Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Read

EKSKLUSIF! Cheong Jun Hoong Dedahkan RAHSIA Bagaimana Dia Jadi No. 1 Dunia — Anda Pasti Terkesima! #KitaSamaHero

Public Anonymous User 26/08/2017 | 03:20 MYT

Oleh: Huda Hussain

Tidak mahu mendabik dada, Cheong Jun Hoong menyifatkan gelaran juara dunia umpama mimpi yang menjadi realiti. Tidak pernah terfikir berada di puncak karier, segala titik peluh dan usahanya selama ini membuahkan hasil. Baginya kemanisan kejayaan itu lebih terasa apabila mengenang kembali segala kesukaran dan cabaran yang perlu ditempuh sebelum ini.

Pernah dipandang rendah, tidak kurang ada yang mempertikaikan bakatnya dalam sukan terjun – bagi Jun Hoong itu yang menguatkan semangatnya untuk memberikan yang terbaik.

Dan ia terbukti dengan kemenangan besar yang dikecapnya tahun ini. Berdiri di pentas sambil kedengaran lagu Negaraku berkumandang, ia satu pencapaian membanggakan buat dirinya juga sukan terjun secara amnya.

JEJAK JUARA CHEONG JUN HOONG

• Pernah memenangi pingat emas dalam temasya Sukan SEA pada tahun 2011 di Palembang, 2013 di Naypyidaw bagi acara 3 meter platform.

• Pada Sukan Asia 2014 di Incheon, Jun Hoong membawa pulang pingat perak bagi acara 3 meter synchro springboard dan memenangi pingat gangsa bagi acara 3 meter springboard.

• Dikenali sebagai seorang atlet yang tegas dan serius ketika berlatih namun punya personaliti yang mudah didekati jika anda mengenalinya.

A post shared by Cheong Jun Hoong 张俊虹 (@cheongjunhoong) on

Kongsikan bersama InTrend sejarah penglibatan dan bagaimana Jun Hoong boleh menceburi sukan ini?

Pada awalnya seorang jurulatih dari China datang ke sekolah untuk mencari dan memilih pelajar yang berpotensi untuk menyertai sukan terjun. Ketika itu saya masih belajar di sekolah rendah di Ipoh. Jika tidak silap, sama ada darjah tiga atau empat.

Saya menceburi sukan terjun di peringkat negeri terlebih dahulu kemudian saya pernah menyertai Sukan Malaysia (SUKMA). Dan selepas menyertai beberapa acara, pihak Majlis Sukan Negara (MSN) membuat sesi pemilihan untuk mengenalpasti atlet yang berpotensi untuk digilap dan diasah kemahiran ke peringkat seterusnya. Apabila masuk ke peringkat pra universiti dan universiti, saya mula disunting oleh pasukan negara.

Kredit foto: Koleksi peribadi Cheong Jun Hoong

Dikenali sebagai seorang yang garang dan serius dalam kalangan rakan-rakan atlet, benar? Mengapa?

Hahaha... Mungkin kerana wajah saya yang serius dan jika anda sudah mengenali saya, saya tidaklah terlalu garang. Namun serius saya bertempat.

Rutin latihan yang harus dilalui terutamanya apabila bakal beraksi dalam kejohanan besar dan berskala mega?

Bergantung kepada keadaan. Jika saya mempunyai kelas (masih menuntut di Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam jurusan Komunikasi Massa, pengkhususan Komunikasi Korporat), sesi latihan hanya akan dilakukan selepas saya tamat kelas. Selebihanya saya akan duduk dan berbincang dengan jurulatih untuk menyusun jadual latihan.

Saya mula mendaftarkan diri sebagai pelajar pada 2009 dan memandangkan dalam masa sama, saya juga adalah salah seorang atlet maka saya perlu bijak menyusun jadual seharian.

Namun jika mempunyai kejohanan dunia misalnya, saya akan lanjutkan semester atau mengurangkan jumlah jam kredit pengajian untuk semester tertentu. Saya masih tidak pasti bilakah masanya saya mampu menamatkan pengajian kerana terikat dengan kejohanan dan pertandingan baik di peringkat Asia mahupun dunia.

Kredit foto: Koleksi peribadi Cheong Jun Hoong

Bagaimana Jun Hoong membahagikan masa antara waktu belajar, menjalani sesi latihan dan meluangkan waktu bersama keluarga? Pasti mencabar bukan?

Ya, saya tidak menafikan mengenai salah satu cabaran ini. Jika berbicara mengenai soal penat, memang penat. Namun pokok pangkalnya berbalik kepada diri sendiri. Disiplin diri memainkan peranan penting dalam hal ini.

Pernah merasakan tekanan apabila memenangi 2017 World Aquatics Championships?

Sedikit sebanyak tekanan itu tetap ada. Tetapi saya cuba sedaya upaya agar tidak terlalu memikirkannya kerana pada saya kejohanan dunia ini sudah pun berlalu. Apa yang lebih penting adalah kejohanan dan pertandingan akan datang.

Benar, saya sudah meraih gelaran juara dan bersyukur kerana dapat membanggakan nama negara, membawa kegembiraan dan keterujaan kepada seluruh rakyat Malaysia. Saya melihat dan merumuskan apa yang telah berlaku menerusi perspektif ini.

Dalam setiap kejohanan dan pertandingan pasti ada yang kalah dan menang kerana itulah adat dan lumrahnya. Bagi saya, selagi saya mampu lakukan yang terbaik dan sehabis baik itu sudah memadai. Dan apa yang berlaku selepas itu, saya tidak akan ambil pusing, jauh sekali menyesalinya.

Kredit foto: Koleksi peribadi Cheong Jun Hoong

Pengalaman kali pertama menjejakkan kaki ke pentas sebagai juara dan lagu Negaraku berkumandang, apa yang terlintas dalam fikiran Jun Hoong ketika itu?

Sejujurnya kejohanan dunia kali ini adalah satu persaingan yang amat sengit. Bukan mudah bagi saya untuk menewaskan pemegang pingat emas Sukan Olimpik di Rio tahun lalu, (kedua-duanya dari China).

Pada saya tiada apa yang kurang atau kesalahan daripada aspek teknik misalnya. Cuma mungkin tuah menyebelahi saya ketika itu. Sebagai manusia biasa, tidak semua perkara berada dalam kawalan kita.

Justeru jangan pernah berhenti berikan yang terbaik dan jangan sesekali menyesalinya. Momen ketika itu umpama sebuah mimpi yang menjadi realiti dan ada ketikanya saya berasa seolah-olah apakah benar saya baru dinobatkan sebagai juara dunia bagi acara 10 meter papan anjal dalam sukan terjun?

Dan apabila ia benar-benar berlaku, saya cukup teruja dan terharu kerana dapat mengharumkan nama Malaysia dan menggembirakan rakyat Malaysia. Apatah lagi menjadi atlet pertama Malaysia yang menjuarai kejohanan berprestij ini, saya sifatkan ia sebagai pencapaian untuk semua lebih-lebih lagi bagi kami para atlet yang mewakili sukan terjun ini.

Dalam masa sama, saya gembira apabila kejayaan ini menjadikan saya sebagai suri teladan untuk mana-mana atlet agar turut bekerja keras demi memperoleh kejayaan dalam apa jua cabang sukan yang diceburi. Nikmati setiap momen sepanjang perjalanan ini, bermula daripada sesi latihan hinggalah hari pertandingan itu lebih indah pada saya.

Kredit foto: Koleksi peribadi Cheong Jun Hoong

Selain latihan yang konsisten, apakah cabaran yang harus dilalui untuk berada pada peringkat ini?

Kecederaan kerana ia adalah faktor utama yang menakutkan kami sebagai atlet. Dalam masa sama, ia luar jangkaan dan kawalan juga boleh disifatkan sebagai antara elemen yang ditakuti untuk ditempuh apatah lagi jika ada kejohanan berskala besar.

Ia umpama cabaran yang tidak dapat dielak oleh setiap atlet. Ia juga bergantung kepada sejauh mana anda berhadapan dengannya, mencari solusi, melalui sesi rawatan (jika kecederaan berada pada tahap serius) juga mengumpul kekuatan mental dan fizikal untuk kembali berlatih dan mengekalkan momentum pada tahap terbaik.

Kredit foto: Koleksi peribadi Cheong Jun Hoong

Apakah matlamat dan sasaran Jun Hoong dalam sukan terjun? Adakah untuk meraih gelaran juara dunia atau bagaimana?

