gaya hidup

#DaruratBanjir – 8 PERKARA Kita Patut BELAJAR Dari Jepun Dalam Pengurusan Bencana Alam.

Huda Hussain
27/12/2021
00:12 MYT
Sponsor Banner
#DaruratBanjir – 8 PERKARA Kita Patut BELAJAR Dari Jepun Dalam Pengurusan Bencana Alam.
Ketika ini kebanyakan mangsa banjir sibuk melakukan kerja-kerja pembersihan pasca banjir dibantu kerjasama sukarelawan, NGO, persatuan, pertubuhan, syarikat korporat dan banyak lagi badan-badan yang turun berlumur selut dan lumpur.
Sungguh, kerja-kerja dan proses yang perlu dilalui selepas banjir surut jauh lebih banyak. Namun itu semua tidak mematahkan semangat untuk setiap daripada kita tampil menghulurkan bantuan mengikut kapasiti dan kemampuan masing-masing.
Malah lebih penting adalah apa yang kita semua perlu ambil iktibar daripada musibah banjir kali ini. Baik peranan masyarakat, barisan pemimpin terutamanya semuanya perlu buka mata. Peka dan lebih bersedia. Sudah tiba masanya perancangan strategik melibatkan kerjasama kerajaan dengan syarikat mahupun badan yang punya kepakaran dalam hal ini diperluaskan. Bukan sekadar retorik atau tersusun cantik diatas kertas tetapi diimplementasi demi kesejahteraan rakyat.
Kerana inilah yang dilakukan oleh Jepun. Penulis tertarik berkongsi coretan ini yang dimuat naik Zunita Ramli dari laman Facebooknya. Betapa kesiapsiagaan dan pengurusan bencana dari negara matahari terbit ini cukup sistematik dan terancang. Cepat, sistematik dan tersusun.
Kredit Foto: Facebook Zunita Ramli
Apa yang kita boleh belajar dari Jepun dari segi pengurusan bencana alam?
1. TEKNOLOGI ALIHKAN AIR BANJIR BAWAH TANAH (MAOUDC) Seperti yang saya pernah tulis sebelum ni, di Jepun ada satu sistem bawah tanah yang dinamakan MAOUDC. Binaan gergasi bawah tanah ni berfungsi untuk mengalihkan air banjir dari bandar Tokyo dan kawasan sekitar ke Tokyo Bay dengan efisyen lepas banjir reda.
Kredit Foto: Facebook Zunita Ramli
Caranya, bila limpahan air sungai di Tokyo berlaku, ia akan masuk ke silinder gergasi yang sangat besar (boleh muat Statue of Liberty besarnya). Bila hujan dah reda, air dari silinder akan dipam ke Tokyo Bay. Kali terakhir digunakan adalah tahun 2017 dan telah jimatkan kos pembersihan sekitar RM5.8 bilion.
Kredit Foto: Facebook Zunita Ramli
2. AMARAN AWAL DI MEDIA Beberapa hari sebelum jangkaan bencana bakal berlaku, semua media dah keluarkan amaran. Televisyen, radio, dan sebagainya mengeluarkan amaran bencana alam bakal berlaku. Mereka juga mengeluarkan statistik kemusnahan dari kejadian sebelumnya. Ini menyebabkan orang awam bersedia mental dan fizikal hadapi sebarang kemungkinan.
Kredit Foto: Facebook Zunita Ramli
3. ‘ALERT SYSTEM’ DI TELEFON BIMBIT Selain tu di Jepun, mereka juga ada alert system di mana jika berlaku sebarang bencana alam yang tak diduga seperti gempa bumi contohnya, mereka di kawasan yang terlibat akan dapat notifikasi amaran di telefon bimbit. Notifikasi ni bukan macam SMS biasa tu ye, notifikasi amaran ni didatangkan dengan bunyi dan gegaran yang sangat kuat sampaikan orang tidur pun boleh terjaga! Notifikasi ni sangat penting sebab ia memberi sedikit masa untuk orang selamatkan diri.
4. PEMBESAR SUARA / RADIO Untuk yang tak ada telefon bimbit, setiap kawasan kediaman ada pembesar suara. Teringat pengalaman masa Taufan Hagibis 2019, pengumuman untuk kawasan setempat, macam tempat evakuasi dan sebagainya diumumkan dekat pembesar suara dari masa ke semasa. Kalau di Malaysia, saya kira pembesar suara di masjid sangat berguna untuk tujuan sebegini.
Kredit Foto: Facebook Zunita Ramli
Untuk orang tua yang tak ada telefon bimbit, mereka juga boleh dapat info dari masa ke semasa dengan guna “anti-disaster radio”. Radio ni akan update situasi dari masa ke semasa, bila nak kena evakuasi dan sebagainya kepada pendengar.
Kredit Foto: Facebook Zunita Ramli
5. SISTEM LEVEL EVAKUASI Sistem evakuasi di Jepun saya kira agak sistematik kerana mereka dah siap tetapkan level-level tertentu untuk golongan siapa yang perlu dievakuasi & keseriusan bencana ketika itu. Prioriti evakuasi diberikan kepada orang tua, wanita mengandung dan kanak-kanak. Ini penting untuk beri lebih masa pada mereka yang lebih “fragile” untuk menyelamatkan diri dan elakkan suasana kelam kabut untuk selamatkan diri.
Kredit Foto: Facebook Zunita Ramli
6. PASUKAN PENYELAMAT Ikut ‘survival rule’ 3s, Seseorang manusia takkan boleh tahan lebih dari; - 3 minit tanpa udara - 3 jam dalam cuaca ekstrim (sangat panas atau sangat sejuk) - 3 hari tanpa air - 3 minggu tanpa makanan
Jadi tak hairanlah jika pasukan penyelamat Jepun meletakkan jangkamasa maksima 3 hari untuk selamatkan mangsa bencana. Teringat masa banjir besar berlaku di Kagoshima awal tahun ni, helikopter dan segala macam teknologi dikerahkan kurang tempoh 24 jam untuk menyelamat.
Kredit Foto: Facebook Zunita Ramli
7. BEG KECEMASAN Di Jepun, kebanyakan mereka dah didedahkan dengan penyediaan beg kecemasan, apa yang perlu ada di dalam beg dan sebagainya. Biasanya beg kecemasan ni dah siap disediakan & diletakkan di tempat yang mudah nak capai jika berlaku kecemasan.
8. SAMPAH DIKUTIP Ya, kutip sampah sebelum berlakunya bencana alam! Nampak janggal, bukan? Tetapi ianya amat penting. Sebelum ni ada dua foto banjir di Jepun yang tular, ramai memuji betapa bersihnya banjir di Jepun. ‘It takes two to tango’. Ia memerlukan kerjasama semua pihak, untuk mendapat tahap kebersihan seperti itu.
Kredit Foto: Facebook Zunita Ramli
Bila pihak berkuasa dah keluarkan amaran bencana pada tarikh tertentu, pihak pengurusan sampah akan mengutip sampah terlebih dahulu (seperti jadual). Ini untuk memastikan sampah tidak terapung dan bersepah semasa banjir dan seterusnya akan menyebabkan saluran sungai, longkang tersumbat. Ini akan menyebabkan keadaan bertambah buruk.
Sampai bila kita nak tanggung kerugian harta dan nyawa sebab kurang manfaatkan teknologi yang ada? Memang, secanggih mana pun teknologi tetap takkan dapat tandingi kuasa Yang Maha Esa. Tapi Dia juga tak kurniakan akal dan fikiran kepada manusia, untuk sia-sia. Iqra’.
Sumber: Facebook Zunita Ramli
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar