Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Highlights

Ceria dan Bersederhana – Rahsia Amy Mastura Awet Muda Hingga Kini. Memang Tak Makan Tua Langsung!

Huda Hussain 01/03/2020 | 15:42 MYT
Mengimbas kembali ketika merakamkan sesi fotografi ruangan Khas Gaya Hidup edisi Mac 2017 bagaikan segar dalam ingatan saya. Mengenali insan seni bernama Amy Mastura ini sungguh mudah dan menyenangkan. Ceria orangnya dan ada saja jenaka yang bikin kami semua pecah perut ketawa. Mungkin juga ini rahsia dia kekal awet muda.
Kredit Foto: IG Amy Mastura
Selepas berhijab, bagaimana rasanya?
Hampir dua tahun berhijab, syukur saya selesa dan terasa lebih lengkap penampilan saya sehingga hari ini. Mulanya saya memang tertarik melihat wanita yang bertudung. Tidak kiralah walau apa jua gaya tudung, selekeh macam mana sekalipun tetap suka melihatnya. Umpamanya hati ini jatuh sayang melihat mereka yang bertudung. Niat memang sudah ada cuma tidak tahu bagaimana untuk memulakannya. Berperang juga dalaman saya dek kerana memikirkan kesan atau tanggapan orang. Adakah orang sekeliling akan terkejut atau mereka mempunyai tanggapan yang berbeza terhadap orang bertudung. Misalnya apabila memakai tudung tidak boleh melakukan kesalahan dan sebagainya. Hinggakan pernah terfikir, “Kalau aku pakai tudung apa nak jadi? Bukannya tiba-tiba pengsan atau dunia berbolak-balik” (ketawa). Nak dijadikan cerita, tiga hari selepas 1436 Maal Hijrah, saya perlu menghadiri sesi fotografi bersama keluarga untuk edisi raya. Mulanya saya memasang tekad, mahu cuba mengenakan tudung ketika berpuasa nanti dan jika selesa memakainya maka saya akan terus bertudung. Saya sendiri mengusulkan, “Tak mengapalah, kita pakai sahaja tudung untuk photoshoot raya ni”. Kemudian, peminat mengucapkan tahniah lantas saya terus bertudung hingga hari ini. Syukur kerana segalanya dipermudahkan biarpun suami mulanya agak terkejut tetapi lama-kelamaan dia menyambut baik.
Bagaimana pula dengan isu selebriti yang mulanya bertudung kemudian membuka tudung pula. Komen Amy?
Itu terpulang kepada pendirian masing-masing. Siapa tahu mungkin selepas tidak bertudung, mereka atau sesiapa jua yang membuka tudung akan kembali berhijab. Doa sahaja yang baik-baik kerana kita tidak tahu perancangan Allah bukan? Sejak bertudung ini lain rasanya. Apabila tidak pakai, rasa tak selesa. Sebelum bertudung lagi saya sudah mula memakai baju berlengan panjang dan labuh seperti kurta.
Aktif di laman sosial?
Tidaklah aktif atau galak kemas kini semua aktiviti, rutin harian saya. Sekadar yang perlu, sekali-sekala itu sudah mencukupi. Tidak juga seperti orang lain yang rajin merakam video tutorial mekap, tudung dan macam-macam lagilah. Apatah lagi muncul Live di Facebook atau Instagram, juga jarang saya lakukannya.
Kredit Foto: IG Amy Mastura
Aktif berlakon dan Amy perlu ke sana-sini, bagaimana Amy memastikan kekal bertenaga dan segar?
Saya hanya mengambil suplemen apabila terlalu letih dan penat dengan rutin dan kerja seharian. Misalnya jadual sesi penggambaran yang padat sehingga berlarutan lewat malam, dan berterusan sehingga keesokan harinya; barulah saya mengambil suplemen. Dan apabila saya merasa okey, saya tidak memakannya lagi (ketawa). Mungkin juga kerana saya belum jumpa suplemen yang sesuai maka saya tidak menjadikannya sebagai amalan.
Amy punya diet khusus?