Selepas memenangi pingat perak ketika Sukan Olimpik Rio 2016 dan baru-baru ini tak sengaja memenangi 2017 World Aquatics Championships pula (ketawa) saya sifatkan sasaran saya adalah berikan yang terbaik dalam setiap kejohanan yang disertai. Seperti yang pernah saya nyatakan sebelum ini, dalam apa jua kejohanan atau pertandingan selepas ini segalanya saya perlu mulakan dari langkah pertama.

Ia bermula dengan sesi latihan, fokus dan disiplin. Tidak bermakna biarpun saya pernah menyandang gelaran juara dunia, pihak juri atau sesiapa sekalipun akan memberi keistimewaan atau memandang tinggi terhadap prestasi saya. Misalnya ketika penjurian dilakukan, semuanya bergantung kepada sejauh mana saya berusaha untuk berikan yang terbaik ketika itu.

Kredit foto: Koleksi peribadi Cheong Jun Hoong

Pasti banyak perkara yang perlu dikorbankan untuk merasai manisnya kemenangan sebagai Juara Dunia dalam 2017 World Aquatics Championships, kongsikan?

Terlalu banyak untuk saya senaraikan di sini. Umpamanya ia sudah menelan hampir keseluruhan perjalanan hidup saya. Misalnya, saya perlu korbankan keriangan zaman kanak-kanak saya.

Waktu bersama keluarga, rakan-rakan dan sedikit waktu belajar. Dan kini saya merasakan apa yang telah dikorbankan itu amat bermakna dan berbaloi dengan kemenangan ini.

Iltizam yang menguatkan semangat Jun Hoong untuk terus kekal berada dalam sukan ini sekali gus membawa nama Malaysia ke peringkat lebih tinggi?

Memandangkan banyak kali saya mengalami kecederaan, dan setiap kesakitan juga keperitan yang dirasakan itu sebenarnya secara tidak langsung menguatkan semangat saya untuk terus berjuang.

Benar, hanya diri saya yang merasakan bagaimana pedih dan sakitnya apabila tercedera, saya perlu menahan dan menelan kesakitan yang dirasai – semua itu menjadi pendorong dan menggerakkan diri saya agar terus melangkah ke hadapan.

Bohonglah jika saya katakan tidak pernah merasa kecewa dan putus asa tetapi apa yang membangkitkan kembali kobar semangat juang saya adalah apabila saya melakukan sesuatu kerja, saya pasti lakukan dan sempurnakan dengan sehabis baik.

Pernah dahulu ketika masih di peringkat sekolah, saya merungut kepada kedua-dua ibu bapa, “Ah, penatlah. Sudahlah. Tak mahu buat lagi lepas ini.” Tetapi mereka yang mainkan peranan dan menaikkan semangat saya. Kata mereka, saya mampu lakukan kerana sudah separuh jalan saya menceburi sukan ini. Dan jika berhenti di tengah jalan, sayang pula.

Mereka percaya kepada bakat saya dan yakin saya boleh cuba lakukan dengan lebih baik. Begitu juga dengan jurulatih, seringkali mendorong saya agar tidak mudah putus asa dan memberi perangsang. Dan syukur kerana ‘kesakitan’ masa lalu terbayar dengan kemanisan kejayaan ini.

Kredit foto: Koleksi peribadi Cheong Jun Hoong

Hadiah kemenangan terbesar yang pernah diraih lantas tidak mampu anda lupakan?

Sudah pasti dengan kemenangan sebagai juara dunia 2017 World Aquatics Championships baru- baru ini. Sejujurnya, kejayaan ini tidak diduga dan saya benar- benar teruja. Ia luar jangkaan saya selama ini.

Sehinggakan selepas tamat acara penyampian hadiah dan pingat saya merasakan, “Okay, sudah menang. Selepas ini perlu kembali berlatih dan melakukan persediaan untuk Sukan SEA pula.” Cukup dengan momen ketika di podium. Tetapi selepas pihak media menguar-uarkan kemenangan ini, saya terfikir apakah kerjayaan juara dunia benar-benar memberi impak kepada semua? Seolah-olah semua rakyat Malaysia teruja dan turut sama gembira.

