Highlights
Cikgu BM Ini Puji Laras Bahasa PM Kita – “Bagaikan AYAH Nasihati Anak, Buat Rakyat Tersenyum dan Tenang.”
Sepanjang berada di hadapan rakyat Malaysia menyampaikan maklumat terkini dan pengumuman penting berkenaan Covid-19, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) juga pembentangan Pakej Ransangan Ekonomi selama lebih 20 hari ini, Perdana Menteri kita, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat berjaya melakukannya dengan sangat baik. Malah, ramai memuji penulis teks ucapan beliau yang juga Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri iaitu Datuk Dr. Marzuki Mohamad.
InTrend mendapatkan ulasan ringkas daripada Guru Bahasa Melayu dari Sekolah Menengah Kebangsaan Hosba, Kedah iaitu Puan Faizah Darus mengenai ucapan Perdana Menteri itu. Puan Faizah mempunyai kepakaran dan pengalaman lebih 25 tahun dalam pembelajaran Bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu. Sebagai Guru Bahasa, beliau sendiri memuji penggunaan bahasa Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sedap didengar dan mantap dalam ‘memenangi’ hati rakyat.
Kredit Foto: Faizah Darus
Laras Bahasa Biasa dan Dekat di Hati
Menurut Puan Faizah, semasa sidang media PKP diadakan, PM telah menyampaikan ucapannya dengan tenang, santai dan bersahaja walaupun hakikatnya beliau memikul tanggungjawab yang amat berat di pundaknya. Laras bahasa yang digunakannya beliau juga ialah laras bahasa biasa; iaitu penggunaan ayat selapis yang begitu mudah difahami oleh setiap lapisan masyarakat sama ada daripada golongan berpendidikan tinggi mahupun golongan yang kurang berpendidikan.
Walaupun beliau merupakan pemimpin nombor satu di Malaysia, namun gaya bahasa dalam ucapannya itu seolah-olah beliau seorang rakan baik kepada rakyatnya sendiri. Seperti tiada jurang antara pemimpin dan rakyat. Benarlah kata pepatah ular yang menyusur akar tidak akan hilang bisanya. Analogi yang diberikan pula begitu dekat di hati masyarakat dan menimbulkan kelucuan pula. Sebagai contoh apabila beliau memetik nama “Mak Cik Kiah” dalam ucapannya. Ia menjadi viral dan diulang cakap oleh rakyat Malaysia kerana begitu sinonim kepada orang biasa.
Kredit Foto: Google
Nasihat Seorang Ayah Yang Sampai Ke Hati Anak
Walaupun disampaikan dalam bentuk yang santai, namun Puan Faizah tidak menolak keberkesanan mesej yang ingin disampaikan. Pada pendapat Puan Faizah, mesej yang ingin disampaikan oleh PM kepada rakyat sepanjang tempoh PKP berjaya. Ini dapat dilihat menerusi tahap pematuhan rakyat semasa PKP berlangsung meningkat kepada 97% pada 8 April 2020.
Mesej yang disampaikan kepada khalayak awam amat berkesan sekali kerana Perdana Menteri menyampaikan ucapannya seolah-olah seorang ayah sedang memberi nasihat kepada anak-anaknya. Riak wajah beliau yang lembut menunjukkan ‘ayah’ ini begitu prihatin dan mampu menyelami isi hati anak-anaknya. Segala nasihat dan pesanannya seperti ‘duduk diam-diam di rumah’ dan ‘jangan lupa mandi’ melekat di sanubari kita.
Kredit Foto: Google
Ucapan Ketika Pakej Prihatin PKS
Walaupun pada pembentangan yang serius, Perdana Menteri dilihat masih mengekalkan momentum yang sama seperti ucapan menyuruh rakyat duduk di rumah. Kata Puan Faizah lagi, semasa Perdana Menteri membentangkan Pakej Prihatin PKS misalnya, beliau telah memberi contoh-contoh yang mudah, ringkas dan bersifat perpaduan kaum. Maka lahirlah Lee Beauty Saloon, Mi Kolok Haji Salleh dan Syarikat Sunjit Kaur Sdn.Bhd yang menjadi sebutan ramai.
Keberkesanan mesej yang ingin disampaikan oleh Perana Menteri memang tidak dapat disangkal lagi sehinggakan ada yang berjaya mengubah ucapan beliau menjadi lagu ‘tiktok’. Walaupun sepanjang ucapannya ada ketika ia bernada sayu, namun beliau cuba menyelitkan unsur berseloroh yang membuatkan kita tidak jemu-jemu mendengarnya. Seyogianya, apabila penonton mampu tersenyum pada tempatnya, ketawa kecil pada tempatnya, dan mengangguk-angguk pada tempatnya, itu menunjukkan bahawa bukan hanya mesej sahaja yang sampai malah ia sangat terkesan di hati rakyat.
Kredit Foto: Google
Bahasa Dipandang Sebagai Pakaian Kita
Sebelum menutup bicara, Puan Faizah sempat menitipkan kata-kata akhirnya buat Perdana Menteri secara peribadi. “Jujurnya, menurut saya, kewibawaan dan keterampilan seseorang pemimpin itu dinilai daripada budi bahasa dan tutur katanya. Bahasa dipandang sebagai pakaian kita, sekiranya kita berpakaian kemas sedap dipandang oleh orang lain, kita juga perlu memakai bahasa yang elok dan baik sesuai dengan mesej yang ingin disampaikan,” ujar beliau.
“Dalam hal ini, PM kita sesungguhnya telah memenuhi kriteria tersebut. Penggunaan lenggok bahasa dalam ucapannya amat mudah difahami oleh setiap lapisan masyarakat. Sebagai contoh, dalam ucapannya semasa sidang media PKP, beliau telah menyelitkan unsur kecindan, perumpamaan dan juga bacaan doa bagi menarik minat penonton untuk mendengar dan menghayati ucapannya sehingga selesai. Tahniah saya ucapkan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan sebagai rakyat Malaysia, marilah kita bersama-sama beliau membantu menyokong usaha membasmi wabak Covid-19 ini. Kita mesti menang!” Akhiri Puan Faizah Darus penuh semangat.
Kredit Foto: Faizah Darus