Memandangkan sudah berada di usia 40-an, maka saya harus peka soal ini. Tetapi saya tidak mempunyai diet khusus. Cuma bersederhana dalam pengambilan makanan. Saya juga seperti orang lain, makan nasi juga (ketawa) tetapi kuantitinya sederhana. Makan sedikit tetapi saya kerap makan. Berat badan pula cepat naik dan mudah juga turun. Tetapi itu bukan alasan selamat untuk saya makan sesuka hati. Saya mengawalnya mengikut keperluan tubuh. Tetapi kadang-kadang terbabas juga (ketawa).
Kredit Foto: IG Amy Mastura
Kata orang jika sentiasa gembira dan ceria, ia sedikit sebanyak membantu agar kelihatan awet muda. Setuju?
Setuju dan mungkin benar juga kenyataan demikian kerana apabila kita ceria dan gembira, hilang seketika tekanan dan masalah yang ada. Dan, saya pernah terbaca jika anda tertawa ia memberi manfaat kepada kesihatan jantung. Jadi, jika tidak mahu cepat tua, gelaklah! (ketawa).
Bagaimana pula dengan susuk tubuh; kata orang jika bertubuh genit dan kecil tidak makan tua. Komen Amy?
Pada saya, tidak kiralah sama ada anda bertubuh gempal, kurus dan sebagainya; tua tetap mengejar anda cuma bezanya lambat atau cepat sahaja. Jangan nak perasan sangat ya kalau orang yang kecil molek tu! (ketawa). Tak boleh lari ke mana, maka hadapilah proses penuaan itu.
Perubahan ketara yang dirasai usai melangkah ke fasa 40-an?
Pada saya kalau kita menerima dan menyedari hakikat usia, ia akan lebih mudah. Contohnya, uban mula tumbuh. Jika anda benar-benar bersedia anda sebenarnya akan lebih menghargai setiap perubahan yang mula dirasai. Jika anda menidakkannya, ia akan menyebabkan anda merasa tertekan sekali gus anda tidak akan menikmati setiap detik perubahan dalam fasa tersebut. Kemudian, masalah penglihatan atau rabun dekat mula dialami pada peringkat ini. Kemudian, kedutan perlahan-lahan akan menghiasi wajah anda. Dan ketiga-tiga tanda inilah yang telahpun saya rasai. Saya sama sekali tidak berusaha untuk menghalang atau mencegah sebaliknya lebih terbuka dan bersedia sahaja kerana proses penuaan itu adalah satu peringkat yang lazim dan akan dilalui oleh semua orang. Seperti peringkat awal kelahiran kita, ketika bayi tidak semua Allah berikan serentak. Semuanya berlaku secara berperingkat. Begitu juga dengan proses penuaan, semakin meningkat usia kita perlahan-lahan Allah akan tarik satu persatu nikmat yang kita rasai selama ini. Maka, bersedia dan tenang sahaja menghadapinya.
Kredit Foto: IG Amy Mastura
Bagaimana pula ingin melangkah ke usia separuh abad, sejauh mana Amy bersedia?
Bersedia ke klinik gigi untuk tempah gigi, hahaha. Siapa tahu mungkin masa sudah 50 nanti saya bakal menerima tajaan daripada Polident atau jenama susu untuk menguatkan tulang (ketawa). Tiada persediaan secara khusus atau terperinci mengenainya. Apa jua perubahan saya laluinya dengan berlapang dada. Jika ada kekurangan atau perlu ditambah baik, akan saya fikirkan. Teknologi yang canggih dan pelbagai peralatan moden boleh membantu meningkatkan tahap kesihatan kita bukan? Jadi, gunakan sahaja apa yang ada.
Kebersihan juga sebahagian daripada kecantikan. Setuju?
Setuju kerana walaupun seseorang itu mempunyai rupa paras yang cantik tetapi jika dia seorang yang pengotor tetap terlihat hodoh penampilannya. Berbeza dengan seseorang yang memiliki raut wajah biasa-biasa sahaja tetapi jika dia seorang yang pembersih, tetap kelihatan cantik dan suci.
Kredit Foto: IG Amy Mastura
Suka bersenam?
Sebenarnya jika diikutkan malas (ketawa) tetapi memandangkan faktor usia kini, saya masih berusaha untuk mencari jalan agar cuba berjinak-jinak dengan dunia senaman dan kecergasan.
Rutin harian jika tidak terikat dengan apa jua aktiviti seni dan hiburan?
