gaya hidup
Buta Perut, SELFISH, Masih Tak Serik — Ramai Balik Kampung Atas Pelbagai Alasan. Kalau Tipu, Tanggunglah!
Sudah dijangka situasi ini akan berlaku juga buat kali kedua. Kalau dua bulan lepas, curi-curi balik kampung nak sambut Aidilfiri. Kali ini beria-ia pula nak raikan Hari Raya Aidiladha. Allahu… Sejujurnya penulis kecewa, diselubungi pelbagai perasaan dan dalam masa sama lebih emosi tatkala melihat di media sosial kenderaan berpusu-pusu memasuki lebuh raya.
Ya, faham sudah dua tahun kebanyakan daripada kita tak dapat balik kampung beraya dek kerana rentas negeri masih tidak dibenarkan. Luluh hati berendam air mata tak dapat balik beraya. Rindu nak peluk cium emak, abah dan adik-beradik serta saudara-mara. Tetapi apakan daya, sudah itu yang termaktub. Walaupun perit, terpaksalah dituruti jua.
Kredit Foto: Google
Demi Tanggungjawab Rakyat Prihatin
Semua itu dilakukan demi kerjasama sebagai warganegara yang punya rasa tanggungjawab untuk sama-sama mengekang penularan Covid-19. Tak apalah tak dapat balik kampung macam dulu, nak buat macam mana lagi? Kita ikut satu persatu arahan kerajaan semata-mata untuk bantu turunkan kes positif yang kian mencanak naik sejak beberapa hari ini. Patuhi SOP, kekal duduk dirumah, hadir pada tarikh temujanji vaksin dan bermacam lagi. Tak mengapa berkorban sedikit, menyimpan rindu walau haikatnya hati terguris pilu terkenangkan kampung halaman.
Tetapi apabila ada dalam kalangan kita yang tidak bertanggungjawab rentas negeri dengan 1001 alasan tak masuk dek akal, maka tidak wajarkah ada yang meluah rasa marah dan kecewa? Bukan kalian saja yang punya keluarga jauh dimata. Bukan sedikit yang rindukan emak ayah, rindu air tangan emak, rindukan berbual mesra dengan ayah, rindu luangkan masa bersama saudara-mara. Bukan sedikit yang menanggung rindu nikmati suasana damai di desa tercinta. Semua rindu!
Kredit Foto: Google
Salahkan Kerajaan Tapi Hakikatnya?
Beria-ia 'memekak' di media sosial masing-masing menghentam kerajaan yang disifatkan gagal mengawal dan menguruskan pandemik dalam waktu ini. Mengecam tindakan menteri itu dan ini. Tapi menjelang beberapa hari sebelum Raya Haji, bersesak-sesak memenuhi lebuhraya. Keluarkan segala surat, permit rentas negeri dengan pelbagai helah. Kalau sungguh benar tak apa. Tapi kalau ada yang menipu, curi-curi balik kampung semata-mata nak sambut raya, tanggunglah sendiri akibatnya. Sungguhpun ia bukan soal dosa pahala, halal dan haram tetapi di mana letaknya kewarasan fikiran, kejujuran anda?
Masih tak serik apabila kes melonjak naik dua minggu selepas Aidilfitri dua bulan lalu? Tak sedarkah kalian berisiko ‘membawa bersama’ virus balik ke kampung hingga boleh mewujudkan kluster baharu? Tak pernah terfikirkah kalian betapa bahayanya varian Delta yang kian menular dan meragut ramai nyawa? Atau kalian berasakan semua itu tidak penting? Mungkin ya, kerana asalkan tak terlepas beraya sakan makan daging korban hingga akhirnya boleh mengorbankan nyawa sendiri dan orang lain.
Kredit Foto: Google
Sungguh, berbaur perasaan ketika ini. Entah bagaimana lagi harus kita cuba bersangka baik yang berduyun-duyun kereta memenuhi lebuh raya itu benar-benar ada urusan penting dan kecemasan untuk rentas negeri. Allahu…
Kalau beginilah sikap degil dan mementingkan diri sebilangan daripada kita, maka sampai bila-bila pun takkan berkesudahan episod pandemik Covid-19 di negara kita. Walaupun entah berapa kali siri PKP, PKPP, PKPB, PKPD percayalah kita semua akan terus gagal hingga melumpuhkan sistem kesihatan negara yang kini bagaikan telur dihujung tanduk.
Kredit Foto: Google
Sudah-Sudahlah…
Buang jauh-jauh sifat pentingkan diri semata-mata keseronokan yang dirasai hanya dua tiga hari, Jangan kerana terlalu teruja nak sambut Aidiladha bersama keluarga dikampung berakhir dengan linangan air mata atau penyesalan tak bertepi. Hayati dan fahami erti pengorbanan sebenar dengan situasi hari ini. Kerana hakikatnya kita semua berada dalam kondisi paling sukar. Pandemik ini telah mengakibatkan krisis kehidupan yang tidak pernah sama sekali kita terbayang akan berlaku di tanah air sendiri. Bukalah mata seluasnya, lihatlah di luar sana ramai yang hidupnya susah. Diuji dengan pelbagai kepayahan, kesengsaraan dan kesempitan. Jika tak mampu membantu sekalipun, janganlah mengeruhkan lagi keadaan yang sudah sedia teruk, sukar dan sulit.
Kredit Foto: Google
Korbankan keterujaan kalian untuk meraikan Raya Haji kali ini. Simpati dan kasihanilah sesama kita yang sedang bergelut memerangi wabak ini. Yang sedang berjuang antara hidup dan mati. Kita masih belum menang tapi tak mustahil kita mampu menang suatu hari nanti. Bersabarlah, bertahanlah. Semoga dengan ikhtiar kita patuhi SOP dan pengambilan vaksin berhasil supaya kita dapat jalani kehidupan normal yang selama ini dirindui.