Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Read

Eksklusif! LISA SURIHANI Kongsi Rahsia Dia & YUSRY Didik 2 Anak— Yahaira Leanne & Yusof Leonne

Public Anonymous User 17/12/2018 | 08:55 MYT

Oleh: AMIZA A. KADIR

WAJAH ‘Hot Mummy’ yang satu ini Sudah lama tidak mewarnai kaca televisyen mahupun layar perak.

Itu tidak sesekali beri petanda bahawa dia meninggalkan dunia glamour yang telah diceburinya. Bukan juga kerana bahagia menjalani rutin hariannya sebagai suri hati kepada Yusry dan kesibukannya melayani puteri dan putera kesayangan.

Kebenarannya, diam aktres popular bernama Lisa Surihani, diam berisi dan kini kehadirannya kembali pasti menghilangkan kerinduan para peminat. Ternyata popularitinya tidak pernah tenggelam walaupun dihimpit bakat baru.

Ikuti temu bual InTrend bersama Lisa untuk isu istimewa ini.

Hai Lisa! Ceritakan perkembangan terkini anda?

Hai! Sekarang Lisa terlibat dalam penggambaran sebuah drama bersiri 10 episod berjudul Jibril. Lisa antara watak utama yang turut menggandingkan ramai nama besar industri seperti Aeril Zafrel, Zahiril Adzim dan Tony Eusoff.

Lisa tertarik untuk menerima tawaran ini kerana watak dan skrip, selain ingin bekerja di bawah arahan Megat Sharizal.

A post shared by Lisa Surihani Mohamed ? (@lisasurihani) on

Mengapa agak lama tidak muncul dengan produk seni terbaru?

Selepas melahirkan Yahaira dan kemudiannya Yusof, Lisa berehat seketika selepas berpantang. Ada menerima tawaran tetapi terpaksa ditolak kerana jadual penggambaran yang tidak sesuai.

Tentunya sebagai ibu baru Lisa mengutamakan anak-anak yang masih kecil. Lisa juga selektif untuk menerima sebarang tawaran kerana menimbang karakter yang diberikan, juga melihat kesesuaian skrip.

Kemudian Lisa sibuk bekerja di belakang tabir, membantu abang Yusry untuk kerja-kerja produksi. Ia bermula semenjak tahun lalu apabila Lisa terlibat untuk beberapa judul, ada yang dalam peringkat skrip dan yang lainnya.

Lisa serasi dengan dunia di belakang tabir?

Sebenarnya Lisa digalakkan untuk bekerja di belakang tabir beberapa tahun lalu. Abang Yusry mengajak untuk menyertainya dan bergandingan dengannya mengarah tetapi pada waktu itu Lisa masih tidak bersedia dan berkeyakinan.

Bagaimanapun apabila ada rakan-rakan senior dalam lapangan ini meminta Lisa mencubanya, Lisa membuat keputusan untuk menjadi sebahagian daripada kru penerbitan.

Ya, Lisa gembira melakukannya. Memang ada cabaran tersendiri mendalami bidang baru dan memahami selok-belok dunia penerbitan. Ia di luar kepompong dunia seni yang telah 11 tahun Lisa sertai.

Ada perasaan familiar yang membuatkan Lisa mahu terus mempelajari perkara baru dan menganggap peluang ini datang untuk mencabar keupayaan diri.

A post shared by Lisa Surihani Mohamed ? (@lisasurihani) on

Ada yang menolak apabila bergandingan dengan teman hidup, bimbang jika urusan kerja dibawa ke rumah mahupun sebaliknya. Lisa sendiri, sukar atau tidak segelanggang dengan suami?

Lisa selesa bekerja dengan abang Yusry. Walaupun ada kalanya tidak sependapat dan berlainan idea, kami bertindak profesional apabila bekerja.

Lagi pun Lisa masih baru dalam dunia pengarahan, berbeza dengan suami yang mempunyai banyak pengalaman. Lisa masih memerlukan bimbingan dan tunjuk ajar daripada kru penerbitan.

Bekerja di hadapan kamera sebagai pelakon atau belakang tabir sebagai pembantu pengarah. Mana yang lebih dekat dengan jiwa Lisa?

Kedua-duanya amat dekat di hati. Baik bekerja di depan kamera atau menjadi sebahagian kru produksi, setiapnya berbeza dan membawa cabaran tersendiri. Jika di depan kamera, Lisa perlu mendalami watak dan melaksanakannya sebaik mungkin.

Namun pengakhirannya penonton yang membuat keputusan sama ada lakonan Lisa diterima baik atau tidak.

Di belakang tabir pula, melakukan pembikinan kerja yang kita cipta membawa kepada pelbagai cabaran yang lain. Proses pembikinan ini melibatkan lebih banyak tanggungjawab kerana ia turut melibatkan beberapa bahagian yang lain.

Ia adalah kerja berpasukan dan bagi memastikannya berjaya dicapai, menuntut komitmen yang tinggi. Jadi bagi Lisa, kedua-dua cabang ini menarik untuk diterokai.

Lisa juga dilihat aktif menyokong dan memperjuangkan pembelaan kanak-kanak seperti buli siber, perkahwinan kanak- kanak, jenayah eksploitasi, penganiayaan dan pencabulan hak asasi kanak-kanak yang tidak terbela.

Lisa juga Duta Muhibah Tabung Kecemasan Kanak-Kanak Antarabangsa Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF). Apa yang membuatkan Lisa berminat untuk melakukannya?

Lisa sudah lama mengagumi perjuangan UNICEF yang merupakan antara NGO yang banyak menggerakkan usaha demi keselamatan dan hak kanak-kanak.

UNICEF juga mempunyai karakter atau portfolio global dan apabila mereka menawarkan peranan sebagai duta setelah tertarik dengan perjuangan Lisa sebelum ini, Lisa tidak ragu-ragu.

Bagi Lisa ini adalah peluang yang baik untuk membabitkan diri secara peribadi dalam membantu memperjuangkan hak kanak-kanak.

A post shared by Lisa Surihani Mohamed ? (@lisasurihani) on

Wah! Nampaknya Lisa begitu berkobar-kobar dalam melakukannya.

Ya, Lisa sentiasa berminat dengan isu yang mendatangkan kesan kepada kanak-kanak. Lebih-lebih lagi sekarang setelah menjadi ibu dan mudah terbit kasih melihat kanak-kanak.

Lisa mahu menyebarkan mesej kebaikan ini kepada semua orang dan mahu orang ramai sedar mengenai keperluan kasih sayang dan keselamatan kanak-kanak.

Kebanyakan isu yang diperkatakan sudah lama wujud. Contohnya buli. Waktu Lisa bersekolah sudah ada isu ini, bermakna sudah puluhan tahun ia berlaku di sekolah.

Namun kini kesannya lebih besar kerana adanya media sosial yang bertindak menguar-uarkannya. Kita tidak dapat menentang arus pemodenan tetapi sedikit sebanyak berusaha mengelakkan anak-anak ini daripada menjadi mangsa.

Dalam meningkatkan kesedaran, kita perlu lebih konsisten dan harus mewujudkan garis masa jangka pendek dan panjang.

Kempen ini perlu diteruskan walaupun sejujurnya saya rasakan isu ini tidak ada tanda nokhtahnya.

A post shared by Lisa Surihani Mohamed ? (@lisasurihani) on

Kenapa Lisa memperkatakan begitu? Adakah selama ini usaha yang giat dijalankan tidak pernah berjaya?

Setiap kempen perlu diuruskan sebaik mungkin. Contohnya masalah seksual dalam kalangan kanak-kanak, begitu juga hak kanak-kanak, kita perlu memperjuangkannya sehingga mencapai kadar yang boleh dikatakan kita berasa lega melihatkan hasilnya.

