berusaha
Sama ada mengandung ini boleh berjangkit antara satu sama lain, biarlah ia terus menjadi misteri walaupun sudah dibuktikan dengan beberapa kajian kerana apa yang utama, percaya ia rezeki daripada Allah.
Mana yang baik kita sambut dengan seribu rahmat dan yang buruk jadikan sempadan diri. Apabila hamil bersama, banyak manfaatkan apabila beberapa teman baik hamil sama. Boleh berkongsi perasaan dan juga semangat untuk berjuang untuk melahirkan bayi.
Namun ada juga yang fobia apabila melihat teman baik hamil. Ini berikutan petua orang dulu-dulu, jika ingin hamil sama, bolehlah menjamah sedikit makanan daripada orang mengandung dan jika tidak mahu elakkan makan makanan orang hamil.
Bagi yang ada hasrat untuk hamil, mereka cuba-cuba melakukan petua ini sambal berdoa tetapi bagi yang belum bersedia, rasa ‘seram’ pula nanti berjangkit hamil.
Apa pun kita raikan saat indah ini jika ditakdirkan hamil bersama-sama teman baik.
Ia bermakna kita membina hubungan lebih rapat dengan kawan baik kerana kehamilan itu adalah satu perjalanan yang indah untuk diraikan bersama.
Musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ini juga ramai yang hamil sama ada kehamilan itu dirancang ataupun tanpa dirancang. Setiap masa, ada saja rakan rapat yang mengumumkan kehamilan. Bagi yang mahu merancang kehamilan, mungkin ini masa terbaik untuk anda kerana masing-masing bekerja di rumah.
Bagi yang hamil dengan alahan teruk, sedikit sebanyak boleh mengurangkan sedikit sebanyak kemudaratan apabila lebih banyak masa dirumah. Jom, tag rakan baik untuk hamil sama-sama….
Kredit foto: Google
Jom Lihat Teori Pengkaji Kenapa Hamil Bersam Teman Baik
- Pembelajaran Sosial: Wanita lebih cenderung untuk merasakan pengalaman menjadi ibu apabila melihat ramai rakan mereka berjaya menempuhinya dengan sukses. Kalau dulu rasa macam leceh,gementar atau tak ada rasa apa-apa langsung, kini mungkin lebih teruja bila melihat bayi dan anak-anak rakan dengan keletah yang comel dan melucukan.
- Pengaruh Sosial: Wanita berasa ‘takut’ untuk ketinggalan apabila melihat ramai rakan mereka telah memiliki zuriat masing-masing. Kadang-kadang bila asyik ditanya pun, rasa stres juga.
- Berkongsi Kos: Daripada sudut logistik mungkin ada yang berasa lebih bersedia apabila rakan mereka memberi tips penjimatan dan mahu berkongsi kos tertentu seperti penjagaan anak. Bila dulu terasa beban, bila nampak kawan-kawan semua okey, barulah mula nampak jalan dan lebih terbuka hati.
Nasihat Untuk Wanita Hamil Musim Covid-19
- Penjagaan ketika kehamilan trimester pertama sangat penting dan perlu diuruskan dengan baik untuk mengelakkan sebarang kemungkinan risiko keguguran. Di peringkat ini, kesihatan fizikal dan mental bayi yang bakal lahir dipengaruhi oleh penjagaan prakehamilan dan kehamilan trimester pertama.
- Wanita hamil perlu sentiasa mendapatkan nasihat doktor, menjaga pemakanan, mengamalkan gaya hidup sihat dan mengikut panduan kehamilan dari doktor dan pembacaan sumber sahih. Wanita hamil perlu mengambil berat penjagaan awal kehamilan bagi mengelakkan sebarang komplikasi.
- Sesetengah wanita mengalami pelbagai jenis alahan, ada yang hilang selera makan dan minum serta turun berat badan yang teruk sehingga terpaksa dimasukkan ke hospital, selain mengalami pendarahan ketika awal kehamilan. Jadi kongsi masalah anda dengan doktor, teman rapat, suami dan keluarga supaya beban anda dikurangkan.
- Wanita berusia, obes dan mempunyai penyakit kronik seperti darah tinggi dan kencing manis berisiko mendapat jangkitan lebih serius jika dijangkiti virus seperti COVID-19.
- Memandangkan wanita hamil terdiri daripada komuniti khas yang cenderung untuk mendapat jangkitan yang lebih teruk akibat COVID-19, mereka perlu lebih berjaga-jaga dengan kerap mencuci tangan, menggunakan cecair pembasmi kuman, mengelak mengunjungi tempat sesak dan sentiasa memakai pelitup muka.