Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
gaya hidup

Dah Tak Kisah Kalau Tak Dapat Pergi OVERSEA, Nak Balik Kampung Jumpa Mak Abah Je – Selagi Masih Ada Jasad Mereka

Afiza Kamarulzaman 13/07/2021 | 12:17 MYT
Banyak dah berlaku sekarang ini apabila anak-anak yang sudah berbulan-bulan tidak dapat merentas negeri, akhirnya dapat kebenaran balik ke kampung hanya selepas ibunya disahkan meninggal dunia.
“Tujuh bulan tahan diri tak balik kampung disebabkan patuh dengan arahan kerajaan ketika PKP ini, tapi minggu lepas dapat panggilan mak dah tak ada. Barulah kami diberi surat kebenaran untuk pulang ke pangkuan keluarga di sana. Apa gunanya lagi? Mak dah tak ada. Yang sambut hanyalah jasad Mak yang dah tak bernyawa.”
Begitulah antara keluhan sahabat penulis yang masih belum kering air matanya tatkala mengenangkan detik hitam kehilangan ibu tersayang di kala pendemik ini. Bukan dia tak percayakan ketentuan takdir tapi perasaan ralat tak dapat ditolak.
“Sampai bila kita harus diikat kaki dan tangan? Sampai bila harus jerut perasaan rindu antara ibu dan anak? Kita bukan nak membantah segala usaha yang kerajaan usulkan tapi dah berapa lama ni?” sambungnya dalam keluhan berat dan kekecewaan yang tak dapat diselindung lagi.
“Tolonglah cari penyelesaian lain...” tutupnya seperti masih trauma.
Ada negara yang sudah ‘merdeka’. Tidak lagi terus menjadi ‘hamba covid’. Ya, kita hormati semua usaha dan pelan tindakan yang diambil pihak kerajaan tetapi jika masih tidak menunjukkan impak positif, seharusnya ada jalan lain sebagai ‘plan b’.
Kasihani rakyat. Kita sedaya upcaya cuba menurut segala SOP dan undang-undang yang ditetapkan. Kita korbankan segalanya; kerja, kewangan, agenda sosial dan pelbagai lagi. Tapi, untuk menggadaikan masa yang singkat bersama ibu ayah yang sudah tua di kampung, kita tidak mampu lagi. Usia tak menunggu Covid-19 habis!
Sekarang ini, kita sudah lupakan angan-angan untuk bercuti di luar negara, hatta menjejakan kaki ke Tanah Suci sekali pun. Ia seperti perjalanan yang masih panjang. Sekarang ini, kita berpijak di bumi nyata, kalau dapat merentas negeri balik ke kampung bertemu Mak Ayah pun sudah memadai.
Diharapkan dengan adanya program vaksinasi yang semakin dipertingkatkan ini dapatlah dijadikan titik tolak untuk melongggarkan syarat PKP ini seperti merentas negeri. Justeru, mohon kerjasama semua masyarakat untuk mencapai matlamat ini di samping terus menjaga SOP.
#Vaksin #Balik kampung #Rentas Negeri
;