Highlights
Boleh Pun Kita Raya di PERANTAUAN – Hikmahnya; Tidak Membazir, Dapat Berjimat, Mak Ayah Pun Boleh Rehat.
Sudah masuk Raya ke tiga, bagaimana? Masih bernafas dan boleh makan dan minum seperti biasa, bukan? Siapa yang tempoh hari menangis teresak-esak, siap buat rayuan kepada pihak polis untuk melepasi sempadan negeri semata-mata mahu beraya dengan mak dan ayah di kampung halaman. Kebimbangan sesetengah anak rantau yang rasa seperti beraya di penjara walau di rumah sendiri.
Dan, hari ini semuanya dapat dilalui dengan baik, bukan? Ya, mungkin masih bersisa kehibaan itu, namun ada kala, keterpaksaan itu menjadikan kita lebih baik, tabah dan matang. Tidak semua kebiasaan itu harus dijadikan kelaziman seumur hidup. Sesekali membuat kelainan juga memberi warna dalam sejarah hidup kita nanti. Ada juga hikmah yang kita perolehi hasil daripada beraya ala PKP.
Kredit Foto: Google
Juadah Raya Tidak Berlebihan
Ramai yang beranggapan, Hari Raya adalah hari untuk kita ‘puluh’, bayar semula lapar dahaga kita selama berpuasa tempoh hari. Maka, pada Aidilfitri itu, kita masak pelbagai jenis juadah yang jarang-jarang dapat kita nikmati pada hari biasa. Rendang, ketupat, lemang, lontong, soto, laksa dan puluhan kuih-muih yang penuh meja. Dan, kita ulang makan dan makan bagaikan tiada hari esok.
Tidak betul apabila kita meraikannya dengan makan secara berlebihan. Ada pula yang sampai terpaksa buang makanan yang berlebihan kerana basi, maklumlah kebanyakan juadah Raya menggunakan santan yang tidak tahan lama. Mungkin keghairahan kita menyambut Aidilfitri itu membuatkan kita masak secara berlebihan, walaupun niat kita untuk menjamu tetamu nanti.
Nah, dan pada sambutan tahun ini, nyata berbeza. Kebanyakan kita, mengurangkan sekali ganda kuantiti masakan dek kekangan tetamu yang hadir ke rumah. Ahli keluarga pun ramai yang tidak dapat balik, maka ramai yang kurang teruja untuk menyediakan menu yang berlebih-lebih.
Kredit Foto: Google
Tiada Baju Berpasang-pasang
Ramai sebenarnya yang tidak membeli baju baru tahun ini kerana masih bertolak-tolak sama ada mahu beraya atau tidak kerana menunggu pengumuman rasmi daripada Perdana Menteri. Maka itu, ramai yang hanya membeli sepasang baju dan ada juga yang hanya memakai baju tahun sudah.
Jika kebiasaannya, pada tahun-tahun sebelum ini, kita sanggup menempah tiga ke lima pasang baju dengan pelbagai warna. Kononnya, sehari satu baju, katanya Raya kan sebulan. Maka, di situ sahaja berapa ratus atau ribu yang kita habiskan hanya untuk busana Raya? Akhirnya, ada yang tidak sempat kita habis pakai kerana kesuntukan waktu.
Ya, baju tiada tarikh luput. Namun, ada segelintir kawan-kawan penulis yang mengomel tidak dapat menyarung baju baru tersebut dek saiz badan yang sudah bertambah. Sudahnya, baju tersadai di dalam almari dan ada yang murah hati memberinya kepada adik-beradik atau kenalan yang bersaiz sama. Tahniah!
Kredit Foto: Google
Jimat Duit Minyak, Tol, Servis Kereta
Sebelum Raya pun sudah dapat dirasakan penjimatan kos minyak kereta dan tol kerana pergerakan yang terhad dan tidak berjalan jauh ketika PKP. Selalunya, bajet untuk perjalanan balik kampung sahaja sudah mencecah ratusan ringgit, itu belum lagi dikira perjalanan ketika mahu beraya di rumah sanak-saudara di luar kampung. Bertambah-tambahlah kos minyak dan tol yang dilalui.
Kalau nasib tidak baik, kereta pula buat hal ketika dalam perjalanan. Tayar pancitlah, penghawa dingin tidak berfungsi dan pelbagai lagi masalah kereta yang terpaksa kita tangguh demi perjalanan jauh yang sudah dirancang. Belum lagi dikira konvoi seisi keluarga. Kadang-kadang dari pagi sampai ke malam, tujuh hari berturut-turut!
Kredit Foto: Google
Tidak Perlu Langsir, Perabot, Karpet Baru
Kebanyakan orang kita memang suka bertukar benda baru menjelang Syawal. Kalau tidak dapat perabot baru pun, dapat tukar langsir atau karpet pun jadilah. Isteri kepada kawan saya pula kata, dapat tukar alas meja pun dia dah happy! Suami dia pening setiap kali Raya, kerana bajet lari. Ada kala terpaksa buat pinjaman bank demi memuaskan hati isteri yang mahu beraya sakan.
Katanya, malu kalau saudara-mara datang ke rumah, dilihat semuanya perkakas lama. Nanti dikata orang sampai Raya tahun depan. Biasalah orang kita ramai yang suka stalk rumah orang. Kemudian, membuat perbandingan itu dan ini. Bagi tuan rumah yang mudah terkesan, habislah luluh hati, terus ditukar semuanya.
Maka, tahun ini tidak perlu semua itu lagi kerana tetamu pun tidak digalakkan berkunjungan. Untuk apa ditukar benda yang masih elok, sungguh ia membazir kalau hanya mampu memuaskan hati orang lain. Cukup apa adanya yang masih elok dan selesa untuk digunakan. Cukuplah rumah nampak bersih dan kemas.
Kredit Foto: Google
Beri Ruang Orang Tua Berehat
Selalunya, mak dan bapa kitalah yang paling sibuk menjelang Raya. Dua,tiga hari sebelum Raya, si bapa sudah kerah tenaga mencari buluh untuk dibuat lemang, ke sana ke sini mencari ayam dan daging. Emak pula dari pagi sampai ke subuh esoknya sibuk di dapur menyiapkan berbelas-belas hidangan untuk santapan anak cucu nanti.
Itu belum dikira kalau rumahnya menjadi tumpuan anak-anak saudara dan orang-oranng kampung. Maka, sepanjang hari itulah mak dan ayah kita yang sudah tua lelah melayan tetamu yang datang. Ada kala, sampai bengkak-bengkak kaki, lenguh pinggang mereka mengadap semua itu hanya kerana raya yang dikatakan setahun sekali.
Dan, tahun ini mereka boleh menarik nafas lega. Ya, mungkin hati sedih kerana ada anak menantu yang tidak dapat balik beraya. Tidak mengapalah, jadikan Raya tahun ini sebagai Raya untuk meraikan diri sendiri. Berehat, tenang dan santai sahaja menyambut Aidilfitri. Tiada lagi kekusutan dan terkejar-kejar menyediakan kelengkapan. Boleh juga fokus untuk puasa enam nanti.
Kredit Foto: Google