Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Highlights

E-Bazar Ramadan – Jujurlah Berniaga, Kasihani Pembeli. Jangan Hampakan Selera Mereka, Itu Punca Rezeki Anda.

Huda Hussain 30/04/2020 | 15:44 MYT
Bagi mereka yang bujang, pasangan suami isteri atau sesiapa sahaja yang teringin merasa cuma dua tiga ketul kuih pasti lebih selesa membeli daripada memasak sendiri. Hal ini kerana ia lebih menjimatkan masa dan tenaga. Maklum sahajalah, yang makan hanya seorang dua. Mungkin tidak berbaloi jika mahu memasak.
Lantas jalan mudah adalah dengan membeli di e-Bazar Ramadan online yang kian mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat. Menyesuaikan diri dengan normal baharu, platform ini menawarkan pelbagai jenis makanan yang biasa didapati di bazar Ramadan tetapi kini dijual secara dalam talian. Pembeli hanya perlu memilih menu, membuat pesanan menerusi kiriman WhatsApp atau berhubung terus dengan peniaga berdasarkan nombor telefon penjual yang tertera.
Kredit Foto: Facebook E-Bazar Selangor
Pesanan perlu dibuat dalam tempoh tertentu bagi mengelakkan kelewatan. Atau mungkin sehari lebih awal bagi memudahkan urusan pesanan dilakukan bergantung kepada tawaran yang disediakan peniaga. Dan pastinya, kalau dilihat di bazar Ramadan online ini, semua menu yang dipamerkan sedap dan enak belaka. Serasa mahu beli semuanya. Sebut saja apa jua jenis kuih-muih, lauk-pauk, set nasi, pemanis mulut, minuman dan banyak lagi, semuanya ada disini. Daripada makanan popular di bazar Ramadan seperti murtabak, roti john, kuih tepung pelita, tauhu pegedil dan lain-lain hinggalah makanan yang hanya boleh didapati dalam bulan puasa; semuanya tersedia dihujung jari.
Kredit Foto: Facebook E-Bazar Selangor
Tetapi yang tidak ‘enak’nya adalah apabila terdapat segelintir penjual yang seakan tidak bertanggungjawab dan jujur berniaga. Karipap inti oksigen, pau sambal kosong dan lain-lain lagi. Malah ada juga yang mengambil kesempatan dengan menjual dengan harga yang tidak masuk akal. Bukan tidak mahu sokong peniaga tetapi apabila insiden ini berlaku pasti tidak adil bagi pembeli. Yang sudah membuat pembayaran dan mengangankan makanan diterima dalam keadaan sempurna dan berbaloi dengan harga, tetapi yang diterima adalah sebaliknya.
Kredit Foto: Google
Masing-masing mahu menyokong dan mencari rezeki berbekalkan platform yang ada. Tetapi janganlah mengambil kesempatan dan bersikap menyediakan acuh tak acuh sahaja. Seolah-olah tidak ikhlas berniaga pula. Dan bagi pembeli, bukannya mereka tidak bersyukur dengan juadah yang ada didepan mata tetapi biarlah setimpal dengan apa yang dibayar. Bukankah tidak baik, seolah-olah menganiayai selera pembeli yang benar-benar menginginkan makanan yang dijual. Namun yang sampai ke tangan, lain pula rasanya.
Dan jangan pula kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Hingga terpalit juga kepada peniaga lain yang ikhlas dan bersungguh-sungguh berniaga mencari rezeki. Justeru, kepada peniaga manfaatkan ruang yang ada agar rezeki yang diperoleh lebih berkat. Dan pembeli dapat makan apa jua makanan yang dibeli dengan penuh nikmat.
#Peniaga #E-Bazar #Pembeli
;