Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
gaya hidup

“Depan Allah Jangan Tunjuk Kuat, Menangislah. Beritahu Pada-Nya Kita Cuma Hamba Yang Tiada Apa-Apa.” – Ustaz Ebit Lew

Huda Hussain 31/05/2021 | 07:15 MYT
Kepayahan dan kesusahan hidup masyarakat disekelilingnya senantiasa menjadi perhatiannya. Bagaikan tidak senang duduk selagi Ustaz Ebit sendiri tidak turun ke lapangan menghulur bantuan. Baik barisan hadapan, gelandangan, golongan OKU semua disantuni dengan penuh hemah.
Misi Bantuan Gelandangan, Petaling Jaya
Selepas menerima maklum balas daripada pengguna media sosial mengenai seorang wanita gelandangan yang hanya tidur ditepi jalan bersebelahan lebuh raya, Ustaz Ebit Lew segera turun ke lokasi. Melihat sendiri betapa daif bahkan bagaikan tidak dapat terima dek akal apabila ada orang yang sanggup tidur beralaskan kotak, surat khabar dan berbumbungkan payung dibalik teduhan pokok. Jika sekali imbas pasti mereka yang lalu atau melintasi di bawah jejambat Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) menghala ke Sunway, Petaling Jaya tidak perasan ada insan yang tidur dibalik pokok dibahu jalan ini.
Letchmi, 61 tahun rupanya sudah 12 tahun tinggal disitu. Bukan tidak waras tetapi ada sejarah hitam yang mengheretnya menjadi gelandangan. “Ada yang nak bantu tapi saya tak payah. Pergi tolong mereka yang lagi susah daripada saya,” ujarnya menceritakan bukan tiada insan yang mahu membantu tetapi dia sendiri enggan menerima pertolongan sesiapa.
Berbelas tahun juga dia bekerja mencari besi di mana jua. Baju yang lusuh dan compang-camping, selipar yang berlubang, dia masih lagi mampu berfikir secara waras. Mengakui kudratnya masih kuat dan sihat, dia sama sekali tidak menyesali begini pengakhiran hidupnya. Selepas berbual dan mengetahui serba sedikit latar belakang Letchmi, Ustaz Ebit mengusulkannya untuk segera berpindah dan tinggal di rumah yang jauh lebih selesa. “Tak apa saya bayarkan sewa”, itu jaminan Ustaz Ebit kepadanya. Tidak lekang dimulutnya mengucapkan terima kasih, Lalu sebelum dibawa ke tempat tinggal baru, Ustaz Ebit dan team Jejak Ebit Lew (JEL) membawanya ke pusat membeli-belah untuk membeli pakaian baru. Terpancar jelas riak wajah gembira kala dilayani sedemikian rupa.
Dan seperti yang dijanjikan Ustaz Ebit, Letchmi tidak lagi perlu bimbang jika mahu keluar bekerja. Sudah punya tempat berteduh yang jauh lebih selesa, keselamatannya daripada gangguan individu tidak bertanggungjawab dan bahaya yang lain juga lebih terpelihara dan terjamin.
Pesan Ustaz Ebit Lew
Kita perlu prihatin. 14 tahun tidur di tepi jalan, mustahil orang tak nampak atau tidak perasan. Tetapi selepas bertanya dengan beberapa tauke menjual besi berdekatan memang ramai yang mengenali wanita ini. Ujian untuknya tetapi dalam masa sama, ujian bagi kita juga. Semoga dipermudahkan perjalanan hidup aunty Letchmi.
Misi Beri Bantuan Khemah Covid-19, Titiwangsa Kuala Lumpur
Salah seorang sukarelawan Pertubuhan Kasih Umat Malaysia, Hamizey Ismail pada awalnya menerima makluman daripada rakannya mengenai khemah yang digunakan untuk melakukan ujian saringan pesakit Covid-19 rosak teruk. Rakannya yang bekerja sebagai barisan hadapan di sebuah klinik kesihatan memberitahu khemah tersebut rosak akibat angin kuat da hujan ribut petir yang turut menerbangkan khemah yang lain.
Setibanya rombongan JEL ke lokasi, Pembantu Tadbir Kanan KKM, Zaidi pada awalnya menceritakan detik cemas itu beberapa minggu lalu. Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Kuala Lumpur, Dr Razilla Farra turut berkongsi cerita ketika angin kuat melanda diikuti hujan lebat dan ribut petir merosakkan lapan buah khemah di luar klinik.
