Highlights

Dulu Wartawan Kini JURUBELI Peribadi – “Bila Dah Biasa Pegang Duit, Walau Suami Bagi, Tetap Nak Cari Sendiri.” – Hatina

Afiza Kamarulzaman
17/06/2020
13:58 MYT
Sponsor Banner
Dulu Wartawan Kini JURUBELI Peribadi – “Bila Dah Biasa Pegang Duit, Walau Suami Bagi, Tetap Nak Cari Sendiri.” – Hatina
Bagaimana terlintas untuk bergelar jurubeli peribadi barangan Ikea?
Sebelum ini, saya pernah bekerja sebagai wartawan akhbar bertahun-tahun lamanya. Namun, perubahan aliran media hari ini menyebabkan syarikat tempat saya bekerja terpaksa membuat pengecilan staf, kami diberi tawaran untuk berhenti secara sukarela bersama pampasan. Memikirkan komitmen anak-anak yang semakin tinggi disebabkan suami selalu bekerja di luar kawasan, saya membuat keputusan untuk menawarkan diri mengambil skim itu. Awalnya, saya berniaga dengan menjual kuih sejuk beku secara kecil kecilan seperti karipap dan cucur badak. Tapi tahulah proses membuat kuih tradisional ini bukannya mudah. Tambahan pula, sejak kebelakangan ini saya berdepan masalah kesihatan sedikit. Jadi saya berehat seketika. Ditambah pula dengan situasi pandemik Covid-19 ketika itu. Kemudian, timbul idea untuk bekerjasama dengan rakan wartawan yang senasib untuk bergelar personal shopper memandangkan kami berdua mempunyai minat yang sama iaitu ‘shopping’. Jadi, kenapa tidak daripada minat itu dijadikan sumber pendapatan.
Kredit Foto: Hatina Shuib
Bagaimana daripada minat boleh jadi kerjaya yang serius?
Sebelum ini memang sering melihat rakan-rakan yang menjadikan kerjaya ini sebagai satu sumber pendapatan. Jujurnya, sebelum berhenti kerja lagi, saya memang ada pasang angan-angan untuk jadi jurubeli peribadi ini. Dan, tidak sangka akhirnya menjadi kenyataan. Daripada cuba-cuba, lama-lama jadi seronok pula dan terus jatuh cinta. Yang bagusnya, kerjaya atau bisnes ini tidak memerlukan modal, yang perlu cuma kerajinan. Energi pun kena kuat kerana perlu banyak mengangkat barang-barang yang boleh tahan berat. Lagi satu, ia mengajar erti sabar untuk melayan kerenah pelanggan.
Apa kata suami?
Suami tidak kisah. Dia sentiasa menyokong apa sahaja yang saya mahu lakukan selepas tidak lagi bekerja makan gaji. Walaupun suami masih mampu untuk menyara kami sekeluarga walaupun selepas saya tidak ada lagi pendapatan tetap, tapi kita ni dah biasa kerja dari lepas belajar, maka rasa seperti tidak senang kalau tak melakukan sesuatu. Lagi pula, orang yang dah biasa pegang duit ni, banyak mana pun suami bagi tetap mahu ada duit saku sendiri. Kepuasan!
Kredit Foto: Hatina Shuib
Bagaimana rutin dan proses kerja sebagai jurubeli perbadi ini?
Oleh kerana seorang lagi rakan kongsi saya masih bekerja, maka buat masa ini kami hanya mengambil order pada setiap hari Isnin hingga Jumaat dan membeli pesanan pelanggan pada hujung minggu. Caj penghantaran sekitar kawasan rumah kami di Puncak Alam percuma dan kawasan sekitar dikenakan caj sekitar RM2 hingga RM3. Jika ramai yang menempah dari Kuala Lumpur, kami mengenakan caj RM10 untuk penghantaran.
Apakah cabaran terbesar melakukan kerja ini?
Setiap kerja ada cabarannya. Namun, saya masih belum ketemu cabaran yang sangat menduga. Mungkin perjalanan kami masih baru, jadi cabarannya belumlah sebesar mana lagi. Akan datang tidak tahulah. Alhamdulillah, rata-rata pelanggan kami setakat ini memahami tugasan kami dan saling mempercayai. Mudah dan lancar sahaja semua urusan.
Kredit Foto: Hatina Shuib
Pengalaman paling menyeronokkan?
Mestilah pengalaman pertama membuka tawaran khidmat sebagai juru beli peribadi sudah memberi keterujaan kepada kami. Paling lucu, masa status dimuat naik di Facebook untuk servis kami ini, rasa gugup itu tiba-tiba muncul. Ini kerana kami masih baru dalam bidang ini. Tetapi rezeki Allah dan susun cantik. Walau pertama kali menawarkan perkhidmatan, ramai yang mempercayai kami dan memesan pelbagai barangan. Memang tak disangka-sangka. Lega sangat dan ia terus membakar semangat kami. Benarlah kata pepatah, jika ada usaha pasti ada laluan untuk kami tuju.
Boleh kongsikan purata kasar keuntungan kalian?
Keuntungan setakat ini tidaklah sebesar mana kerana kami antara jurubeli yang menawarkan harga berbaloi. Kami caj setiap item yang dipesan pada pesanan pertama cuma RM10 dan kedua dan seterusnya cuma RM5. Namun untuk produk item yang sama caj kami cuma RM2 saja. Kadangkala jika banyak barang dipesan kami tidak kisah beri diskaun. Kepuasan pelanggan adalah perkara utama kami perlukan untuk mempermudahkan urusan. Inilah yang dikatakan apabila kita melakukan kerana minat, kerja itu dilakukan dulu, untung datang kemudian.
Kredit Foto: Hatina Shuib
Apakah harapan anda pada masa mendatang?
Harapan kami agar kerjaya istimewa ini terus menuju kejayaaan. Kami berharap dapat membuka syarikat perkhidmatan personal shopper yang lebih terancang dan diangkat menjadi satu kerjaya yang lebih serius. Mana tahu selepas ini dapat jadi majikan yang boleh memberi peluang kerjaya kepada anak muda lain dengan pendapatan berbaloi pula. Insya Allah, semoga usaha dan doa kami diperkenankan.
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar