Read

Diejek, disindir, dipandang Rendah Kerana Melatih Atlet OKU — Jurulatih R. JEGANATHAN Buktikan Ridzuan Puzi Taraf Dunia!

Public Anonymous User
07/09/2017
08:39 MYT
Sponsor Banner
Diejek, disindir, dipandang Rendah Kerana Melatih Atlet OKU — Jurulatih R. JEGANATHAN Buktikan Ridzuan Puzi Taraf Dunia!
Oleh: Huda Hussain

DI sebalik kemasyhuran yang datang berkobaran-kobaran seperti puting-beliung, yang telah menjulang nama dua anak watan Perlis — Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dan Abdul Latif Romly — rupanya berdiri seorang lelaki yang tidak anda dan saya kenali — kerana keperibadiannya yang sangat merendah diri, yang menunduk seperti padi berisi, yang telah menggilap jaguhan kampung Perlis sehingga menjadi kejora Malaysia yang paling gemerlap bercahaya di temasya Sukan Paralimpik Rio 2016 yang lalu.
“Tak mengapalah, ini kerja ikhlas, ganjaran dari Allah itu kan lebih besar...” lembut lafaz Encik Affizam Amdan, 46, orang Kangar, kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Perlis yang bertindak sebagai sukarelawan dan penggerak Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perlis, merangkap Jurulatih Atlet Paralimpik Majlis Sukan Negara.
Inilah satu-satunya lelaki yang telah menyaksikan jatuh- bangun Ridzuan Puzi sewaktu anak OKU ini berjuang membina stamina dan mengekarkan otot dari tubuh kurusnya, sewaktu dia masih berpijak di bumi Perlis.
Ini adalah kisah benar, bagaimana sukarnya lelaki ini mengukir nama di atas batu, namun nama yang diukir itu kini terlekuk dengan indah, kekal sebagai sejarah keperwiraan pejuang-pejuang sukan OKU negara.
A post shared by Ridzuan Puzi (@ridzuan.___) on
COACH R.JEGANATHAN
Masih segar dalam ingatan sewaktu mengimbas kembali momen yang menyentuh hati rakyat Malaysia ketika jurulatih Paralimpik, R. Jegananthan merangkul erat Ridzuan Puzi usai tamat acara 100 meter Sukan Paralimpik di Rio tahun lalu.
“Ini anak saya. Terima kasih Ridzuan ya. Coach memang ‘hentam’ you marah you tapi inilah hasilnya. Terima kasih Ridzuan,” ujar R. Jeganathan sambil menitiskan air mata kegembiraan dengan kejayaan anak didiknya disaksikan oleh kumpulan penyokong juga seluruh rakyat Malaysia.
Terbukti hasil usaha, kerjasama sepasukan, persefahaman dan komitmen padu antara jurulatih dan atlet membuahkan hasil yang cukup luar biasa. Namun untuk mencipta kejayaan itu, ia bukan bermula sehari dua.
Pelbagai liku, sindiran dan cabaran terpaksa dilalui oleh jurulatih R. Jeganathan untuk membentuk kejayaan salah seorang atlet Paralimpik sukan olahraga iaitu Mohd Ridzuan Mohd Puzi.

Sejak bila anda mula melatih Ridzuan Puzi?
Semuanya bermula lapan tahun lalu. Saya mula melatih Ridzuan pada 2009. Mulanya dia hadir ke kem latihan sebagai barisan atlet pelapis dan kami menggilap bakatnya peringkat demi peringkat selama beberapa tahun.
Namun sebelum itu saya ingin berterima kasih kepada jurulatihnya terdahulu baik di peringkat kebangsaan mahupun peringkat negeri kerana telah mengesan bakatnya.

Apakah cabaran atau kesukaran yang perlu anda lalui untuk mendidik Ridzuan pada mulanya?
Banyak yang perlu saya hadapi. Sementelahan dia mengalami masalah Cerebral Palsy, maka dia mudah lupa dengan apa yang saya ajar. Selain itu dia mengalami masalah pendengaran dan ia menambahkan lagi kesukaran untuk kami berkomunikasi.
Dia tidak berupaya untuk mendengar dengan baik jika saya memanggilnya dari belakang. Dan untuk itu saya perlu pastikan berkomunikasi secara bersemuka, duduk berhadapan dengannya. Dalam masa sama, dia juga tidak berupaya bertutur dengan baik dan ia menyukarkan lagi keadaan.
Saya akui perlu berhadapan dengan pelbagai cabaran ketika peringkat awal melatihnya. Tidak cukup dengan itu, saya perlu bijak menguruskan faktor psikologi untuk membangkitkan 'mood'nya agar bersemangat ketika berlatih. Dan semua ini memakan masa yang lama. Syukur kerana dapat ditangani dengan baik peringkat demi peringkat. Biarpun perlahan, tetapi semuanya berbalas dengan kejayaannya.
Daripada perspektif lain, memandangkan sebelum ini saya melatih atlet normal dan selepas 2001 saya mengambil alih untuk melatih atlet Paralimpik; saya juga perlu berhadapan dengan pelbagai cabaran.
Saya pernah diejek kerana melatih atlet OKU, disindir dan banyak lagi. Tidak kurang ada yang memandang rendah terhadap profesyen saya sebagai jurulatih OKU tetapi saya melihatnya sebagai lumrah dan asam garam kehidupan.
Percaya dan yakin kepada kuasa Tuhan, itu lebih baik dan memudahkan saya bekerja. Terlalu banyak yang perlu saya lalui namun biarlah ia tersimpan dalam memori untuk saya kenang kemanisan di sebaliknya suatu hari nanti.

