Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Highlights

Dahulukan Agama, Taat Kepada Ibu Bapa – Jadi Prinsip Khabib Nurmagomedov, Juara Lightweight UFC Dunia.

Huda Hussain 26/10/2020 | 10:43 MYT
Sejujurnya penulis bukanlah peminat sukan tinju apatah lagi mengenali atlit atau bintang yang tersohor dalam sukan ini. Tetapi apabila terbaca satu nama ini, Khabib Abdulmanapovich Nurmagomedov penulis hanya tahu dia seorang peninju beragama Islam. Ya, itu sahaja. Namun demikian selepas membaca dan menonton temubual, paparan video di media sosial nyata banyak membuka minda. Bukan mahu berbicara mengenai sukan mixed martial art (MMA) tetapi ingin membawa dimensi pembaca mengenai prinsip juara tanpa kalah ini yang amat berpegang teguh kepada ajaran Islam.
Khabib Abdulmanapovich Nurmagomedov berusia 32 tahun dilahirkan di Sil'di, Russia. Mula menceburi sukan MMA pada September 2008, dia berjaya merangkul empat kejuaraan dalam tempoh satu bulan sahaja. Almarhum bapanya yang kembali menemui pencipta Julai lalu, adalah individu penting disebalik kecemerlangan kariernya hingga dikenali seluruh pelusuk dunia. Bagi Khabib almarhum ayahnya, Abdulmanap adalah idolanya. Ayahnya yang membawanya ke gelanggang sukan MMA. Ayahnya juga yang melatihnya hingga dimana beliau sekarang.
Kredit Foto: Google
Terkenal dengan gelaran The Eagle, dia sering dilihat memakai papakha hat (topi bulu yang dipakai lelaki di seluruh Kaukasus dan juga dengan pakaian seragam di wilayah dan sekitarnya). Ia juga sebahagian daripada budaya Dagestani Avar yang menjadi latar belakang gaya hidup keluarganya. Bukan sekadar handal di gelanggang pertempuran, Khabib juga adalah seorang pelajar di Plekhanov Russian University of Economics. Telah berkahwin dan mempunyai tiga cahayamata, ini antara perkara yang kalian harus tahu mengenai sisi lain juara dunia MMA tanpa kalah ini hasil perkongsian Dr Ahmad Samhan dari laman facebook peribadinya.
Bersara Ketika Berada Di Puncak Karier
Kecoh di laman sosial tempatan mahupun antarabangsa pagi kelmarin. Keputusan yang sangat menggemparkan dunia. Khabib Nurmagomedov dengan penuh emosi dan menangis telah mengumumkan persaraannya setelah mengalahkan Justin Gaethje dalam acara utama UFC 254 di Abu Dhabi. “I'm the UFC undisputed, undefeated champion with a 13-0 record (in UFC), and 29-0 in all of my pro MMA career," katanya selepas diumumkan juara.
Nama Khabib telah melonjak naik sejak 2018 setelah mengalahkan Conor McGregor. Conor menganggap dirinya adalah King dan menyatakan beliau tidak akan ditumpaskan. Angkuh! Lebih teruk lagi, Conor berdendam dengan Khabib, menghina agama Islam dan menuduh Khabib dan keluarganya adalah pengganas selama berbulan-bulan. Di hari penentuan pertarungan UFC229 yang dinanti-nantikan oleh peminat, Khabib telah mencekik Conor seterusnya mengalahkannya dengan kemenangan “won by submission”. Tamparan yang sangat hebat buat Conor dan peminatnya!
Kredit Foto: Google
Mengapa Memilih Bersara Awal?
Menerusi satu temubual bersama media antarabangsa, ramai yang mempersoalkan keputusannya mengundurkan diri dari sukan ini ketika berada di puncak kegemilangannya. Ujarnya, "Mengapa saya mahu bebas? Kerana saya adalah The Eagle. Saya mahu terbang dan terus terbang. Dan apabila tiba masa (ajal) saya akan pergi buat selamanya. Tetapi sebelum menutup mata, saya mahu bebas dan mahu lakukan apa yang saya inginkan. Saya mahu luangkan masa bersama keluarga, kawan-kawan dan orang disekeliling. Saya mahu pulang ke kampung halaman, tinggal di sana. Pada saya, kalaupun dunia di tangan anda, satu hari nanti anda pasti akan meninggalkannya. Anda akan mati, meninggalkan dunia ini. Dan semuanya akan berakhir suatu hari nanti.