Jika hari bekerja, rutin saya tidak ubah seperti suri rumah yang lain. Sejak awal pagi, saya sudah sibuk dengan tugasan seperti memasak untuk sarapan anak-anak kemudian menghantar mereka ke sekolah. Pulang ke rumah, siap sedia mengemas rumah, membasuh baju dan memasak. Tengah hari pula mengambil mereka pulang dari sekolah. Di sebelah petang, sambung dengan tugasan kerja rumah lain atau membawa anak-anak membeli keperluan untuk aktiviti sekolah. Berehat seketika kemudian siap sedia untum masak makan malam. Malam pula hantar anak-anak ke tusyen atau meluangkan masa menonton televisyen. Tetapi jika saya bekerja, terbalik pula. Anak sulung yang ambil alih tugas memasak. Mudahnya zaman sekarang, lihat sahaja youtube. Daripada medium itu dia belajar, dan saya pula yang merasa hasil masakannya. Jika saya berkelapangan pada hari minggu misalnya, lazimnya saya akan mengemas rumah dan outing bersama keluarga. Memandangkan anak-anak kini di alam remaja, maka banyak perancangan dan aktiviti yang mereka rangka. Saya cuma ikut sahaja rentak mereka.
Bahagian muka dan badan yang mana sering diberi tumpuan?
Kedua-duanya seiring kerana saya bukanlah orang yang terlalu fokuskan pada satu-satu bahagian. Jika muka boleh disolek dan badan pula bergantung kepada apa yang dimakan. Secara asasnya kedua-duanya saya beri perhatian sama rata.
Kredit Foto: IG Amy Mastura
Kulit wajah Amy sensitif?
Hanya jika saya makan kacang, jerawat akan timbul. Selebihnya, syukur kerana sehingga hari ini saya tidak mempunyai masalah kulit yang serius. Oleskan sahaja apa jua produk dan jenama, kulit saya masih sama. Tetapi kulit wajah saya tidaklah flawless, biasa-biasa sahaja.
Antara wangian, alat solek dan produk penjagaan kulit; yang mana lebih penting pada Amy?
Alat solek sebab dalam kerjaya ini perlu mekap (ketawa). Penjagaan kulit pula saya tidak terlalu fokus, biasa-biasa sahaja asalkan kulit wajah bersih. Begitu juga dengan wangian, apa jua wangian bisa serasi dengan saya.
Penampilan Amy jika keluar rumah?
Cukup sekadar berbedak dan secalit gincu agar wajah tidak terlalu pucat dan kelihatan sedikit berseri (ketawa).
Kredit Foto: IG Amy Mastura
Amy juga antara barisan artis yang banyak menerima tajaan daripada pelbagai jenama baik kecantikan mahupun gaya hidup. Ada pengalaman yang mungkin tidak dapat dilupakan?
Oh ada! Masih segar dalam ingatan, sewaktu Colgate menawarkan saya untuk menjadi duta. Mereka menawarkan RM10,000.00 dan pada saya. Siapa yang tidak melonjak gembira bukan? Sudah pasti saya teruja dan umpama jutawan jika saya dilantik menjadi duta Colgate. Namun tidak mendapat persetujuan daripada pihak syarikat rakaman Pony Canyon. Ralat juga tetapi mungkin rezeki tidak berpihak kepada saya ketika itu. Itu antara pengalaman dan kenangan yang takkan saya lupakan – endorsement tak jadi! (ketawa)
Amy juga dilihat tidak terlalu mendedahkan perihal keluarga, selesa begitu?
Jika ada yang bertanya, saya akan bercerita. Jika tidak, diamkan sahaja. Pada saya tiada apa yang mahu disorok atau meletakkan sesuatu pendirian. Dan dalam masa sama, tidak pula mahu menunjuk-nunjuk. Apa yang ada semuanya serba-serbi sederhana.
Kredit Foto: IG Amy Mastura
Mempunyai dua anak gadis, sejauh mana Amy titik beratkan penjagaan wajah pada mereka?