Prihatin dan tersentuh melihat runtuhan khemah dan struktur besi yang tidak lagi mampu meneduhkan pesakit, Ustaz Ebit bermurah hati menyumbang lapan buah khemah bersaiz 20 x 20, dua khemah saiz 10 x 15 dan lima kanvas untuk kegunaan Klinik Kesihatan Kuala Lumpur. Tambah Dr Razilla Farra lagi, “Kami memang tengah fikirkan cara terbaik dan Ya Allah, Dia rahmati kami dengan bantuan Ustaz yang telah menyumbangkan khemah.
Melihat barisan hadapan yang berjuang dan berkorban dengan kudrat dan keringat, hinggakan bermandi peluh tatkala duduk kepanasan menyarung PPE tiada apa yang mampu membalasnya melainkan ganjaran setimpal daripada-Nya. Dan ketika ditanya Ustaz bagaimana Ustaz kuat, jawab ikon kemanusiaan ini “Sebelum Subuh semasa solat Tahajud atau sebelum tidur, beri waktu untuk kita menangis. Orang mungkin menangis ini tak perlu, tak penting. Ini ramai yang orang tak tahu. Semua Nabi-Nabi dan para sahabat kalau kita baca kisah mereka, hampir semua mereka ini ada waktu menangis. Menunjukkan kita insan, manusia yang sememangnya tak kuat pun,” ulasnya.
Pesan Ustaz Ebit Lew
Depan Allah jangan tunjuk kuat, menangislah. Beritahu kepada-Nya kita Cuma hamba. Tanpa pertolongan Dia, kita memang tiada apa-apa. Sambil menitipkan doa, kata-kata semangat ingatan dan penghargaan takkan pernah putus untuk barisan hadapan. Semoga sabar dan tabah dengan ujian sekarang. Moga Allah beri kekuatan untuk anak isteri, suami dan keluarga mereka.
Misi Ziarah Pesakit Cerebral Palsy, Kota Bharu Kelantan
Tular di media sosial seorang pelajar lelaki di sebuah Politeknik di sana menjaga kakaknya seorang penghidap Cerebral Palsy sejak bertahun lamanya. Nik Mohd Firdaus Nik Ismail berkongsi cerita mengenai ujian yang menimpa kakaknya. Diuji dengan keadaan sebegini sejak kecil lagi, kakaknya tidak mampu melihat, tidak boleh bercakap dan pendek kata semua pertumbuhan fizikalnya terbantut. Lebih memilukan, ibunya terpaksa ditahan dua bulan di imigresen Thailand susulan tidak mendapat keizinan daripada pihak berwajib disana untuk ke Kelantan kerana pandemik Covid-19 memandangka ibunya berasal dari Thailand.
Beberapa kali juga Firdaus bertawakal meninggalkan kakaknya seorang diri untuk pergi ke kelas. Namun dek kerana bimbang keselamatan kawasan sekitar rumah yang pernah dimasuki ular berbisa menggusarkannya. Melihat kepada rumah yang terlalu uzur ini, menjentik rasa hati Ustaz Ebit. Sungguhpun begitu, masyarakat sekitar dan jiran-jiran sentiasa prihatin dengan nasib yang menimpa mereka dua beradik. Ada sahaja yang datang menghantar makanan.
Namun di pihak Ustaz Ebit, usaha perlu digerakkan untuk membantu membawa pulang ibu mereka yang terkandas lalu cuba menghubungi pihak imigresen. Memahami segala keperluan dan prosedur penyediaan dokumen, borang dan surat-menyurat yang perlu, inisiatif terus dilakukan. Wajah Fridaus penuh pengharapan agar ibunya dibebaskan sambil berhadap dirinya juga dikurniakan kesihatan untuk membantu menjaga kakaknya. Perasaannya bercampur baur. Terharu, sebak dan sedih menyatu dengan bantuan yang dihulur Ustaz Ebit.
Pesan Ustaz Ebit Lew
“Awak jaga kakak pahalanya sama macam awak jaga emak awak. Awak jaga dia, mak awak gembira. Sebab dialah jantung emak awak” ujar Ustaz Ebit sambil melihat kakak Fridaus hanya terlantar menyulam rindu mahu menyentuh tangan emak yang telah lama dirinduinya. “Saya tahu perasaan sedih tu, tapi jangan jadikannya rasa marah. Sebaliknya gantikannya dengan rasa sayang. Moga Allah permudahkan urusan adik beradik ini.” Terang Ustaz Ebit sambil menyumbang bantuan keperluan makanan.
#Astro Prima #Ustaz Ebit Lew #Jejak Ebit Lew
;