gaya hidup
Derita Sakit Sendi Pinggul Kronik, ”Sebelum Dibedah Waktu Sakit Pun Saya Kerja.” – Loh Chong Boon
Dari pandangan mata kasar tampak Loh Chong Boon sihat sahaja seperti pekerja lain. Tetapi apabila mendengarkan kisahnya yang menderita akibat penyakit sendi pada tulang pinggul cukup menyayat hati.
Kredit Foto: Astro Prima
Terdahulu Pengarah Hospital Kuala Lumpur, Datuk Dr Heric Corray dan Pengarah Eksekutif Pusat Rehabilitasi Perkeso, Dr Hafez Hussain diundang ke set Luar Biasa bagi membincangkan mengenai isu pengurusan hilang upaya. Menurut Dr Hafez, terdapat program Pengurusan Hilang Upaya bagi membantu mereka yang kehilangan fungsi sama ada akibat kemalangan atau penyakit kronik. Pelan rehabilitasi antara lain melibatkan kerjasama antara pengurus kes, para doktor dan pakar yang akhirnya dapat membantu individu berinsuran agar dapat berdikari dan kembali bekerja.
Berkongsi pengalaman dalam mengendalikan kes seumpama ini di Hospital Kuala Lumpur, menurut Datuk Dr Heric Corray jenis rawatan diberi mengikut kepada situasi. Bagi kes kecemasan atau kecederaan yang disebabkan kemalangan, lazimnya melibatkan kecederaan saraf dan tulang. Dalam situasi kecemasan yang memerlukan rawatan segera, penilaian dibuat untuk mengenal pasti jenis kecederaan yang dialami. Dan apabila memerlukan implan misalnya, pihak hospital akan berhubung terus dengan Perkeso melalui sistem Inspire yang beroperasi 24 jam bagi memberikan rawatan segera kepada pesakit.
Kredit Foto: Astro Prima
Kisah Luar Biasa Loh Chong Boon
Episod kali ini membawakan kisah Loh Chong Boon yang juga merupakan salah seorang peserta program Return To Work (RTW). Menceritakan kembali kesakitan yang dialaminya amat menyukarkan pergerakannya. “Jalan pun sakit, makan pun sakit, tak boleh tidur,” keluhnya yang mengalami kesakitan pada bahagian tulang pinggul ketika melakukan kerja di cawangan Econsave Desa Cemerlang, Johor. Tetap bekerja walaupun mengalami kesakitan sebelum dibedah, dia gagahkan juga walau terpaksa menahan sakit. Sehinggalah bantuan dimohon untuk melakukan pembedahan.
Terpaksa menahan diri akibat mengalami kecederaan yang serius pada tulang pinggul, Loh didiagnosis menghidap Avescular Necrosis yang menyebabkan saluran darah pada sendi pinggul terputus. Antara punca yang menyebabkan penyakit ini adalah trauma, pengambilan ubat tertentu dan pengambilan alkohol yang berlebihan. Susulan itu dia telah menjalani pembedahan implan Total Hip Replacement pada tahun 2018. Pada Januari 2019 dia menyertai Program RTW Perkeso dan dirujuk untuk mengikuti sesi rawatan pemulihan di Pusat Rehabilitasi Perkeso Melaka.
Kredit Foto: Astro Prima
Bagi Pengurus Kes Perkeso Johor, Harisa Hawafi yang ketika pertama kali berjumpa dengan Uncle Loh; dia mendapati individu ini susah untuk berdiri. Menggunakan walking frame untuk bergerak, nyata menyukarkannya. Selepas penelitian dibuat juga perbincangan dengan pihak majikan juga doktor; rawatan pemulihan dapat dilakukan dengan cepat. “Kelebihan apabila Uncle Loh menjalani rawatan rehabilitasi secara intensif, dia dapat bekerja semula lebih awal daripada tempoh yang dijangkakan,” kongsi Harisa. Antara faedah yang diperoleh adalah dibekalkan implan, proses rehabilitasi, penyesuaian kerja baharu dan bantuan alatan pemulihan.
Di pihak majikan pula, bagi Ketua Pengurus Wilayah Selatan, Econsave Cash & Carry Sdn Bhd; Mas Imran Adam, “Mulanya saya tengok dia susah nak biasakan diri. Tapi lama-kelamaan, kualiti kerjanya semakin baik. Kami sememangnya menyambut baik matlamat program RTW untuk membolehkan para pekerja yang terbabit kembali bekerja dalam persekitaran kerja yang lebih selamat dan sesuai dengan keadaan fizikal mereka.
Tidak henti dibibirnya mengucapkan syukur dan berterima kasih dengan bantuan diperoleh hasil mencarum dengan Perkeso, Loh kini dapat bekerja semula seperti biasa.
Kredit Foto: Astro Prima
Pusat Rehabilitasi Perkeso
Mula beroperasi pada 2014 di Hang Tuah Jaya, Ayer Keroh, Melaka, berbekalkan keluasan sebanyak 55 ekar tanah pusat ini berfungis dan berkonsepkan secara holistik. Menyediakan program rehabilitasi secara intensif dan komprehensif dibawah satu bumbung. Menurut Dr Hafez lagi, rawatan pemulihan bukan hanya berkisarkan mengenai kos semata-mata tetapi ia adalah pelaburan jangka panjang bagi membantu pekerja agar dapat kembali bekerja dengan selamat dan secepat mungkin.
Penting untuk semua pekerja mendapatkan maklumat lanjut di pejabat-pejabat Perkeso berhampiran untuk mengetahui secara terperinci mengenai pelbagai program pemulihan, RTW dan perkhidmatan lain. Banyak bantuan selain kewangan disediakan. Juga ketahui pelbagai faedah yang akan diperoleh jika anda mencarum dibawah Perkeso.