Adakah benar semua rakyat Malaysia berbangga dengan kerjayaan ini? sedangkan saya anggap biasa-biasa dan ucapan kemenangan yang saya terima. Baik rakan-rakan mahupun pihak media, semuanya bersorak gembira.

Begitu juga dengan sambutan kepulangan saya di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) ketika itu. Dan saya tidak pernah terfikir mampu merealisasikannya. Ia adalah hadiah kemenangan terbesar dan amat bermakna sepanjang karier saya dalam sukan ini. Dan tidak dilupakan, kejayaan meraih pingat perak ketika Sukan Olimpik di Rio tahun lalu, ia cukup manis buat saya.

Kredit foto: Koleksi peribadi Cheong Jun Hoong

Pernah berasa puas dengan kejayaan yang diraih sebelum ini atau apa lagi yang mahu dicapai?

Saya lebih selesa dengan pendekatan bersyukur dengan apa yang pernah saya kecapi sebelum ini. Pada saya ia lebih baik dan bukan bermakna saya tidak bercita-cita tinggi tetapi dengan setiap kemenangan daripada pelbagai acara yang saya sertai membuatkan saya tahu di mana tahap dan kemampuan saya.

Jika saya lebih fokus, disiplin dan bekerja keras pasti akan memberi pulangan yang lebih baik. Dan ia bukannya untuk diri saya seorang tetapi lebih kepada sumbangan saya dalam sukan ini dan kepada negara.

Kredit foto: Koleksi peribadi Cheong Jun Hoong

Pandelela terlebih dahulu merangkul kejayaan berbanding Jun Hoong. Apakah perkara yang membuatkan anda mempelajari sesuatu daripada kejayaannya dan pernahkah anda berasa tergugat dengan apa jua yang dikecapi Pandelela sebelum ini?

Dia salah seorang suri teladan bagi sukan terjun. Kejayaannya dalam sukan ini banyak membantu dan mengembangkan lagi sukan ini kerana orang ramai lebih peka dan mula membuka mata.

Sebenarnya saya tidak pernah terfikir untuk mengalahkan dia atau mencipta lebih banyak kejayaan berbanding Lela, jauh sekali mencemburui kejayaannya. Dalam apa jua acara yang disertai, saya hanya sematkan tekad dan azam mahu berikan yang terbaik.

Bukan kemenangan sahaja yang menjadi fokus sebaliknya mutu dan kualiti serta penguasaan teknik yang betul menjadi pegangan saya. Pada saya Lela umpama ikon sukan terjun kerana dia telah berjaya membawa nama Malaysia ke peringkat lebih tinggi khususnya di peringkat antarabangsa.

Pandangan Jun Hoong mengenai atlet-atlet yang berpotensi tetapi bakat dan bintang mereka masih belum menyerlah lagi, komen anda?

Saya tidak pasti sama ada kalian bersetuju atau tidak dengan pendapat saya. Tetapi berdasarkan pemerhatian saya, budak-budak zaman sekarang sedikit manja. Kerana itulah antara keluhan daripada jurulatih saya. Tetapi berbalik kepada situasi saya, mungkin kerana latar belakang keluarga saya istilah manja tidak wujud dalam kamus hidup saya.

Memandangkan saya adalah anak sulung, maka saya harus menunjukkan contoh yang baik kepada adik-adik yang lain. Sejak kecil saya dilatih agar tidak boleh bermalas-malasan (biarpun ada ketikanya saya mahu mengelat... hahaha) tetapi memikirkan tanggungjawab dan komitmen sebagai anak sulung, saya perlu ketepikan itu semua.

Namun melihat senario yang berlaku, saya tidak boleh memberikan komen selanjutnya atau jauh sekali menuding jari dan menyalahkan sesiapa. Suka saya ingatkan kepada barisan atlet pelapis atau bakat-bakat muda, jangan sesekali lepaskan peluang yang ada jika anda diberikan ruang dan kesempatan. Buktikan dan tonjolkan apa jua yang ada dan berikan yang terbaik.

Apa yang lebih penting, hargai dan kenanglah jasa jurulatih anda – apa jua yang disiapkan untuk memantapkan mutu persembahan anda, patuh kepada segala tunjuk ajar pasti ada sesuatu yang bermakna untuk anda pegang.

Mereka umpama ibu bapa kedua kepada atlet, dan sebagai jurulatih mereka memahami apa jua kelemahan dan potensi anda. Justeru, hargailah jasa baik jurulatih anda.

Kredit foto: Koleksi peribadi Cheong Jun Hoong

Komen anda mengenai generasi muda hari ini yang masih gusar memilih bidang sukan sebagai cabang kerjaya?

Tiada apa yang mustahil! Jika anda mempunyai tekad dan cita-cita tinggi dalam bidang ini, pasti ia mampu direalisasikan. Benar, sukar untuk saya yakinkan semua dan mengubah cara pemikiran generasi muda hari ini kerana tidak dinafikan bidang sukan sesuatu yang mencabar.

Umpamanya tidak semua atau ramai yang berani menceburi bidang ini lantas memilihnya sebagai cabang kerjaya. Tetapi anda harus berani melakukan anjakan paradigma dan cara anda berfikir.

Kredit foto: Koleksi peribadi Cheong Jun Hoong

Apakah perkara yang sentiasa tersemat dalam fikiran Jun Hoong sebelum memulakan terjunan?

Fokus adalah aspek utama selain memikirkan untuk mengumpul mata. Jika tidak fokus, ia memudahkan saya untuk mengalami kecederaan. Misalnya sebelum Sukan Olimpik di Rio dahulu, pada peringkat kelayakan saya mengalami kecederaan kerana terlanggar papan anjal.

Ekoran kecederaan itu, saya menerima tiga jahitan di bahagian tumit dan tidak boleh berjalan. Ia berlaku kerana saya tidak fokus sebelum melakukan terjunan dan ia memberi impak yang ketara sehingga menjejaskan prestasi.

Kredit foto: Koleksi peribadi Cheong Jun Hoong

Pada pandangan anda, siapa atlet yang mempunyai potensi dan menyerlah dalam acara terjun?

Pada saya sesiapa jua yang berusaha keras, giat berlatih dan fokus pasti mempunyai potensi untuk menyinar. Tidak terhad untuk sukan terjun sahaja tetapi apa jua cabang sukan sekalipun. Saya optimis semua atlet mempunyai potensi. Menjadi lumrah bukan, semua orang mempunyai bakat tersendiri tetapi jika bersandarkan kepada soal bakat sahaja tanpa berusaha dan malas, pasti tidak menjanjikan apa-apa.

Pada saya, usaha dan kerja keras adalah faktor yang menjadi penentu segalanya. Berdasarkan pengalaman saya dahulu, tiada sesiapa yang mengatakan saya berbakat, mempunyai potensi dan tidak sesuai untuk sukan terjun. Sehinggakan ada yang berkata saya hanya biasa-biasa sahaja, tiada yang istimewa. Tidak kurang juga ada yang berkata teknik saya tidak betul, itu dan ini.

Tetapi berkat usaha, kerajinan dan sikap saya untuk memperbaiki kekurangan serta kelemahan, syukur kerana semua itu mampu saya tangkis dan buktikan dengan kemenangan ini. Dan ia tidak mampu direalisasikan tanpa bantuan, nasihat dan tunjuk ajar jurulatih iaitu Yang Zhu Liang yang mula mengajar saya sejak 2011.

Dia telah mengubah dan mengajar saya menggunakan teknik yang betul yang mana selama ini saya sudah selesa dengan teknik yang ‘salah’ sebenarnya. Benar saya akui bukan mudah untuk saya menukar kerana sudah terbiasa dengan teknik itu.

Walaupun memakan masa tetapi berkat kesungguhan dan iltizam, saya mampu memberikan yang terbaik seperti aksi terjunan dalam 2017 World Aquatics Championships yang lalu. Daripada perspektif lain pula, saya melihat kepada aspek kejurulatihan yang ada kini telah mencapai tahap setanding dengan peringkat antarabangsa.

Justeru, buat atlet pelapis jangan lepaskan peluang untuk menimba ilmu yang ada pada jurulatih sedia ada. Mereka lebih berpengalaman dan membantu mencorak kejayaan kita sebagai atlet.

A post shared by Cheong Jun Hoong 张俊虹 (@cheongjunhoong) on

Selama mana Jun Hoong mampu mengungguli persada sukan terjun?