Untuk memperjuangkan sebaik mungkin, kita perlu teruskan dan teruskan. Kita perlu sedar dan menerima realiti bahawa semua orang perlu berganding bahu mencapai matlamat.

Pihak berkaitan pula seharusnya mengambil tindakan komprehensif dalam menangani setiap isu yang timbul sehingga mencapai keputusan yang efektif.

Mendidik anak-anak hari ini cabarannya bukan sedikit. Apa pendapat Lisa untuk mendepani mereka agar tidak tersilap langkah sepanjang proses pembesaran?

Ia bergantung kepada situasi. Kita jangan remehkan fakta bahawa komunikasi dengan kanak-kanak itu penting. Cara dahulu ada baiknya dan boleh diambil sebagai iktibar.

Contohnya, dahulu ibu bapa dulu sering mengingatkan anak agar berhati-hati membawa diri dan elakkan daripada bercakap dengan orang tidak dikenali.

Namun ibu bapa hari ini perlu menambah kata-kata pesanan memandangkan sekarang ada sumber baru, bukan sekadar luar rumah tetapi dunia yang lebih besar iaitu alam maya.

Keterbukaan dunia hari ini juga bukan bermakna ibu bapa perlu bersikap terlalu terbuka tetapi kenyataan mereka harus berdepan cabaran untuk belajar mengawal dan mendidik anak-anak.

Lisa sangat bersetuju bahawa ibu bapa perlu berkomunikasi sebanyak mungkin dan berbincang dengan anak-anak tentang apa yang mereka lalui dan pelajari. Komunikasi dua hala ini adalah kunci.

Paling penting mereka memahami bahawa kita menyokong mereka namun tidak secara membuta tuli.

Ini kerana kita adalah ibu bapa generasi baru yang perlu disesuaikan dengan cabaran moden. Ada perkara yang boleh kita ikuti, begitu juga sebaliknya.

Ada kalanya juga kita kena belajar daripada anak-anak kerana daya pemikiran mereka yang lebih ke hadapan.

A post shared by Lisa Surihani Mohamed ? (@lisasurihani) on

Menjadi ibu kepada Yahaira Leanne dan Yusof Leonne, apakah gaya asuhan yang Lisa gunakan?

Padabulan-bulan terawal kehidupan mereka, cara yang sama Lisa lakukan untuk kedua-dua mereka.

Kemudiannya, Lisa tidak lagi percaya untuk melayani anak sama rata, begitu juga tidak membanding-bandingkan mereka. Ini kerana setiap anak itu adalah individu tersendiri dan mempunyai keistimewaan tertentu.

Lisa perhatikan, anak pertama lebih berdisiplin. Perlu lebih bertegas apabila berdepan dengan Yahaira dan kesannya, dia lebih senang menerima. Namun dengan Yusof, jika menggunakan cara yang sama, dia lebih sensitif.

Angle dan pendekatan perlu berbeza. Itu bukan bermakna ikut cara mereka tetapi adaptasi. Kita ada tanggungjawab sebagai ibu bapa untuk menjadikan mereka manusia yang berguna.

Ada sesetengah perkara yang mencabar diri kita untuk menjadi orang yang lebih baik iaitu struktur sosial. Begitu juga dengan peraturan.

Ada yang boleh diikuti dan tidak sesuka hati. Ibu bapalah yang memainkan peranan agar anak- anak ini dapat survive hidup bermasyarakat.

A post shared by Lisa Surihani Mohamed ? (@lisasurihani) on

Mereka lebih rapat dengan daddy atau mummy?

Dua-dua pun rapat dan tidak memilih. Lisa akui Lisa agak tegas dan menerapkan disiplin kepada anak-anak tetapi abang Yusry ada juga masanya bertegas.

Kami seimbang. Yahaira nampak manja dengan daddy. Bila dia sedar daddy tidak ada di rumah, dia akan bertanya.

Bagaimana Lisa melayani media sosial?