Pasti ia menuntut kesabaran yang tinggi bukan?
Sudah semestinya kerana pertama, mereka adalah atlet daripada kategori orang kelainan upaya (OKU). Justeru perkara pertama adalah untuk memupuk sifat sabar dalam diri untuk melatih mereka. Bukan mudah untuk mereka memahaminya kerana terdapat jurang perbezaan yang amat ketara antara kita sebagai individu normal dengan mereka yang istimewa.
Seterusnya adalah komitmen dan komited dalam melatih atlet Paralimpik. Umpamanya usaha dan kerja keras itu perlu diletakkan sebanyak 200 peratus, seperti sekali atau dua kali ganda lebih daripada mengajar atlet normal.
Selain itu, galakan dan dorongan perlu seiring dengan setiap teguran dan ajaran. Ini penting kerana bukan mudah untuk mengendalikan emosi, psikologi dan tingkah laku mereka.
Mereka perlu digerakkan, didorong dan diingatkan selalu sementelahan kekurangan yang ada pada mereka. Namun kekurangan mereka itulah sebenarnya menjadi kekuatan semangat mereka untuk berusaha lebih dan maju ke hadapan.

Pandangan anda ketika melatihnya, apakah potensi yang ada pada Ridzuan lantas dilihat sebagai atlet Paralimpik yang berpotensi untuk menyerlah?
Sebelum ini saya pernah melatih beberapa atlet Paralimpik misalnya Mohd Raduan Emeari (yang pernah memenangi Sukan SEA pada 2002) untuk acara yang sama disertai Ridzuan Puzi seperti acara 200 meter lelaki. Namun melihat kepada bakat Ridzuan, dia mempunyai kelebihan yang berbeza dengan Raduan misalnya kekuatan pada bahagian otot kaki.

Pandangan peribadi anda, adakah atlet Paralimpik lebih bersemangat memandangkan mereka mempunyai kekurangan dan kelemahan berbanding atlet normal dan apakah perbezaan ketara antara kedua-dua kumpulan ini?
Pengalaman bergelar jurulatih atlet normal sejak 1981 hingga 2001, banyak perbezaan ketara antara dua kategori ini. Benar kekurangan dan kelemahan fizikal juga masalah kecacatan lain misalnya mungkin menjadi jurang perbezaan tetapi pada saya semangat berjuang dan bersaing tetap sama dalam diri mereka.
Sebagai jurulatih baik atlet normal dan atlet Paralimpik, perbezaannya adalah atlet normal lebih mudah untuk diajar kerana secara asasnya mereka memahami aspek teori dan praktikal. Namun berbeza dengan atlet Paralimpik, mereka perlu dibimbing dan diberi tunjuk ajar satu persatu. Untuk itu saya perlu bijak mengubah cara pemikiran dan menggunakan pendekatan psikologi tertentu untuk mendidik atlet Paralimpik.
Bukan mudah untuk mengajar dan memastikan mereka memahami apa yang diajar kerana mereka tidak berupaya menguasai semuanya dengan mudah dan pantas dalam masa singkat. Mentaliti mereka juga perlu diubah. Misalnya saya sering mengingatkan mereka mengenai kelebihan bidang sukan yang mereka ceburi.
Sejauh mana bidang ini mampu mengubah cara hidup lantas membina masa hadapan yang lebih maju dalam hidup mereka. Daripada situlah saya kobarkan semangat juang dalam diri mereka. Terangkan kepada mereka apa yang menanti jika mereka rajin berusaha dan fokus untuk mengubah cara hidup.