Saya tidak pasti sejauh mana atau selama mana jangka hayat saya dalam sukan ini. Semuanya bergantung kepada kondisi tubuh dan stamina yang ada. Di peringkat antarabangsa misalnya, ada atlet yang sudah melahirkan anak tetapi masih lagi fit dan mempunyai stamina yang tinggi.

Dan pada saya itu bergantung kepada tahap kesihatan masing-masing. Selagi terdaya, saya akan teruskan.

Perkara yang lazim dilakukan jika punya waktu terluang dan tidak terikat dengan sebarang latihan?

Berbual, berkongsi cerita itu dan ini juga makan kerana saya hanya bercuti daripada sesi latihan setiap Ahad. Manakala setiap Rabu dan kadangkala Sabtu pula saya mendapat cuti rehat setengah hari.

Justeru waktu yang terluang saya gunakan untuk berehat seketika atau menggunakan kesempatan yang ada bersama keluarga mahupun belajar.

歇了几天,继续咬牙坚持??? #一切会好起来的 #klseagames2017 #keepgoing #bestrong #believeinyourself #recoveringwell #everythingwillbeokay #athleteslife #divingdryland #springboard

A post shared by Cheong Jun Hoong 张俊虹 (@cheongjunhoong) on

Nasihat dan kobar semangat yang ingin diuar-uarkan buat semua rakyat Malaysia sempena menyambut Hari Kemerdekaan ke-60 tahun ini?

Saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan ke-60. Saya tumpang gembira dan berbangga kerana dapat menyumbangkan sesuatu buat Malaysia menerusi kemenangan ini. Dan berharap ia dapat memberi inspirasi dan suntikan semangat untuk semua rakyat Malaysia mencapai kejayaan dalam apa jua bidang yang diceburi.

Pada saya tiada yang mustahil untuk digenggam atau dicapai. Sematkan dalam diri untuk berusaha dengan bersungguh-sungguh dan lakukan sehabis baik. Saya juga ingin merakamkan penghargaan dan berterima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang berkongsi kegembiraan ini.

Semua kata-kata perangsang, komen-komen membina yang dikongsi menerusi kiriman What's App, Instagram, Facebook dan sebagainya amat saya hargai. Saya mengambilnya sebagai satu azimat untuk terus memberikan yang terbaik dalam kejohanan dan pertandingan akan datang. Terima kasih Malaysia!

Kredit foto: Koleksi peribadi Cheong Jun Hoong

10 Sekilas Mengenai Pencapaian Terbaik Jun Hoong

1. Menggondol pingat emas dalam acara 10 meter platform 2017 World Aquatics Championships di Budapest.

2. Meraih gangsa acara 10 meter sychro platform di 2017 World Aquatics Championships bersama gandingan penerjun Pandelela Rinong

3. Pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2016 bersama gandingan penerjun Pandelela Rinong.

4. Membawa pulang pingat perak bagi acara 3 meter synchro springboard Sukan Asia 2014 Incheon

5. Menjadi atlet sukan terjun pertama Malaysia merangkul gelaran juara dunia.

6. Dikurniakan Darjah Ahli Mahkota Perak (AMP) daripada Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak sempena ulang tahun Hari Keputeraan Baginda tahun lalu.

Kredit foto: Koleksi peribadi Cheong Jun Hoong

7. Memenangi kategori Pasukan Wanita Terbaik bagi Anugerah Sukan Negara 2016 bersama gandingan Pandelela Rinong.

8. Hanya 1.5 mata yang memisahkan markah terkumpul dengan atlet dari China.

9. Empat daripada tujuh juri memberi 10 mata penuh kepada Jun Hoong yang melayakkannya mengumpul mata keseluruhan 397.5

10. Berusia 27 tahun dan berasal dari Batu Gajah, Perak.

When I was packing...?? One is written "bronze medalist", and another one "WORLD CHAMPION".. It was like a dream... ?? #finabudapest2017 #worldchampionships2017 #daretodream #havefaith #whoknowsitwillhappen #dreamcomestrue #historymade #istillcouldntbelieveit #keepgoing #thankyouforalltheloveandsupports #blessed #thankful #grateful #sharethejoy #hopeyoualllikeit #ilovebudapest #timetogohome

A post shared by Cheong Jun Hoong 张俊虹 (@cheongjunhoong) on

;