Highlights

Donut Kampung 50 Sen Sebiji Kata Mahal, Donut di Mall RM3 Sebiji, Kamu Beli Sedozen! “Untung Mak Cik Puluh-Puluh Je.”

Afiza Kamarulzaman
03/05/2020
15:59 MYT
Sponsor Banner
Donut Kampung 50 Sen Sebiji Kata Mahal, Donut di Mall RM3 Sebiji, Kamu Beli Sedozen! “Untung Mak Cik Puluh-Puluh Je.”
Kasihan melihat mak cik Hasnah yang kurus terbongkok-bongkok jalannya. Wanita berusia 55 taahun ini masih gigih berniaga kuih-muih di simpang jalan kawasan perumahan elit demi kelangsungan hidup membesarkan dua anak yang masih bersekolah menengah dan menjaga suami yang sudah uzur. Berkenderaan Proton Saga usang, setiap jam 6.45 pagi, dia sudah memacak payung dan meja berniaganya di situ.
Kuih-muih seperti donut, koci, lepat pisang, ketayap, seri muka, tepung gomak, keria, popia dan bingka ubi antara yang mesti ada di meja jualannya kerana mendapat permintaan hebat pelanggan tetap mak cik Hasnah. Kalau tepat jam 6.45 pagi mak cik Hasnah sudah memulakan jualan, agaknya pada jam berapa mak cik Hasnah bangun untuk menyiapkan kuih-muih itu?
Gambar Hiasan (Ihsan: Astro Awani)
Bukan Mudah Membuat Kuih Tradisional
Semahir mana pun seseorang itu dalam dunia memasak, belum tentu dia hebat menghasilkan kuih-muih tradisional Melayu yang memang renyah dan memerlukan kemahiran. Kata mak cik Hasnah, seawal jam tiga pagi dia sudah membuka mata. Usai solat sunat Tahajud, mak cik Hasnah sudah mula bersilat di dapur dengan segala jenis perkakas mula berasak. Santan, pulut, tepung dan macam-macam jenis bahan sudah tersedia.
Kadang-kadang, suami mak cik Hasnah akan bantu apa yang boleh. Anak-anak juga turut menolong sebelum mereka ke sekolah. Jadi, mak cik Hasnah akan pastikan sebelum jam 6 pagi, semua barangnya sudah masuk ke dalam kereta. Selasai solat Subuh,mak cik Hasnak akan bergerak perlahan-lahan menyusuri kegelapan dini subuh menuju ke lubuk rezekinya.
Layan Ragam Pelanggan Lebih Penat
Membuat kuih-muih tradisional itu memangnya penat dan rumit. Tetapi akan hilang kepenatan itu apabila pelanggan memborong habis hasil jualannya dan memuji-muji betapa sedapnya kuih-muih mak cik Hasnah. Ada pelanggan tetap yang baik-baik daripada kalangan Melayu, Cina dan India. Ada yang kerja doktor, guru, kerani dan usahawan berjaya. Kereta hebat-hebat yang datang membeli.
Namun, ada juga segelintir mereka yang buat mak cik Hasnah kadang-kadang berkecil hati. Ada yang kata kuih sebiji 50 sen itu mahal. Saiz kuih kecil. Tak cukup manislah, kurang lemaklah walaupun nanti dia datang lagi membeli. Bukan, sekali, seminggu berkali-kali datangnya. Kalau tak sedan dan mahal, mengapa membeli lagi?
Ada pelanggan yang datang dengan kereta besar, membeli kuih beberapa biji dan memberi wang berbaki 10 sen, tetap meminta wang itu walaupun mak cik Hasnah tak punya syiling. Sanggup dia menunggu mak cik Hasnah berlari ke kedai depan untuk menukar duit dan mengembalikan baki 10 sen itu.
Kadang-kadang mak cik Hasnah pula tak ambil duit 10 sen ke 20 sen ke kalau pelanggan tidak punya wang kecil itu. Mak cik Hasnah akan kata, “Tak apalah, akak sedekah.” Sedangkan terang-terang, pelanggan itu jauh lebih kaya-raya daripada mak cik Hasnah yang pendapatan pun tidak menentu saban hari.
Kredit Foto: Google
Kenapa Berkira Untuk Seringgi Dua?
Kalau membeli donut di kedai besar, kita tidak pernah minta tawar atau bertanyakan kepada pekerja kenapa harganya begitu? Kerana kita tahu ia harga mati dan mustahil untuk diberi diskaun walau lima sen. Tetapi, kenapa kalau membeli dengan peniaga tepi jalan seperti mak cik Hasnah, kita jadi ‘bossy’ dan seperti kurang berkemampuan. Semua kita rungutkan. Daripada harga sampailah ke kualiti barang jualan itu.
Ketahuilah, tenaga dan usaha mak cik Hasnah bukan calang-calang. Dia lakukan semuanya sendiri dan tidak semua mampu mengadakan kuih-muih tradisional seperti itu zaman sekarang ini. Hatta chef di hotel besar pun belum tentu punya kepakaran seperti mak cik Hasnah. Jadi, mengapa dengan harga setakat seringgit dua pun kita mesti berkira dan mengungkit-ungkit.
Mak cik Hasnah tak untung banyak mana pun. Kalau kata hari itu hujan, maka banyaklah kerugian yang ditanggung. Baliklah dia dengan timbunan kuih-muih yang tak laku. Jadi, janganlah berasa busuk hati dengan peniaga seperti ini kerana mereka bukan usahawan besar yang duduk di bilik berhawa dingin yang setiap bulan mengira untung di akaun lima angka. Kalau usahawan begitu kita boleh bantu tanpa cerewet, mereka peniaga yang berniaga demi kelangsung hidup itu, tidak boleh kita tolong dengan menganggap pembelian kita sebagai sedekah?
Related Topics
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024