Umpamanya anda adalah bapa kepada mereka, kerana kepercayaan yang diberi oleh ibu bapa mereka untuk membentuk masa depan dalam bidang sukan tergalas di bahu anda, komen?
Benar. Saya mengajar dan menganggap mereka seperti anak saya. Banyak perkara yang perlu saya fikir, corak dan tentukan untuk membentuk mereka. Saya sayangkan mereka seperti saya sayangkan anak sendiri. Apa yang dilihat di mata orang mungkin mudah dan nampak senang tetapi hakikatnya bukan calang-calang untuk kami sebagai jurulatih menempuhnya.
Pendek kata, hampir semua perlu disediakan untuk mereka. Baik keperluan latihan fizikal, makanan dan sebagainya perlu difikirkan dan dirangka untuk keperluan mereka. Ada masanya saya memainkan peranan sebagai bapa dan ada ketikanya saya perlu tegas dalam mendidik mereka.
Sebelum dilantik menjadi jurulatih atlet Paralimpik, banyak perkara yang perlu saya pelajari sebagai persediaan untuk melatih mereka. Dan ia menuntut masa, tenaga juga pemikiran dan tingkat kesabaran. Bukan mudah untuk mereka memahami saya dan begitu juga sebaliknya.

Pendekatan anda untuk mengendalikan 'mood' mereka sementelahan mereka terdiri daripada OKU, pasti banyak ragamnya bukan?
Saya perlu bijak menyusun atur program dan rangka latihan. Ia perlu ditukar, ditambah baik dan tidak terhad kepada satu-satu kaedah tertentu sahaja kerana maklum ada dalam kalangan mereka yang mudah bosan, cepat lupa, mood swing dan sebagainya.
Misalnya jika melihat mereka mulai bosan atau malas, saya perlu bingkas menukar cara dan teknik lain. Saya perlu ceriakan mereka dan tidak boleh memarahi mereka membuta-tuli atau dengan mudah memarahi mereka begitu sahaja.
Perlu ada pelbagai pendekatan untuk memastikan mood dan fokus mereka berada pada tahap yang baik. Selain itu pendekatan motivasi atau kaedah kaunseling juga perlu disesuaikan mengikut keperluan atlet itu sendiri.
A post shared by Ridzuan Puzi (@ridzuan.___) on
Perbezaan ketara yang dapat anda kesan sewaktu mula melatih Ridzuan sehingga melihat perubahan prestasinya kini?
Terlalu banyak yang kami lalui bersama sepanjang tempoh lapan tahun saya melatih dan mengajarnya. Misalnya dahulu, mengenali Ridzuan dia adalah seorang atlet yang pemalu, tidak pandai berkomunikasi dan tidak berupaya berdikari. Tetapi berbeza dengan Ridzuan Puzi hari ini, dia lebih matang dan tahu ke mana hala tuju hidupnya, apa yang perlu dilakukan untuk meneruskan hidup dan lebih berdikari.
Saya sering mengingatkannya bagaimana dia perlu menguruskan diri dan melakukan semua perkara sendiri tanpa bergantung kepada pertolongan orang lain. Tentang bagaimana dia perlu menguruskan kewangan sendiri seandainya ditakdirkan kedua-dua ibu bapanya tiada suatu hari nanti, apakah yang perlu dilakukan dan sebagainya. Semua itu menuntut masa – masa untuk dia berupaya untuk berfikir, memahami sesuatu perkara dan sebagainya.
A post shared by Ridzuan Puzi (@ridzuan.___) on
Memandangkan Ridzuan mempunyai masalah bertutur, justeru bagaimana anda berkomunikasi dengannya untuk melatih dan memberi tunjuk ajar satu persatu?
Saya suka melihat soal ini daripada perspektif sebagai ibu bapa. Bagaimana kita sebagai ibu bapa, apabila mengetahui kekurangan dan masalah anak, apakah perkara yang akan kita lakukan?
Pasti ia bermula dengan inisiatif untuk kita memahami kekurangannya, mengenal pasti apakah kaedah tertentu yang perlu diberi, membawanya berjumpa guru atau mendapatkan khidmat tenaga pakar untuk membantu bukan? Perihal yang sama juga saya praktikkan bersama Ridzuan.
Sentiasa berdamping dan berada di sisinya, berkongsi dan mendengar masalah, bertukar-tukar cerita, belajar untuk memahami dirinya, mengenal pasti kekuatannya dan banyak lagi perkara yang saya lakukan.
Perihal ini memakan masa yang lama. Saya banyak luangkan masa dengannya untuk benar-benar memahami dan belajar untuk sama-sama memperbaiki kekurangannya. Saya sendiri buntu pada mulanya tetapi melihat dirinya sebagai permata yang boleh digilap, saya mengambilnya sebagai tanggungjawab.
Harapan anda terhadap Ridzuan selepas memenangi pingat emas di Sukan Olimpik Paralimpik Rio tahun lalu?
Selepas ini dia beraksi untuk Sukan SEA (Para Asean), tahun hadapan Sukan Asia, kemudian 2019 Kejohanan Dunia Paralimpik dan terakhir adalah Sukan Olimpik Paralimpik 2020 memandangkan ketika itu dia sudah berumur 34 tahun. Mungkin selepas itu sudah tiba masanya Ridzuan mencari jodoh.
Apakah anda meletakkan harapan bahawa Ridzuan perlu menang dalam setiap kejohanan peringkat dunia yang disertai?
Dia umpama permata yang perlu digilap untuk melihat sinar kilauannya. Dan melihat kepada prestasinya selepas kejayaan besar memenangi pingat emas di Sukan Olimpik Paralimpik, saya optimis dia mampu melangkah lebih jauh.
Saya tidak menetapkan sebarang sasaran atau jauh sekali memberi tekanan bahawa dia perlu menang. Selagi dia menjaga tahap kesihatan dan tidak berhadapan dengan kecederaan, saya yakin dia mampu mencipta kejutan dan merangkul kejayaan selepas ini.
Pada usia berapakah sewajarnya seorang atlet Paralimpik memulakan kariernya dalam bidang sukan?
Pada saya, tiada usia yang spesifik untuk seorang OKU bergelar atlet Paralimpik. Seeloknya dia perlu dikenal pasti pada peringkat awal. Di sinilah pihak Majlis Sukan Negeri memainkan peranan.
Misalnya bagi Ridzuan, bakatnya dikesan oleh jurulatih peringkat negeri dan saya berterima kasih kepada barisan jurulatih negeri-negeri kerana tanpa mereka sukar kami membentuk dan mencari bakat-bakat atlet muda yang berpotensi.
Begitu juga dengan guru-guru pendidikan khas yang mengajar anak-anak istimewa di peringkat sekolah rendah mahupun menengah. Kerana mereka yang terlebih dahulu mencungkil bakat sehingga boleh dibawa ke peringkat lebih tinggi.
Dan tugas kami selain daripada menyambung tunjuk ajar dan terus menggilap bakat mereka adalah memastikan mereka mendapat latihan yang lengkap dan persediaan lain untuk memajukan sukan Paralimpik.