Tidak terlalu serius sebaliknya saya cuma menerapkan perkara asas dalam soal penjagaan wajah dan ketrampilan diri. Dahulunya saya pernah mencuba suntikan vitamin C untuk memperoleh kulit yang lebih cantik, glowing dan sebagainya. Dan selepas tidak melakukannya, kulit kembali seperti keadaan asal. Maka saya cuba teori sendiri. Beli sahaja vitamin C dan terus makan. Hasilnya pada saya tetap sama.
Cara Amy mengawal dan memantau anak, jika boleh dikongsikan?
Saya beri kebebasan untuk mereka membuka akaun di laman sosial. Daripada segi pemantauan, saya kawal secara biasa sahaja. Tidak terlalu mengongkong dan tidak pula memberi kebebasan secara mutlak di tangan mereka. Saya sering mengingatkan, jika mereka mempunyai niat untuk melakukan sesuatu yang tidak baik; sehebat mana sekalipun mereka cuba sembunyikan pasti saya akan tahu juga. Justeru lebih baik berterus-terang dengan saya terlebih dahulu. Daripada perspektif berbeza, mereka menerima hakikat bahawa ibu mereka adalah public figure. Maka secara tidak langsung gerak-geri atau apa yang mereka lakukan diperhatikan orang. Mahu atau tidak mereka harus lebih berhati-hati dan bijak dalam setiap tindak-tanduk. Dan saya berterima kasih kepada masyarakat sekeliling yang turut sama mengambil perhatian dan membantu saya memantau anak-anak (ketawa).
Kredit Foto: IG Amy Mastura
Kata orang membesarkan anak perempuan lebih sukar berbanding anak lelaki, setuju?
Tidak pasti pula kerana saya hanya memiliki anak perempuan. Adrianna dan Adalia mempunyai perwatakan yang berbeza dan cara saya membesarkan mereka mengikut kepada peringkat usia dan peredaran zaman. Misalnya Adrianna, saya tidak lagi mempraktikkan apa yang lazimnya ibu-ibu kita lakukan dahulu. Sesuaikan dengan keperluan dan zaman ini. Apa jua yang tidak saya benarkan, dihuraikan mengapa dan sebab-musababnya. Contohnya, jangan keluar tetapi saya huraikan sebabnya. Jangan keluar bahaya dengan penjenayah dan peragut di luar. Itu antara pendekatan yang saya praktikkan. Kemudian, saya imbas kembali ketika zaman saya remaja dahulu. Seboleh mungkin saya pastikan berada dengan mereka saat diperlukan.
Cabaran mendidik anak remaja pula bagaimana, apa persiapan yang perlu ada?
Mungkin kewangan adalah elemen utama kerana dalam keadaan dan situasi semasa yang serba-serbi semakin meningkat kosnya, tidak menentu turun naiknya pada saya persediaan daripada segi kewangan perlu dilakukan lebih awal. Daripada segi mental pula perlu sentiasa bersiap sedia untuk berhapadan dengan pelbagai ragam. Selebihnya jadilah teman kepada mereka, pendengar setia dan ada masanya cuba mainkan peranan seperti kawan mereka. Mungkin itu serba sedikit dapat menyingkap apa jua permasalahan mereka daripada dekat sebelum mereka bercerita dengan orang lain.
Kredit Foto: IG Amy Mastura
Penerimaan anak-anak terhadap Amy yang mempunyai ibu berstatus selebriti, bagaimana?
Jika dulu ketika mereka masih kecil, mereka masih tidak faham lagi status saya sebagai public figure. Apabila ada peminat yang datang mahu bergambar dengan saya, ada ketikanya mereka fikir itu sebagai satu gangguan yang merimaskan. Manakan tidak, apabila maki sekeluarga keluar, pergerakan mereka seakan tersekat. Ada sahaja peminat yang datang menyapa saya mahu bergambar. Dan apabila memikirkan peminat, kadang-kala saya tidak sampai hati mahu menolak. Tetapi apabila semakin meningkat remaja, sudah boleh berfikir dan mula memahami, segalanya berubah dan jauh lebih mudah. Selain itu saya berikan contoh dan penerangan kepada mereka, “Kalau tiba-tiba tengok artis yang you all minat kemudian you all nak ambil gambar dengan artis itu. Tapi artis tu tak dapat nak bergambar sebab anak dia tarik tangan, merengek atau apa-apa. You rasa apa? Mesti you rasa kecewa kan?” Dan menerusi penerangan serta huraian seperti itu mereka mendapat gambaran yang jelas akan situasi yang sama jika ada peminat mahu bergambar bersama saya. Malah peminat saya turut sama bergambar dengan mereka, maka kita beramai-ramai bergambar bersama (ketawa).
