gaya hidup
Bila Suami Tengah MARAH, Isteri Kena Diam Tapi Bila Isteri Pula Marah, Suami Jangan Diam – Sila Jawab Semua Soalan!
Emak-emak kita dulu selalu pesan kepada anak perempuannya; kalau dah berkahwin nanti, apabila suami marah, diam! Jangan ditambah minyak ke dalam api yang sedang marak, nescara terbakar seisi rumah.
Begitulah tindak balas dalam hubungan suami isteri. Seorang kena jadi air apabila yang seorang lagi sedang membara. Kontra itu penting untuk memberikan keseimbangan dalam rumahtangga. Jangan sama-sama naik pada satu masa.
Namun... seperkara pula yang para suami perlu ingat; apabila isteri pula dalam keadaan marah, membentak dan membebel, jangan kamu mendiamkan diri. Bukan mahu diajak bergaduh tetapi kena pandai melayan emosi dan psikologi isteri yang sedang bergolak.
Orang perempuan tidak boleh hanya dibiarkan begitu saja. Dia tidak seperti lelaki yang apabila marah mahu menunjukkan ‘kuasa’ atau ‘ego’. Mereka hanya mahukan perhatian. Selagi suami tidak membalas setiap amarahnya, jangan harap dia akan puas.
Bagaimana melayan marah dan bebelan isteri?
Jangan pula pada ketika isteri sedang ‘panas’ kamu masuk ke gelanggang sebagai musuh. Sebaliknya masuklah sebagai ‘pesalah’ walaupun kamu betul. Mereka hanya mahu bersoal jawab dan berkomunikasi.
Siapa betul, siapa salah tidak penting. Yang penting adanya interaksi dua pihak. Bukan hanya sebelah pihak yang bersuara, sedangkan sebelah pihak jadi batu. Ini yang menyebabkan kebanyakan isteri kecewa dan kekesalan tak akan berakhir.
Mula-mula, biarkan isteri habiskan leterannya. Suka atau tak, tadah saja telinga. Dengarkan apa yang ingin diluahkannya. Kadang-kadang isunya kecil saja tapi bunga-bunga ayat itu yang meleret. Itulah orang perempuan.
Setelah nampak dia puas melempiaskan semua pendaman hatinya itu, nah kamu masuklah perlahan-lahan.
Jawab soalan yang dibangkitkan dengan jawapan paling selamat dan ringkas sahaja. Pada saat ini, ada kala isteri bukannya mahukan fakta dan kebenarannya pun. Cukup kamu zahirkan yang kamu memang sedang mendengar dan faham apa yang disampaikanya.
Seterusnya, jangan lupa minta maaf dan minta isteri pun muhasabah kesilapan sendiri. Nyatakan terus yang kamu sayangkan dia dan keluarga. Pasti terubat luka hatinya serta-merta.
Andainya dia masih merajuk, jangan bimbang, sekejap cuma. Dia hanya sedang melayan perasaan ‘enak’ waktu itu kerana berasakan apa yang dilakukannya berbaloi dan kamu pasti akan berubah.
Semoga berjaya!