Nasihat buat Ridzuan biarpun selepas ini dia tidak lagi menyertai sukan atau kejohanan dunia?
Saya akan terus membimbing dan memberi tunjuk ajar kepadanya kerana maklum mengenai faktor umur yang menjadi kekangan untuk dia terus menyertai kejohanan lain.
Mungkin dia boleh bertindak sebagai pembantu jurulatih khusus untuk atlet OKU yang mengalami masalah kecacatan sepertinya kerana dia lebih memahami apakah kesukaran, kekangan dan perkara yang dialami dalam dunianya.
Atau mungkin juga dia boleh membantu Coach Affizam Amdan di peringkat negeri untuk mencari dan mengenal pasti bakat-bakat baru seperti yang dilaluinya sebelum ini.
Saya yakin dia tidak akan berhenti daripada terus menabur bakti dan budi untuk sukan Paralimpik ini, berkongsi pengalaman dan pengetahuannya demi masa depan sukan Paralimpik negara.

12 Fakta Menarik Tentang Ridzuan Puzi
1. Ridzuan telah mencatat kejayaan besar dalam beberapa kejohanan dan temasya sukan seperti Kejohanan Olahraga Dunia dan Sukan Para ASEAN.
2. Pernahdinobatkansebagai penerima Anugerah Olahragawan Paralimpik Kebangsaan.
3. Membuat kemunculan pertama sebagai atlet profesional dalam Sukan Para ASEAN yang diadakan di Solo, Indonesia pada 2011.
4. Memenangi pingat emas dalam Kejohanan Olahraga Dunia IPC di Qatar bagi acara100 meter(T36) dan Sukan Para ASEAN (APG) di Singapura dalam acara 100 meter dan 200 meter (T36).
5. Meraih pingat emas dalam Kejohanan Asia-Oceania pada 2015.
6. Pembawa Jalur Gemilang pada temasya Sukan Para ASEAN di Singapura2015.
7. Mendapat jolokan dan gelaran harimau bintang utara dek kerana kepantasannya berlari.
8. Meraih pingat perak bagi acara 100 meter (T36) pada Kejohanan Olahraga Para Dunia di London, Julail alu.
9. Memecahkan rekod Sukan Paralimpik Beijing pada 2008 milik Roman Pavlyk dari Ukraine iaitu 12.25 saat ketika Sukan Paralimpik Rio, Brazil 2016.
10. Selepas majlis penyampaian hadiah di Stadium Olimpik Rio, Ridzuan yang mempunyai masalah bertutur menangis tanpa henti dan terpaksa ditenangkan jurulatihnya, R. Jeganathan.
11. Pernah menerima anugerah Kesatria Terbilang oleh Pemuda UMNO atas prestasinya yang cemerlang dalam sukan pada 2015.
12. Berazam mahu memperbaiki rekod dan masa catatan juga mahu meraih emas pada Sukan Para ASEAN tidak lama lagi.

Related Topics
Must-Watch Video
Unitar