Bagi Lisa, media sosial adalah tempat untuk Lisa berkongsi dan menjual. Menjual dalam konteks pekerjaan yang melibatkan promosi filem, drama, produk dan kempen. Lisa juga berkongsi, kebanyakannya di IG Story.

Jika Lisa mahu berkongsi, Lisa sedia berkongsi tetapi berpada-pada. Ini kerana Lisa bukan hidup untuk media sosial. Ada setengah perkara yang Lisa perlu bermain tarik tali sama ada boleh dikongsi atau disimpan untuk diri sendiri.

Keluarga dan karier. Mana keutamaan Lisa?

Lisa bahagia dengan kehidupan sekarang. Cukup sempurna rasanya. Namun dalam kehidupan ini, ia memerlukan keseimbangan. Keseimbangan antara keperluan meneruskan hidup dan kebahagiaan berkeluarga.

Maksud Lisa, Lisa bekerja untuk mencari rezeki demi kelangsungan hidup. Sewaktu bekerja, Lisa laksanakannya dengan sepenuh hati.

Namun dalam masa yang sama, waktu untuk keluarga juga perlu kerana sesibuk mana pun, Lisa tetap memastikan keluarga adalah keutamaan.

Bayangkan jika tiada keseimbangan antara kedua- duanya, sudah tentu ia bukan sesuatu yang sihat dalam pelbagai konteks. Islam sendiri menyarankan umatnya menjalani kehidupan bersederhana dan seimbang.

Harapan Lisa terhadap Malaysia baharu?

Adabanyak yang Lisa harapkan. Paling utama ialah adanya struktur baru dalam sistem pendidikan di negara ini. Lisa perhatikan adanya peratusan besar yang sanggup menghantar anak-anak ke sekolah antarabangsa atau swasta terutamanya warga bandar.

Lisa tidak sesekali menidakkan sistem pendidikan kita tetapi perlu pembaikan struktur setaraf dengan tahap pendidikan antarabangsa.

Keduanya, kerajaan perlu memberi perhatian kepada kebajikan anak muda. Ada pelbagai isu yang perlu dititikberatkan. Antaranya isu anak tidak sah taraf. Mereka tidak menerima hak termasuk pelajaran.

Mereka dilahirkan bukan atas dosa mereka tetapi mereka dihukum di dunia. Segelintirnya dinafikan hak menerima pelajaran, malah ada antaranya tidak menerima bantuan kewangan hanya kerana tidak memiliki kad pengenalan.

Ini berbeza dengan negara-negara lain yang tidak menafikan hak kanak-kanak dan ia termaktub dalam perlembagaan.

Daripada kita menyebabkan punca terjadinya jenayah kerana kesukaran hidup mereka, lebih baik kita perjuangkan hak mereka, moga-moga mereka menjadi insan berguna.

Bagaimana Lisa menyakini keupayaan pemimpin muda yang kian mendapat tempat di hati rakyat Malaysia, malah ada antaranya meniti populariti setanding selebriti?

Terlalu awal untuk memperkatakan mengenai pemimpin kerajaan baharu ini terutamanya yang masih muda. Kebangkitan pemimpin muda ini amat dikagumi dan Lisa meletakkan harapan yang besar kepada mereka.

Inilah yang kita perjuangkan agar orang muda dapat membawa negara ke arah yang lebih baik pada masa akan datang.

Mereka datang dengan latar belakang berbeza, memiliki latar belakang pendidikan yang baik, umur yang pelbagai dengan merit- merit tertentu dan sudah tentu ia sangat baik untuk perkembangan politik hari ini.

Berilah masa untuk menilai keupayaan pemimpin- pemimpin muda ini. Lisa masih memerhati dan sebagai seorang rakyat, Lisa kagum dengan semangat berkobar- kobar yang ditunjukkan mereka.

Kita memang memerlukan enthusiasm dan harapan yang amat tinggi demi kemajuan rakyat dan negara.

;