Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Highlights

‘Bridal Shower’ – Sudah Menjadi Kebiasaan Dan Ada Yang Menganggapnya Satu Kemestian. Tetapi, Apa Penjelasan Agama?

Huda Hussain 17/06/2020 | 14:11 MYT
Seakan menjadi trend dalam kalangan masyarakat kita menjadikan bridal shower dan baby shower sebagai satu amalan pula. Bahkan tidak kurang ada yang menganggapnya sebagai satu kemestian pula. Seolah-olah sambutan ini perlu dilakukan demi meraikan rakan karib yang bakal melangkah ke jinjang pelamin atau yang sedang menanti detik kelahiran cahaya mata.
Sungguhpun demikian, perihal ini dipandang serius dalam agama kita. Malah penjelasan dari Laman web rasmi Mufti Wilayah Persekutuan menerangkan duduk sebenar hal ini. Ayuh kita teliti bersama.
Kredit Foto: Google
Asal-Usul 'Bridal Shower' Atau 'Bachelorette Party'
Menurut sebuah artikel di laman web World Bride Magazine [1], ‘bridal’ ini berasal dari Holand pada kurun ke-16. Ia disambut untuk menggembirakan bakal pengantin yang akan menamatkan zaman bujang. Ia juga untuk membantu pengantin perempuan bagi menyediakan dowry iaitu hadiah daripada pihak pengantin perempuan kepada pengantin lelaki.
Perkataan shower pula muncul di Amerika Syarikat ketika era Victoria. Gadis-gadis daripada golongan pembesar meraikan bakal pengantin dengan sesi bersuka-ria, menukar hadiah dan makan bersama. Selepas beberapa kurun, hal ini menjadi suatu kebiasaan bagi pengantin untuk diraikan sebelum perkahwinan mereka.
Kredit Foto: Google
Larangan Menyerupai Orang Kafir
Dalam permasalahan ini, kami telah menjawab dalam artikel yang bertajuk, Bayan Linnas Siri Ke- 152: Had Berinteraksi Dengan Agama Lain Di Dalam Rumah Ibadat Mereka Di Malaysia [2]. Dalam artikel ini, kami menghuraikan dengan panjang tentang larangan menyerupai orang kafir.
Islam merupakan agama yang amat mementingkan identiti. Sedangkan manusia amat menitikberatkan identiti bangsa yang dianuti dan negara yang diduduki, apatah lagi Allah SWT, Tuhan yang menurunkan agama ini. Oleh itu, sebagai hamba-Nya yang taat, kita perlu berhati-hati dalam memastikan identiti Islam sentiasa terpelihara daripada penyerupaan dengan agama lain.
Lantaran itu, kita dilarang oleh Rasulullah SAW menyerupai golongan kafir dalam hal yang merupakan identiti atau lambang atau syiar agama mereka. Daripada Ibn Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum dia adalah dari kalangan mereka.” Hadis Riwayat Abu Daud (4031)
Imam Al-San’ani (w.1182H) Rahimahullah berkata bahawa hadis di atas menunjukkan barangsiapa yang menyerupai orang-orang fasiq ataupun kafir ataupun orang yang melakukan bid’ah dalam apa jua perkara yang dikhaskan padanya dari segi pemakaian, tunggangan ataupun gerak-geri tingkah laku maka dirinya tergolong dalam kalangan mereka. Lihat Subul al-Salam (2/647).
Kredit Foto: Google
Rumusan
Setelah meneliti asal-usul bridal shower, kami melihat ia bukanlah suatu syiar mana-mana agama, ia hanyalah amalan yang dilakukan oleh kumpulan tertentu. Oleh itu, kami mencadangkan dan memutuskan seperti berikut:
  1. Sekiranya mahu melakukan acara ini, hendaklah menjauhi segala larangan dan perkara yang diharamkan syarak.
  1. Hendaklah memastikan tiada hidangan arak atau minuman yang memabukkan ketika acara ini berlangsung.
  1. Hendaklah menjaga batasan pergaulan di antara lelaki dan perempuan ketika majlis berlangsung.
  1. Hendaklah acara ini hanya bertujuan untuk mengeratkan silaturahim di antara pengantin dan sahabat-sahabatnya. Dan bukan bertujuan untuk mengikuti budaya barat.
  1. Dicadangkan agar menukar nama acara ini kepada malam silaturahim, atau nama yang dirasakan bersesuaian agar dapat keluar daripada fitnah.
  1. Hendaklah mengelakkan sebarang pembaziran ketika berlangsung acara ini dan mengelakkan daripada bermegah-megah.
Semoga penjelasan ini memberi pencerahan kepada kita dan lebih memahami agar ia tidak disalah erti, dilakukan untuk menunjuk-nunjuk atau bersuka ria secara berlebihan.
Sumber:
[1] http://worldbridemagazine.com/3546/modern-lessons-from-history-the-bridal-shower/
[2] http://muftiwp.gov.my/en/artikel/bayan-linnas/2755-bayan-linnas-siri-ke-152-had-berinteraksi-dengan-agama-lain-di-dalam-rumah-ibadat-mereka-di-malaysia?highlight=WyJtZW55ZXJ1cGFpIl0=
#Bridal Shower #Pandangan Islam
;