Kerana itulah saya tidak meletakkan sasaran atau matlamat yang mustahil untuk dicapai. Saya bukanlah mahu mencapai atau meraih segala-galanya. Kerana saya yakin, suatu hari nanti karier saya akan menemui titik noktahnya. Dan saya akan mulakan hidup baru. Tanpa sesi temubual semua ini, apa-apa yang berkaitan dengan media, weight cutting, sesi latihan tanpa henti, perlu kekal fokus dan sebagainya.
Saya mahu jalani hidup yang baru tanpa semua ini. Dan untuk itu, saya tak perlukan atau mahukan yang berlebih-lebih. Kerana kalau anda seorang billionaire sekalipun, anda takkan makan lebih daripada sekeping roti sehari. Dan kerana itulah saya mahu lakukan apa yang diinginkan. Apa jua yang saya perlukan sebelum saya meninggal dunia. Saya juga yakin dan percaya pada kehidupan selepas kematian. Betapa anda perlu lakukan sesuatu yang amat penting untuk kehidupan sesudah anda mati.
Kredit Foto: IG Jentik Hati
Seperti apa yang dikatakan almarhum ayah saya dahulu, dia selalu cuba melakukan kebaikan dan apa jua yang terbaik untuk orang di sekelilingnya, untuk sesiapa dari negaranya kelahirannya, dari kampungnya juga untuk keluarganya. Dan dia sering ingatkan pada saya, tentang apa yang dilakukannya semasa hidup boleh membantu sebagai bekalan ‘hidupnya’ selepas meninggal dunia.
Berpegang Teguh Pada Ajaran Islam
Khabib telah buktikan, orang Islam bukan orang yang lemah dan boleh dihina sesuka hati. Pertarungan ini telah mengangkat Islam dan mengajar orang lain agar menghormati agama Islam. Beliau telah melebarkan rekod profesional kepada 29 kemenangan tanpa kalah. Tiada seri. Tiada kalah. Kesemuanya menang!
Selain itu dalam beberapa video yang tular di media sosial ada memaparkan bagaimana reaksi Khabib apabila ada wanita yang mahu bersalam dengannya. Dengan meletakkan tangan didada, dia menolak secara baik sebaliknya sudi merakamkan gambar bersama.
Apa Keistimewaan Khabib Sehingga Allah SWT Muliakannya?
Allah SWT bersabda dalam Al-Quran bahawasanya manusia hanya di muliakan dengan agama dan berapa banyak dia sempurnakan agama dalam kehidupannya sebanyak itulah Allah memuliakan manusia. Gambar ini adalah gambar pernikahan Khabib.
Kredit Foto: Google
Wartawan: Kenapa wajah isterimu ditutup dengan kain?
Khabbib Nurmagomedov menjawab: "Mohon maaf ini demi menjaga fitnah dari orang lain. Wajah isteriku cukuplah aku saja yang menikmatinya dan bukan untuk dilihat oleh orang ramai kerana aku sangat menghargainya (isteri)."
Lelaki yang faham tentang agamanya dan lelaki yang baik agamanya, tidak akan rela jika isterinya menjadi tontonan lelaki lain. Orang-orang soleh dahulu menyembunyikan isteri-isterinya, sehingga kasut isteri mereka pun mereka akan sorokkan kerana bagi mereka saiz kasut itu juga aurat (dengan saiz kasut kita tahu fizikal seseorang wanita). Sayyidatina Fatimahtul Al-Zahra radiAllahuanha anak kesayangan kepada Rasulullah S.A.W adalah ibu kepada perempuan solehah yang menjaga aurat sempurna sehingga Allah SWT sendiri pun malu nak melihatnya, oleh kerana ketaatannya menjaga aurat yang sempurna. Tidak ramai sahabat-sahabat Rasulullah S.A.W yang berpeluang melihat anakanda kesayangan Baginda S.A.W ini melainkan diwaktu kecemasan, barulah ada dua, tiga orang sahabat berpeluang melihat kelibat Fatimahtul Al-Zahra sekali dalam seumur hidup, walaupun rumah Rasulullah S.A.W dan rumah Sayyidatina Fatimah sangat dekat. Namun tiada sesiapa yang tahu fizikal Sayyidatina Fatimah walaupun ada riwayat yg mengatakan beliau adalah seorang perempuan yang sangat cantik.