Kecenderungan dan minat anak-anak lebih kepada apa?
Kedua-duanya mempunyai minat tersendiri tetapi jika bertanyakan tentang artis, baik dalam negara mahupun luar negara kedua-duanya punya minat yang berbeza. Anak bongsu (Adalia), semua artis di Malaysia dia minat! (ketawa). Berdasarkan pemerhatian dan penelitian saya, ewah…(ketawa) kedua-duanya punya minat dan kecenderungan ke arah dunia seni dan muzik. Anak sulung (Ariana) minat dalam bidang muzik. Adalia pula lebih meminati bidang lakonan, malah dia juga pernah berlakon dalam teater.
Kredit Foto: IG Amy Mastura
Sementelahan anak-anak meminati bidang ini, apa pendirian Amy? Adakah memberi galakan atau menghalang mereka daripada menceburi bidang yang sama?
Tak fahamlah saya mengapa perlu dihalang (ketawa). Malah saya seronok jika mereka ditakdirkan turut sama mewarnai dunia seni. Bolehlah sama-sama pergi shooting (ketawa). Saya tidak menghalang sama sekali malah akan memberi galakan kepada mereka.
Amy punya sasaran mahu pastikan hala tuju dan masa depan anak-anak?
Pada saya, biarlah jika tidak pandai dalam soal akademik tetapi pandai untuk hidup kerana survival kit lebih penting dalam dunia hari ini. Bagaimana untuk hidup, apa yang diperlukan untuk hidup – kemahiran sebeginilah yang perlu ada. Jika mereka cemerlang dalam akademik dan boleh hidup dengan kejayaan dalam pelajaran, teruskan. Sebagai ibu saya akan terus menyokong selain memberikan semangat dan dorongan. Misalnya jika tidak cemerlang dalam akademik, ada banyak lagi cabang dan bidang yang boleh dicuba dan diterokai misalnya bidang kemahiran atau hobi yang boleh dijana sebagai sumber pendapatan, perniagaan dalam talian (online business) sukan dan macam-macam lagi. Dunia hari ini serba mencabar, maka jika anak kita tidak berupaya menguasai ilmu akademik sepenuhnya galakkan mereka menceburi bidang lain kerana potensi dan bakat anak-anak berbeza.
Definisi cantik pada Amy Mastura?
Kecantikan itu subjektif dan luas definisinya. Tiada limitasi untuk mentakrifkan kecantikan dan saya percaya semua orang mempunyai pandangan yang tersendiri. Tetapi saya masih berpegang kepada konsep sederhana dan ringkas itu tetap kelihatan cantik. Misalnya wanita yang cantik adalah seorang yang ringkas, mempunyai personaliti yang sederhana tanpa mengenakan mekap yang tebal dan punya luhur peribadi yang sentiasa menyenangkan.
Tokoh atau personaliti yang cantik Amy Mastura?
Semua orang yang cantik pada pandangan mata saya (ketawa). Tetapi saya mengagumi mendiang Lady Diana. Pada saya, beliau mempunyai pakej lengkap cantik luaran dan dalaman. Jika dilihat penampilannya di khalayak umum sewaktu hayatnya masih ada dahulu, sentiasa ringkas tetapi ada ssuatu tarikan yang membuatkan mata ini terus mahu melihatnya. Aura dan pesonanya sebagai puteri yang berjiwa rakyat, berpekerti mulia, hati yang bersih cukup menawan semua yang menyayanginya.
Kredit Foto: IG Amy Mastura
Pesanan Amy Mastura buat pembaca InTrend?
Saya percaya kepada konsep bersederhana dalam segala hal; baik pertuturan, kecantikan, pemakanan, perbuatan, dan lain-lain kerana apa jua yang berlebihan itu sentiasa memudaratkan. Kesederhanaan juga akan membawa kepada titik keseimbangan jika kita bijak mengatur perjalanan hidup ini.
#Amy Mastura #Kecantikan #Awet Muda #Amy Mastura
;