Dan zaman kini, ada juga orang yang memuliakan isteri-isteri mereka begitu. Keadaan Sunnah ini kita boleh lihat pada isteri-isteri yang orang panggil jemaah tabligh, mereka juga akan menyorokkan kasut-kasut isteri mereka dan mereka akan pastikan saat isteri mereka berjalan tidak akan menarik perhatian orang lain untuk memandang mereka. Kerana apa? Kerana mereka menghargai dan memuliakan isteri-isteri mereka.
Kredit Foto: Google
Lelaki zaman sekarang berlumba-lumba menayangkan bentuk tubuh badan isteri mereka di khalayak ramai malah lebih menakutkan apabila mereka memuat naik di media sosial untuk mendapat tontonan lelaki lain sehingga yang berpakaian separuh bogel pun ada. Di mana letaknya kehormatan dan kemuliaan seorang suami kepada isterinya? Sedangkan badan isterinya diratah beramai-ramai oleh lelaki diluar sana, perumpamaan untuk kita mudah faham, isteri mereka itu untuk dikongsi ramai-ramai sehingga habis dibogelkan oleh pemikiran iblis mereka.
Tanda Allah SWT mencabut kemuliaan wanita itu adalah dia tidak malu auratnya dipertonton dan ditayangkan di khalayak ramai seperti bahagian-bahagian auratnya yang perlu ditutup, wajahnya, tubuh badannya dan suaranya sehingga lelaki-lelaki lain dapat membuat koleksi gambar-gambar video mereka di telefon bimbit juga dalam pemikiran seorang lelaki yang bernafsu cara yang salah.
Ada tiga jenis golongan orang yang Allah haramkan masuk syurga iaitu:
  1. Peminum arak.
  2. Orang yang derhaka kepada orang tua
  3. Orang yang tidak memiliki sifat cemburu yang menyetujui perkara keji pada keluarganya.
(Hadis Riwayat Ahmad 2: 69)
Seperti Khabib dan isterinya, nampak sekali di majlis pernikahannya begitu teguh pegangan agamanya. Malah dalam kehidupan peribadinya, tidak pernah kita nampak Khabib dikelilingi wanita. Apa yang dijalani setiap hari selalu bersama dengan kawan-kawan lelaki dan ahli keluarganya sahaja. Dari pernikahannya saja, kita dapat lihat isterinya dimuliakan dan isterinya menutup aurat dengan sempurna ikut Sunnah yang diamalkan oleh Rasulullah S.A.W. Kesimpulannya, dia adalah pemuda yang menjaga kehormatan agama dan keluarganya.
Sumber: Telegram Channel Neelofa
Kredit Foto: Google
Taat Kepada Ibu, Ayah Dan Keluarga
“Hari ini hari terakhir saya bertarung dalam UFC. Tak mungkin saya ke sini lagi tanpa ayah. Antara ucapan yang betul-betul menyentuh hati seluruh dunia. Dia buat keputusan bersara ketika dia berada di puncak dalam kariernya.Ini adalah impian arwah ayah. Sebelum meninggal, ayah berpesan supaya saya jaga keluarga. Ini amanah ayah yang ditinggalkan pada saya. Bila UFC memanggil saya (untuk bertarung) dengan Justin, saya telah berbincang dengan ibu saya selama tiga hari. Saya telah berjanji dengan ibu, ini pertarungan terakhir saya. Jika saya sudah berjanji, saya mesti tunaikan. Ini pertarungan terakhir saya,” katanya sambil menanggalkan sarung tangan dan melambaikannya. Jaga hubungan dengan ibu ayah anda kerana satu hari pasti akan berlaku sesuatu. Anda tidak akan tahu apa yang akan terjadi esok (satu hari nanti). Anda tidak akan tahu,” katanya.
Khabib bukan saja telah mengangkat martabat agama Islam di mata dunia. Beliau juga telah menunjukkan contoh seorang anak yang taat pada ibu dan ayahnya. Betul, kita jaga hubungan dengan mak ayah kita, Allah jaga dan berikan kejayaan pada kita dengan mudah. Redha Allah bergantung pada redha mak dan ayah. Murka Allah bergantung pada murka mak dan ayah. Kita hebat kerana doa mak ayah kita. Tanpa doa mereka kita bukan siapa-siapa.
#Khabib Nurmagomedov #Keluarga #Agama
;